Skip to main content

Singapura

Pendaftaran Darjah 1 bermula 1 Jul

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 May 2025 03:00PM Dikemas Kini : 14 May 2025 11:51PM
SINGAPURA: Pendaftaran untuk kanak-kanak yang akan memasuki Darjah 1 pada 2026 akan bermula pada 1 Julai 2025 dan ditutup pada 31 Oktober.

Ibu bapa boleh mendaftarkan anak mereka melalui portal pendaftaran Darjah 1, yang juga akan mengandungi maklumat mengenai pelbagai fasa pendaftaran dan sekolah-sekolah yang layak untuk mendaftar anak mereka, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (14 Mei).

Rakyat Singapura yang lahir antara 2 Januari 2019 dengan 1 Januari 2020 wajib mendaftar tahun ini atau mendaftar dalam program Junior 1 atau Darjah 1 di sekolah pendidikan khas yang dibiayai pemerintah.

Ibu bapa akan memerlukan Singpass yang sah dengan Pengesahan Data Tahap Kedua untuk log masuk ke portal pendaftaran. Hanya salah seorang daripada ibu bapa diperlukan untuk membuat pendaftaran.

Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi sekolah pilihan mereka melalui emel atau telefon, antara pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang, semasa tempoh pendaftaran, menurut MOE.

DATA PENDAFTARAN

Senarai sekolah rendah dan jumlah tempat kosong di setiap sekolah akan disediakan di laman pendaftaran Darjah 1 MOE menjelang 24 Jun.

"Jumlah tempat kosong yang ada dan bilangan pemohon akan dikemas kini pada setiap fasa pendaftaran Darjah 1," dedah MOE.

"Ibu bapa harus ambil perhatian bahawa perangkaan ini mungkin berubah semasa pendaftaran jika pemohon menarik diri atau membuat perubahan pada pendaftaran mereka."

Selepas setiap fasa berakhir, ibu bapa boleh memeriksa laman pendaftaran untuk melihat sekolah mana yang mempunyai tempat kosong yang mencukupi untuk menerima semua pendaftar tanpa memerlukan undian.

"Majoriti sekolah dalam pendaftaran Darjah 1 tahun lalu mempunyai tempat kosong yang mencukupi untuk menerima semua pendaftar, tanpa perlu menjalankan sebarang undian dalam setiap fasa masing-masing," menurut MOE.

Maklumat mengenai pendaftaran Darjah 1 tahun lalu - menunjukkan jumlah tempat kosong, jumlah pemohon dan maklumat undian untuk setiap sekolah bagi pelbagai fasa - akan disediakan bagi rujukan di laman pendaftaran.

MOE menasihati ibu bapa untuk menimbangkan sekolah yang "munasabah" jaraknya dengan rumah mereka untuk mengurangkan masa perjalanan anak mereka.

"Jarak lebih jauh antara rumah dengan sekolah juga boleh bermakna pilihan pengangkutan yang lebih terhad untuk anak anda," tambahnya.

Bagi butiran mengenai tawaran setiap sekolah, ibu bapa boleh melayari laman 'schoolfinder' MOE.

"Kami menggalakkan ibu bapa untuk menimbangkan pelbagai sekolah dan meneroka bagaimana program dan tawaran istimewa sekolah-sekolah ini dapat memenuhi keperluan pembelajaran, minat, dan kelebihan anak mereka dengan sebaik-baiknya," jelas kementerian itu.

Mulai 14 Mei, ibu bapa calon murid Darjah 1 juga akan dapat memuat turun dan mendaftar untuk aplikasi Singpass 'Parents Gateway' MOE pada peranti mudah alih mereka menggunakan akaun Singpass mereka.

Melalui aplikasi tersebut, mereka akan menerima kemas kini dan maklumat mengenai proses pendaftaran dan keperluannya.

Mereka juga akan dapat mengakses maklumat mengenai tugas-tugas pentadbiran sebelum permulaan persekolahan dan tip-tip tentang bagaimana mereka boleh menyokong peralihan anak mereka ke Darjah 1.

"Ibu bapa digalakkan untuk bersiap sedia awal dan merujuk kepada laman pendaftaran Darjah 1 MOE untuk kemas kini terkini mengenai pendaftaran dan dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran," kata kementerian itu.

AMARAN TERHADAP MAKLUMAT PALSU

Ibu bapa harus menggunakan alamat kediaman rasmi yang tercatat pada Kad Pengenalan NRIC mereka untuk pendaftaran.

Seorang anak yang mendapat keutamaan kemasukan ke sekolah melalui kategori Jarak Rumah-Sekolah dikehendaki tinggal di alamat yang digunakan untuk pendaftaran selama sekurang-kurangnya 30 bulan dari permulaan pendaftaran pada 1 Julai.

"Dalam kes di mana syarat ini tidak dipenuhi, MOE akan memindahkan anak tersebut ke sekolah lain yang mempunyai tempat kosong," menurut kementerian itu.

Ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka menggunakan alamat penjaga, seperti datuk nenek mereka atau adik-beradik ibu bapa, harus mengisytiharkan aturan penjagaan alternatif dengan melengkapkan borang Pengisytiharan Aturan Penjagaan Alternatif secara online.

Ini harus dilakukan antara pukul 9.00 pagi pada 30 Jun dan 4.00 petang pada 31 Julai.

"Ibu bapa harus menghantar pengisytiharan mereka awal kerana mereka mesti menerima emel kelulusan daripada MOE sebelum mereka boleh mendaftarkan anak mereka untuk Darjah 1 menggunakan alamat penjaga," jelas kementerian itu.

Ia juga memberi amaran bahawa mana-mana pendaftar yang didapati telah memberikan maklumat palsu semasa pendaftaran akan dirujuk kepada siasatan polis.

"Jika seorang anak didapati telah berjaya didaftarkan di sekolah berdasarkan maklumat palsu, MOE akan memindahkan anak tersebut ke sekolah lain yang mempunyai tempat kosong.

"MOE akan mengamalkan budi bicara dalam penempatan sekolah."

PENGECUALIAN BAGI PENDAFTARAN

Jika seseorang anak itu dinilai oleh karyawan kesihatan yang berkelayakan sebagai tidak bersedia untuk Darjah 1, ibu bapa boleh memohon kelulusan daripada Unit Pendidikan Wajib MOE bagi menangguhkan pendaftaran mereka.

Jika tarikh lahir anak jatuh pada 1 Januari 2020, ibu bapa juga sebaliknya boleh memohon kelulusan untuk penangguhan jika mereka mahu anak mereka memasuki sekolah rendah pada Januari 2027.

Permohonan untuk penangguhan boleh dibuat melalui borang online di laman MOE dan mesti dihantar sebelum 31 Mei.

PELAJAR ANTARABANGSA

Pelajar antarabangsa akan mendaftar dalam Fasa 3 pendaftaran, selepas tempat telah diperuntukkan kepada semua kanak-kanak warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR).

Pelajar antarabangsa yang ingin mengambil bahagian mesti menghantar borang online bagi "menandakan minat" antara pukul 9.00 pagi pada 27 Mei dan 4.30 petang pada 2 Jun.

"Mereka yang tidak berbuat demikian sebelum 2 Jun tidak akan dapat mendaftar semasa Fasa 3 pendaftaran Darjah 1," menurut MOE.

MOE akan memaklumkan pemohon antarabangsa melalui emel menjelang Oktober sama ada anak mereka boleh ditawarkan tempat di sekolah rendah.

Kemasukan sekolah pada Fasa 3 tidak dijamin, kerana mungkin terdapat tempat kosong yang terhad selepas peruntukan tempat bagi kanak-kanak warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR), jelas kementerian itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita