Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran Darjah 1 bagi 2023 dibuka 29 Jun, lebih banyak tempat bagi Fasa 2C

Ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka bagi kemasukan ke Darjah 1 pada tahun depan boleh berbuat demikian mulai 29 Jun, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (19 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1 bagi 2023 dibuka 29 Jun, lebih banyak tempat bagi Fasa 2C

Gambar fail murid-murid prasekolah MOE.

SINGAPURA: Ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka bagi kemasukan ke Darjah 1 pada tahun depan boleh berbuat demikian mulai 29 Jun, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (19 Mei).

Seperti fasa pendaftaran pada tahun lalu, pendaftaran kali ini akan diadakan menerusi online, tanpa sebarang pendaftaran diadakan di sekolah, menurut MOE dalam satu kenyataan media.

Beberapa perubahan yang diumumkan pada September lalu, akan diperkenalkan dalam sesi pendaftaran tahun ini, yang berakhir pada 31 Oktober.

Jumlah tempat bagi Fasa 2C - iaitu bagi kanak-kanak tanpa sebarang talian dengan mana-mana sekolah - akan digandakan dari 20 kepada 40 tempat bagi setiap sekolah rendah.

Fasa 2A(1) dan 2A(2) akan digabungkan menjadi Fasa 2A, manakala kaedah bagi menghitung jarak antara rumah dengan sekolah juga sudah dikemas kini, menurut MOE.

Ia juga wajib bagi kanak-kanak yang dilahirkan antara 2 Januari 2016 dengan 1 Januari 2017, termasuk kedua-dua tarikh itu, untuk mengambil bahagian dalam sesi pendaftaran ini atau didaftarkan dalam Junior 1 atau program Darjah 1 di sebuah sekolah SPED.

FASA PENDAFTARAN

Bagi ibu bapa yang ingin membuat pendaftaran di bawah Fasa 1- bagi kanak-kanak dengan adik beradik yang merupakan pelajar di sekolah itu - pihak sekolah akan memberikan butiran pendaftaran kepada para ibu bapa. Pendaftaran online bermula pada 29 Jun.

Sementara itu, pendaftaran Fasa 2A akan bermula pada 6 Julai dan ditutup pada 8 Julai.

Keputusan bagi Fasa 2A akan diumumkan pada 18 Julai.

Bagi pendaftaran di bawah Fasa 2B - iaitu bagi kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka merupakan relawan sekolah atau pemimpin masyarakat atau mempunyai pertalian dengan gereja atau persatuan puak - pendaftarannya akan dijalankan pada 19 Julai hingga 20 Julai.

Keputusan bagi Fasa 2B akan diumumkan pada 26 Julai.

Pendaftaran Fasa 2C akan dijalankan antara 27 Julai dengan 29 Julai, dengan keputusannya akan diumumkan mulai 10 Ogos.

Fasa 2C tambahan - iaitu bagi kanak-kanak yang tidak layak atau tidak berjaya dalam pendaftaran mereka pada fasa-fasa sebelumnya - pendaftarannya akan dibuka pada 15 Ogos dan 16 Ogos, dengan keputusannya diumumkan pada 25 Ogos.

Senarai sekolah-sekolah rendah dan tempat kosong yang akan akan dikemas kini pada laman Pendaftaran Darjah 1 menjelang pertengahan Jun, menurut MOE.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan