Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran bagi Program Niaga Mikro AMP ke-18 dibuka hingga 16 Sep

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran bagi Program Niaga Mikro AMP ke-18 dibuka hingga 16 Sep

Gambar: Facebook/ AMP Micro Business Programme

SINGAPURA: Pendaftaran bagi Program Niaga Mikro AMP yang ke-18 dibuka dari Isnin (29 Ogos) sehingga 16 September 2022.

Program itu dibuka kepada rakyat Singapura atau Penduduk Tetap negara ini yang mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi S$4,000 atau pendapatan per kapita kurang dari S$1,000.

Para pendaftar harus dilengkapi dengan kemahiran
asas dalam penggunaan komputer serta kemahiran asas atau pengalaman dalam bidang tumpuan yang diceburi.

Program Niaga Mikro AMP mengambil masa selama enam bulan dan bernilai antara S$1,000 hingga S$2,000 bagi setiap peserta.

Para peserta bagaimanapun hanya perlu membayar yuran S$200 atau S$300 sahaja, bergantung kepada pendapatan keluarga mereka.

Di akhir program tersebut, para peserta digalakkan untuk menyediakan pelan perniagaan mereka untuk dinilai oleh pihak AMP.

Perniagaan yang menunjukkan potensi untuk berkembang dengan pesat dan berdaya saing untuk jangka masa yang panjang akan diberikan Geran Kapital AMP sebanyak S$1,000.

Para graduan juga dipelawa untuk turut serta dalam program berkenaan. Mereka diberikan pilihan untuk mendaftar bagi Program Niaga Mikro Lanjutan dan Program Pertengahan untuk Perniagaan Mikro (Intermediate Micro Business Programme).

Para graduan akan mendapat akses kepada kelas khas perniagaan (business masterclasses) yang ditawarkan menerusi kerjasama antara AMP dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Mereka juga boleh memohon pinjaman daripada Dana Pembangunan Niaga Mikro, iaitu pinjaman tanpa faedah, jika mereka memerlukan suntikan dana untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Salah seorang peserta program tersebut, Cik Junainah Zanil, 45 tahun, memulakan perniagaan di rumah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada April 2020.

Beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilannya 'Jun Delights' dan menerima tempahan semasa musim perayaan dalam kalangan keluarga dan rakannya.

Disebabkan beliau ingin mempertingkatkan perniagaannya sambil mempunyai kelonggaran untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang lain, beliau mendaftarkan dirinya bagi Program Niaga Mikro AMP pada Ogos 2021.

Melalui program itu, beliau ditawarkan peluang untuk menyediakan 100 bungkus makanan kepada para jemaah solat Jumaat di masjid.

Kerjasama tersebut memberinya pendapatan bulanan yang tetap, di samping meraih pendapatannya sendiri. Beliau juga menerima Geran Kapital AMP apabila beliau selesai menghadiri program berkenaan pada Julai tahun ini.

Cik Junainah merupakan salah seorang daripada lebih 650 pemilik perniagaan dari rumah yang sudah menjalani latihan intensif dari segi kemahiran bisnes dan perniagaan yang disediakan program tersebut sejak ia ditubuhkan.

Program yang ditawarkan kepada golongan kurang berkemampuan itu bertujuan untuk memberikan peluang kepada golongan tersebut menjana sumber pendapatan alternatif untuk keluarga masing-masing.

Sejak ia diperkenalkan, AMP sudah menyaksikan para peserta program tersebut berjaya mengembangkan perniagaan mereka dari rumah ke kedai fizikal seperti gerai di kantin sekolah, gerai penjaja, dapur pusat (central kitchen), gerai makanan dan studio untuk mengajar dan membuat kek dan biskut (baking studio).

Sesiapa saja yang berminat boleh mendaftar menerusi lelaman https://tinyurl.com/AMPMicroBusiness2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan