Skip to main content

Singapura

Pendaftaran Darjah 1: 33 sekolah terima permohonan melebihi jumlah tempat bagi Fasa 2B 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1: 33 sekolah terima permohonan melebihi jumlah tempat bagi Fasa 2B 2026

Dalam Fasa 2B pendaftaran Darjah 1, 31 sekolah akan menjalani proses undian. (Ilustrasi: CNA/Clara Ho)

Diterbitkan : 23 Jul 2026 09:56PM
SINGAPURA: Sebanyak 33 sekolah rendah menerima permohonan melebihi jumlah tempat bagi Fasa 2B pendaftaran Darjah 1 bagi 2026, jumlah yang sama seperti tahun lalu, menurut data Kementerian Pendidikan (MOE) yang dikeluarkan pada Khamis (23 Jul).

Daripada 33 sekolah yang menerima permohonan berlebihan itu, 31 sekolah akan menjalani proses undian.

Setiap tahun, 20 tempat di setiap sekolah diperuntukkan untuk Fasa 2B - iaitu fasa terakhir di mana kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan sekolah berkenaan boleh memohon kemasukan.

Keputusan undian akan diumumkan pada Isnin depan.

Sekolah yang paling banyak menerima permohonan melebihi tempat yang disediakan dalam Fasa 2B tahun ini ialah Sekolah Rendah Nanyang di Bukit Timah, dengan 52 kanak-kanak memohon bagi 20 tempat.

Dua sekolah berikutnya yang paling banyak menerima permohonan ialah Sekolah Ai Tong di Bishan dan Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian di Bukit Timah, masing-masing dengan 51 pemohon bagi 20 tempat dan 46 pemohon bagi 21 tempat.

Ketiga-tiga sekolah itu juga merupakan antara lima sekolah yang paling banyak menerima permohonan melebihi tempat yang disediakan dalam Fasa 2B bagi pendaftaran pada 2025.

Lagi dua sekolah yang mencatatkan permohonan paling banyak melebihi jumlah tempatpada 2026 ialah Sekolah Rendah Holy Innocents' di Hougang dan Sekolah Kong Hwa di Mountbatten.

MOE mengurangkan pengambilan murid Darjah 1 bagi kebanyakan sekolah pada awal tahun ini menyusuli jumlah kohort pelajar yang dijangka menurun dengan ketara pada 2027 dan tahun-tahun akan datang.

Pada waktu itu, MOE menyatakan, langkah tersebut bertujuan mengurangkan keperluan untuk penggabungan atau pemindahan sekolah, selain mengekalkan taburan seimbang sekolah rendah dari segi lokasi untuk para pelajar di seluruh Singapura.

Berbanding tahun 2025, terdapat kurang 1,460 tempat secara keseluruhan pada 2026. Daripada 179 sekolah rendah di Singapura, 61 sekolah mengurangkan jumlah pengambilan, manakala 12 sekolah menambah jumlah tempat yang disediakan.

PROSES UNDIAN

Undian dijalankan apabila jumlah pemohon melebihi jumlah tempat kosong yang ada.

Proses ini boleh berlaku pada mana-mana fasa dari Fasa 2A hingga Fasa 2C tambahan.

Fasa seterusnya iaitu Fasa 2C, dibuka kepada semua pelajar. Permohonan akan dibuka pada 9.00 pagi, 28 Julai dan ditutup pada 4.30 petang dua hari kemudian, manakala keputusan akan diumumkan menjelang 11 Ogos.

Bagi Fasa 2C, 40 tempat diperuntukkan di setiap sekolah bagi “memastikan akses terbuka berterusan kepada semua sekolah rendah”, menurut kenyataan MOE sebelum ini.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita