Skip to main content

Singapura

Pendaftaran Darjah 1: 33 sekolah mendapat permohonan berlebihan dalam Fasa 2B

Sebanyak 33 sekolah rendah menerima permohonan melebihi tempat kosong yang disediakan dalam Fasa 2B bagi Pendaftaran Darjah 1 untuk tahun ini, meningkat daripada 30 sekolah tahun lalu, menurut data terkini Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (24 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1: 33 sekolah mendapat permohonan berlebihan dalam Fasa 2B

Murid-murid sekolah rendah di dalam bilik darjah di Sekolah Rendah Oasis pada 8 Julai 2025. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Sebanyak 33 sekolah rendah menerima permohonan melebihi tempat kosong yang disediakan dalam Fasa 2B bagi Pendaftaran Darjah 1 untuk tahun ini, meningkat daripada 30 sekolah tahun lalu, menurut data terkini Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (24 Jul).

Setiap tahun, 20 tempat diperuntukkan di setiap sekolah untuk Fasa 2B – iaitu fasa terakhir yang membolehkan kanak-kanak yang ada kaitan dengan sesebuah sekolah untuk memohon masuk ke sekolah tersebut.

Daripada 33 sekolah rendah yang menerima permohonan berlebihan, 29 akan menjalani proses pengundian.

Sekolah dengan jumlah lebihan pemohon yang tertinggi dalam Fasa 2B tahun ini ialah Sekolah Tao Nan di Marine Parade, dengan 63 permohonan bagi 20 tempat kosong.

Sekolah seterusnya dengan paling ramai lebihan pemohon ialah Sekolah Ai Tong di Bishan dan Sekolah Rendah Nanyang di Bukit Timah, masing-masing dengan 62 dan 53 permohonan untuk 20 tempat kosong di setiap sekolah.

Ia diikuti oleh Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian dan Sekolah Methodist Girls’ (Rendah), yang kedua-duanya terletak di Bukit Timah.

Sekolah Ai Tong dan Sekolah Rendah Nanyang juga tersenarai antara lima sekolah yang menerima permohonan paling banyak dalam Fasa 2B tahun lalu.

PENGUNDIAN

Empat sekolah yang tidak akan menjalani pengundian ialah Sekolah Rendah Frontier, Sekolah Rendah Kuo Chuan Presbyterian, Sekolah Rendah St Joseph’s Institution dan Sekolah Rendah Wellington.

Pengundian dijalankan apabila jumlah permohonan melebihi bilangan tempat kosong yang ditawarkan. Ini boleh berlaku pada mana-mana fasa dari Fasa 2A hingga Fasa 2C tambahan.

Keutamaan diberikan mengikut urutan berikut: Warga Singapura yang tinggal dalam lingkungan satu kilometer dari sekolah, diikuti oleh mereka yang tinggal antara satu kilometer hingga dua kilometer dari sekolah, dan seterusnya mereka yang tinggal lebih jauh daripada dua kilometer. Mereka diikuti oleh penduduk tetap dalam kumpulan jarak yang sama.

Fasa 2B adalah untuk ibu bapa yang sudah mendaftar sebagai relawan di sekolah rendah tersebut selewat-lewatnya pada 1 Julai sebelum tahun pengambilan. Mereka mesti memenuhi sekurang-kurangnya 40 jam perkhidmatan secara sukarela di sekolah berkenaan menjelang 30 Jun pada tahun pengambilan.

Ibu bapa yang menerima sokongan rasmi daripada gereja atau pertubuhan yang mempunyai kaitan langsung dengan sekolah rendah berkenaan juga boleh memohon dalam fasa ini. Begitu juga mereka yang disahkan sebagai pemimpin masyarakat aktif.

Pemimpin masyarakat aktif yang disahkan hanya layak mendaftarkan anak mereka bagi sekolah yang terletak dalam lingkungan dua kilometer dari alamat kediaman mereka dalam Fasa 2B.

Fasa seterusnya, 2C, terbuka kepada semua pelajar. Permohonan akan dibuka pada 29 Julai, pukul 9.00 pagi dan ditutup pada 31 Julai, pukul 4.30 petang, dengan keputusan diumumkan selewat-lewatnya pada 12 Ogos.

MOE akan memperuntukkan 40 tempat kosong di setiap sekolah rendah bagi Fasa 2C untuk “memastikan akses terbuka yang berterusan bagi semua sekolah rendah”.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita