Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencuri bersiri dipenjara kerana curi barang pekerja pembersihan yang sedang tidur

Seorang pencuri berulang yang keluar masuk mahkamah kerana kesalahan mencuri sejak 1986 dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (6 Mei) kerana mencuri seluar, jam tangan dan telefon bimbit daripada dua pekerja pembersihan di sebuah pusat pengumpulan sampah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pencuri bersiri dipenjara kerana curi barang pekerja pembersihan yang sedang tidur

Pusat pembuangan sampah di Blok 4, Teck Whye Avenue.

Diterbitkan : 06 May 2020 06:40PM Dikemas Kini : 06 May 2020 06:44PM

SINGAPURA: Seorang pencuri berulang yang keluar masuk mahkamah kerana kesalahan mencuri sejak 1986 dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (6 Mei) kerana mencuri seluar, jam tangan dan telefon bimbit daripada dua pekerja pembersihan di sebuah pusat pengumpulan sampah.

Barangan tersebut adalah kepunyaan dua pekerja pembersihan warga Bangladesh yang sedang tidur di pusat pembuangan sampah di Blok 4, Teck Whye Avenue.

Othman Kamis, 50 tahun, menangis sepanjang perbicaraan mahkamah dan memberitahu Hakim Daerah Jasvender Kaur bahawa dia sudah "kehilangan segala-galanya" termasuk keluarga dan flatnya dan tidur di kawasan perkuburan.

Menurutnya dia mencuri seluar itu kerana tidak mempunyai pakaian dan "berbau busuk" dan mendakwa bahawa dia tidak tahu terdapat jam tangan dan telefon bimbit di dalamnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Othman tidak bekerja dan merayau-rayau berdekatan pusat pengumpulan sampah itu pada sekitar waktu tengah hari pada 16 Okt tahun lalu.

Dia berjalan memasuki kawasan itu dan melihat dua mangsa tersebut - pekerja pembersihan Mamun Al dan Mandal Nitai - yang sedang tidur di dalam, menurut Pegawai Pendakwa Negara Lam Peng Choy.

Dia mengambil telefon bimbit daripada seorang pekerja pembersihan, dan dua seluar yang digantung di dalam pusat pengumpulan sampah itu serta empat jam tangan di dalam seluar-seluar itu.

Para pekerja pembersihan itu bangun dari tidur pada sekitar 12.30 tengah hari dan menyedari bahawa barangan mereka sudah hilang. Mereka menghubungi nombor telefon bimbit yang sudah hilang itu dan Othman menjawab panggilan itu.

Mereka menjejaki lokasi Othman di sebuah bangku berdekatan, di Blok 166, Teck Whye Crescent.

Apabila mereka mendapati barangan mereka dengan Othman, para mangsa itu meminta kembali barangan itu, tetapi Othman berbohong dan berkata dia telah membelinya daripada orang yang lalu di situ.

Dia meminta S$50 sebagai ganti untuk barangan itu, namun para mangsa enggan. Apabila Othman tidak menghiraukan mereka, para mangsa itu menelefon polis.

Sebelum pihak polis tiba dan memberkas Othman kerana mencuri, Othman menyerahkan telefon bimbit yang dicuri itu kepada seorang lagi lelaki, yang identitinya tidak dapat dikenal pasti.

Telefon bimbit itu tidak diperolehi kembali, tetapi barangan lain dikemballikan kepada kedua-dua mangsa.

Othman mengaku bersalah atas dua tuduhan mencuri, sementara tuduhan ketiga iaitu melarikan diri dari mahkamah turut diambil kira.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara selama tiga minggu, sambil menyenaraikan beberapa kesalahan yang dilakukan Othman, bermula dengan kes mencuri pada 1986. Hukuman terbarunya adalah pada 2019, kerana mencuri dua tin arak.

Othman, yang tidak diwakili, meminta maaf kepada hakim.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan