Pendaftaran bagi kemasukan langsung ke sekolah menengah, maktab rendah dibuka hari ini
Permohonan bagi Urusan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) 2019 bagi sekolah menengah dan maktab rendah (JC) dibuka hari ini (7 Mei).
Gambar fail para pelajar menerima keputusan GCE Peringkat 'O'.
SINGAPURA: Permohonan bagi Urusan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) 2019 bagi sekolah menengah dan maktab rendah (JC) dibuka hari ini (7 Mei).
Sementara itu, para pelajar yang merancang untuk membuat permohonan bagi kemasukan awal ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) atau politeknik masing-masing boleh berbuat demikian pada Mei dan Jun.
Ini diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan medianya hari ini. Ia menambah bahawa 143 sekolah menengah terlibat dalam DSA-Sec, manakala 18 JC terlibat dalam DSA-JC.
DSA membolehkan para pelajar untuk memasuki sekolah menengah atau JC secara langsung berdasarkan bakat dan pencapaian mereka yang mungkin tidak dapat dipamerkan dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) atau Peperiksaan GCE Peringkat 'O', menurut MOE.
Para pelajar boleh mengasah bakat mereka di sekolah menengah atau JC selepas diterima masuk.
Mereka yang berminat boleh melungsuri laman sekolah-sekolah tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tempoh serta prosedur membuat permohonan, menurut MOE lagi.
Untuk layak membuat permohonan DSA-Sec dan DSA-JC, para pelajar harus menduduki peperiksaan PSLE atau GCE Peringkat 'O' dan keputusan mereka mesti memenuhi kriteria minimum bagi sekolah atau kursus pilihan mereka.
Kesemua sekolah menengah boleh mengambil masuk sehingga 20 peratus daripada kohort bukan program bersepadu Menengah 1 melalui DSA mulai tahun ini.
Menurut MOE, langkah tersebut bertujuan untuk memberi lebih banyak pilihan dan peluang kepada pelajar untuk memadankan kelebihan dan minat mereka dengan sesebuah sekolah menengah yang menawarkan program yang sesuai.
Selain itu, para pelajar tidak perlu lagi menduduki peperiksaan keupayaan akademik biasa bagi permohonan DSA-Sec. MOE menyatakan bahawa ia membolehkan sekolah menengah untuk menumpukan perhatian kepada usaha mengenal pasti pelajar dengan bakat akademik khusus berbanding mereka dengan keupayaan akademik biasa.
Para pelajar yang menerima tawaran melalui DSA dikehendaki komited untuk membangunkan bakat mereka di sekolah yang menjadi pilihan. Mereka tidak dibenarkan berpindah ke sekolah lain selepas mendapat keputusan PSLE atau GCE Peringkat 'O' atau mengambil bahagian dalam Urusan Kemasukan Bersama (JAE), menurut MOE lagi.
KEMASUKAN AWAL BAGI POLITEKNIK, ITE
Kelima-lima politeknik juga terlibat dalam Urusan Kemasukan Awal (EAE) tahun ini, dedah MOE.
Para pelajar yang ingin membuat permohonan bagi EAE politeknik mungkin perlu menyerahkan portfolio, menjalani temu duga dan menduduki ujian kebolehan serta mempamerkan bakat dan pencapaian mereka dalam bidang-bidang seperti sukan dan kepimpinan.
Para pelajar yang berjaya akan menerima tawaran bersyarat dan mesti memenuhi kriteria minimum bagi kursus politeknik yang ditawarkan semasa peperiksaan hujung tahun mereka.
Mereka yang menerima tawaran melalui EAE politeknik dan tempat mereka sudah disahkan, tidak lagi layak untuk membuat permohonan ke politeknik lain atau bertukar kursus.
Pelajar Peringkat 'N' dan 'O' juga boleh mendaftar untuk kemasukan awal bagi kursus Nitec ITE dan Nitec Lanjutan melalui EAE ITE. Mereka yang berminat mungkin dikehendaki menyerahkan portfolio, menjalani temu duga dan menduduki ujian kebolehan sebagai sebahagian daripada proses pemilihan.
Pemohon yang berjaya akan diberi tawaran bersyarat sebelum mendapat keputusan peperiksaan GCE Peringkat 'N' atau 'O' dan mesti memenuhi kriteria minimum bagi kursus yang ditawarkan.
Sekiranya berjaya diterima masuk menerusi ITE EAE, pelajar tersebut tidak boleh membuat permohonan JAE bagi kursus Nitec Lanjutan atau urusan kemasukan bersama bagi kursus Nitec. Para pelajar dikehendaki komited kepada kursus pilihan masing-masing, menurut MOE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.