Skip to main content

Singapura

Pendaftaran Darjah 1: 79 sekolah terima permohonan melebihi tempat disediakan dalam Fasa 2C

Hampir separuh daripada semua sekolah rendah di Singapura menerima permohonan melebihi tempat yang disediakan dalam Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1: 79 sekolah terima permohonan melebihi tempat disediakan dalam Fasa 2C

Fasa 2C merupakan fasa paling berdaya saing dalam urusan Pendaftaran Darjah 1. (Gambar: CNA/Clara Ho)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 07:01PM
SINGAPURA: Hampir separuh daripada semua sekolah rendah di Singapura menerima permohonan melebihi tempat yang disediakan dalam Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 tahun ini.

Menurut data di laman Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (5 Ogos), 79 daripada 179 sekolah yang menerima murid dalam fasa tersebut menerima permohonan melebihi jumlah tempat yang disediakan.

Daripada 79 sekolah itu, 73 perlu menjalankan undian.

Jumlah sekolah yang menerima permohonan melebihi tempat disediakan berkurangan berbanding tahun lalu, apabila 84 sekolah mencatat keadaan sedemikian dalam Fasa 2C.

Fasa 2C dianggap sebagai fasa paling berdaya saing dan dibuka kepada semua kanak-kanak.

Sebanyak 40 tempat di setiap sekolah rendah diperuntukkan bagi fasa tersebut.

Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok menerima permohonan paling tinggi berbanding tempat yang disediakan, dengan 159 pemohon bersaing bagi 40 tempat.

Ia disusuli Sekolah Rendah Northland di Yishun, yang menerima 141 permohonan bagi 42 tempat.

Sekolah Rendah Nan Hua, Sekolah Chongfu dan Sekolah Rosyth melengkapkan senarai lima sekolah dengan permohonan tertinggi berbanding tempat yang disediakan.

Princess Elizabeth, Northland, Nan Hua dan Chongfu turut berada dalam senarai lima sekolah dengan permohonan tertinggi dalam Fasa 2C tahun lalu.

Pendaftaran bagi Fasa 2C dibuka pada 9.00 pagi 28 Julai dan ditutup pada 4.30 petang 30 Julai.

PENGUNDIAN

Pengundian lazimnya dijalankan apabila jumlah pemohon melebihi bilangan tempat kosong yang disediakan.

Ia boleh dijalankan dalam mana-mana fasa dari Fasa 2A hingga Fasa 2C tambahan.

Keutamaan kemasukan diberikan kepada Rakyat Singapura yang tinggal dalam lingkungan satu kilometer dari sekolah, diikuti mereka yang tinggal antara satu hingga dua kilometer dan kemudian mereka yang tinggal lebih dua kilometer dari sekolah.

Ini disusuli Penduduk Tetap (PR) berdasarkan kumpulan jarak yang sama.

Fasa seterusnya, Fasa 2C tambahan, adalah bagi kanak-kanak yang masih belum didaftarkan di sebuah sekolah rendah.

Jumlah tempat kosong bagi fasa tersebut akan dikemas kini selewat-lewatnya 1.00 tengah hari pada 11 Ogos.

MOE sebelum ini mengurangkan pengambilan Darjah 1 bagi kebanyakan sekolah disebabkan saiz kohort murid yang semakin mengecil pada 2027 dan tahun-tahun mendatang.

Berbanding 2025, terdapat kurangnya 1,460 tempat secara keseluruhan pada tahun ini.

Daripada 179 sekolah rendah, 61 mengurangkan jumlah pengambilan manakala 12 sekolah menambah jumlah tempat yang ditawarkan.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita