Skip to main content

Singapura

Pendaftaran Darjah 1: 84 sekolah terima permohonan jangkaui tempat disediakan di bawah Fasa 2C

Hampir separuh daripada semua sekolah rendah di Singapura menyaksikan permohonan yang melebihi tempat yang disediakan dalam Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 pada tahun ini, menurut data terkini Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1: 84 sekolah terima permohonan jangkaui tempat disediakan di bawah Fasa 2C

Murid-murid sekolah rendah di dalam bilik darjah. (Gambar fail: Facebook/Chan Chun Sing)

Diterbitkan : 06 Aug 2025 11:22PM Dikemas Kini : 07 Aug 2025 12:37PM
SINGAPURA: Hampir separuh daripada semua sekolah rendah di Singapura menyaksikan permohonan yang melebihi tempat yang disediakan dalam Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 pada tahun ini, menurut data terkini Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (6 Ogos).

Daripada 179 sekolah rendah yang menerima murid pada tahun depan, 84 menyaksikan permohonan yang melebihi tempat yang disediakan - dengan semua kecuali empat daripada sekolah-sekolah tersebut menjalankan undian.

Fasa 2C dianggap sebagai fasa paling berdaya saing dan dibuka kepada semua kanak-kanak. Sebanyak 40 tempat di setiap sekolah rendah diperuntukkan untuk fasa ini.

Sekolah-sekolah yang menyaksikan permohonan yang melebihi tempat-tempat yang disediakan dalam fasa ini ialah Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok, dengan 232 murid bersaing untuk mendapatkan 41 tempat yang disediakan.

Ini diikuti oleh Sekolah Rendah Nan Hua di Clementi, dengan 166 pemohon untuk mendapatkan 41 tempat yang disediakan, dan Sekolah Rendah South View di Choa Chu Kang, yang menerima 155 permohonan untuk 41 tempat yang ditawarkan.

Sekolah Rendah Northland dan Sekolah Chongfu, kedua-duanya di Yishun, melengkapkan kelima-lima sekolah tersebut.

Sekolah Rendah Princess Elizabeth, Nan Hua dan Chongfu juga merupakan antara lima sekolah rendah dengan permohonan melebihi tempat yang disediakan dalam fasa ini pada tahun lalu.

Pendaftaran untuk fasa ini dibuka pada pukul 9.00 pagi 29 Julai dan ditutup pada pukul 4.30 petang pada 31 Julai.

PROSES PENGUNDIAN

Bagi kebanyakan kes, pengundian dijalankan apabila jumlah pemohon melebihi tempat kosong yang disediakan. Ia berlaku dalam mana-mana fasa dari Fasa 2A hingga Fasa 2C tambahan.

Keutamaan akan diberikan mengikut susunan ini: Rakyat Singapura yang menetap dalam jarak 1km dari sekolah, warga Singapura yang tinggal antara 1km dan 2km dari sekolah, diikuti oleh warga Singapura yang menetap lebih 2km dari sekolah. Selepas itu, barulah Penduduk Tetap (PR) dalam kumpulan jarak yang sama.

Fasa seterusnya, 2C tambahan, adalah untuk kanak-kanak yang masih belum didaftarkan di sekolah rendah. Tempat kosong untuk fasa ini akan dikemas kini pada 12 Ogos.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita