Skip to main content

Singapura

Pencipta kandungan, penggiat seni 'turun padang' bantu kumpul lebih S$2,000 bagi tujuan amal

Anggaran Waktu Membaca:
Pencipta kandungan, penggiat seni 'turun padang' bantu kumpul lebih S$2,000 bagi tujuan amal

Team Studs Up dan Kelab Sukan Dramatis Singapura bersaing dalam perlawanan amal bola sepak bagi mengumpul dana untuk Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA). (Gambar: Studs Up SG)

Diterbitkan : 30 Jun 2026 11:57PM Dikemas Kini : 01 Jul 2026 02:25AM

SINGAPURA: Sebilangan pencipta kandungan dan pempengaruh serta barisan pelakon dan penggiat seni tempatan 'turun padang' pada Ahad (28 Jun), untuk menghulurkan sokongan sambil mempamerkan kebolehan mereka beraksi dalam arena berbeza.

Bukan sekadar memperlihatkan kelincahan serta kemahiran mereka menggelecek bola, kedua-dua pasukan Team Studs Up dan Kelab Sukan Dramatis Singapura sebenarnya mempunyai tujuan yang lebih besar - mengumpul dana bagi Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) untuk menyokong individu dan keluarga rentan di Singapura.

Bertempat di The Arena @ Woodleigh, perlawanan bola sepak amal itu berlangsung dengan lancar dan berjaya mengumpul lebih S$2,000 bagi tujuan tersebut.

Team Studs Up antara lain menampilkan pencipta kandungan danp pempengaruh terkenal seperti @muyusoff, @ridhwannabe, @rajarazie_, @funnypunjabiguy, and @azritrickster.

Kelab Sukan Dramatis Singapura pula dibarisi Fadli Kamsani, Fauzie Laily, Ryan Sufiyan, Rizal Aiman and Erwin Dawson.

Related article image
Kelab Sukan Dramatis Singapura antara lain dibarisi Fauzie Laily (baju coklat, tengah). (Gambar: Studs Up SG)

Perlawanan amal itu dianjurkan Studs Up SG dengan kerjasama Kelab Sukan Dramatis Singapura dan Hausboom Singapore sebagai rakan hidrasi rasmi.

SUKAN SEBAGAI WADAH HULUR BANTUAN

Dana yang berjaya dikumpulkan menerusi perlawanan itu akan disalurkan kepada program bantuan Dana Amanah TAA, yang menyediakan bantuan kewangan, habuan makanan serta keperluan asas kepada keluarga yang berdepan kesukaran.

Kerjasama antara pencipta kandungan, pelakon dan penaja itu sekali gus membuktikan bagaimana sukan mampu menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat menjadi impak yang lebih besar dan bermakna, yang sampai kepada keluarga yang memerlukan.

Pengurus pasukan Kelab Sukan Dramatis Singapura dan pelakon veteran tempatan, Encik Azhar Noor Lesta, berkata Kelab Sukan Dramatis Singapura berasa amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif yang bermakna itu.

"Kami yakin bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi wadah yang mampu menyatukan masyarakat serta menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat memberi.

"Kami berharap dana yang dikumpulkan dapat memberi manfaat kepada penerima dan menggalakkan lebih ramai supaya tampil menyokong usaha amal sebegini pada masa hadapan.

"Kami juga berharap inisiatif kutipan dana untuk TAA ini dapat diteruskan setiap tahun. Ini merupakan satu permulaan yang baik," kata Azhar Noor Lesta.

Encik Abdul Latip Isnin, yang juga pengarah urusan HSG Global, iaitu pengedar bagi minuman Haus Boom di Singapura, juga berkongsi sentimen serupa.

"HSG Global amat berbesar hati kerana diberi peluang bekerjasama sebagai rakan hidrasi bagi 'Perlawanan Bola Sepak Amal TAA' antara Studs Up dan Dramatis.

"Kami juga berharap sokongan kecil kami terhadap acara kebajikan ini dapat membantu Studs Up sebagai penganjur dan TAA mencapai matlamat mereka untuk membantu keluarga dalam masyarakat yang benar-benar memerlukan."

Related article image
Team Studs Up SG. (Gambar: Studs Up SG)

Pengasas Studs Up SG, Encik Ahmad Romzi Zailee, Encik Zulkarnaen Mohamed dan Encik Muhammad Faris Mashwari, turut berterima kasih dapat menggunakan platform mereka untuk mengumpul dana bersama Dana Amanah TAA dan Haus Boom menerusi Perlawanan Amal 'Studs Up' 2026.

"Bola sepak sentiasa menjadi wadah yang menyatukan masyarakat, dan kami berterima kasih acara ini memberi peluang kepada kami memanfaatkan sukan ini untuk membantu keluarga serta individu yang paling memerlukan," ujar mereka.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Dana Amanah TAA Cik Huda Aljunied juga yakin perubahan yang bermakna bermula apabila orang ramai bersatu dengan ikhlas demi matlamat yang sama.

"Kami amat berterima kasih kepada Studs Up, Kelab Sukan Dramatis Singapura dan Hausboom Pte Ltd kerana membuktikan bahawa minat terhadap bola sepak mampu menyatukan pelbagai masyarakat demi tujuan yang lebih besar.

"Perlawanan amal ini bukan sekadar sebuah perlawanan, tetapi peringatan bahawa usaha secara kolektif mampu menghasilkan impak yang nyata dan berkekalan.

"Apabila individu, pertubuhan dan masyarakat berganding bahu, kita bukan sahaja dapat memenuhi keperluan mendesak, malah turut meningkatkan harapan dan memperkukuh daya tahan mereka yang paling memerlukan," kata Cik Huda.

Orang ramai boleh melayari www.taa.org.sg bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara-cara untuk menyumbang kepada Dana Amanah TAA.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita