Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencerahan jati diri penting agar orang Melayu lebih yakin bersuara, perjuang hak

Pencerahan jati diri penting agar orang Melayu lebih yakin bersuara dan menegakkan kebenaran selain memperjuangkan hak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pencerahan jati diri penting agar orang Melayu lebih yakin bersuara dan menegakkan kebenaran selain memperjuangkan hak.

"Terutama sekali masih terdapat salah faham, kekeliruan, malah menurut saya, krisis kebudayaan di kalangan masyarakat Melayu sendiri, dan kini diburukkan lagi dengan kes-kes perkauman di Singapura dan di seluruh dunia.

"Kita juga mesti menangani isu perkauman dengan adil dan saksama dan bukan dengan pendekatan melampau," tekan pemikir tempatan, Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat.

Menurut Ketua Jabatan Bahasa dan Budaya Asia Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang itu, persoalan imej dan identiti Melayu sudah banyak diperkatakan sejak berabad lamanya.

Perjalanan mencari jati diri bangsa, kata Prof Madya Hadijah semestinya berlaku secara bertahap-tahap dan persoalan jati diri dan citra bangsa dan visi kebudayaan Melayu perlu dibincangkan secara mendalam dan tuntas.

Lantaran itu, masyarakat perlu merenung semula persepsi orang Melayu dari lensa orang Melayu sendiri, dan bukan dari jelingan bangsa lain yang terbatas mahupun pandangan penjajah Barat, kata beliau.

Demikian antara hujah yang disuarakan Prof Madya Hadijah dalam ceramah Cendekiawan Lestari anjuran Lembaga Warisan Melayu (MHF) hari ini (17 Jul).

Ceramah berjudul Melayu Arif Budiman: Jejak Perjalanan Mencari Jatidiri, Menerokai Visi Kebudayaan di Tengah Jagatraya itu membincangkan persoalan jati diri, citra bangsa dan visi kebudayaan Melayu dalam pembangunan masyarakat Melayu di Singapura.

PENILAIAN POSITIF BERTUKAR NEGATIF TERHADAP ORANG MELAYU

Menurut Prof Madya Hadijah, dari lensa sejarah, orang Melayu mempunyai sikap terbuka sejak dahulu lagi.

"Keterbukaan menerima pendatang, keterbukaan orang India dan Cina buka kedai. Saya tidak fikir bangsa lain dapat berfikir begitu membiarkan bangsa lain berniaga di kampung mereka. Kita terlalu baik.

"Bukan itu sahaja, kajian saya menunjukkan orang Melayu suka mengambil anak angkat, ini menunjukkan semangat kemanusiaan kita tinggi," kata Prof Madya Hadijah.

Malah sebelum zaman penjajahan, beliau berkata bahawa orang Barat 'mengangkat' orang Melayu sebagai masyarakat yang bertamadun. Dr Hadijah menukil pandangan John Crawfurd, yang mengatakan bahawa bahasa Melayu dan Jawa adalah antara yang paling beradab dan kuat.

Namun nilai positif sedemikian bukanlah persepsi penjajah orang Barat, menurut beliau, lebih-lebih lagi selepas zaman penjajahan.

Sebaliknya persepsi terhadap orang Melayu bertukar menjadi masyarakat yang "malas dan bermasalah", tambahnya lagi.

Dalam hal itu, berdasarkan khazanah persuratan Melayu, Prof Madya Hadijah berkata bahawa imej dan identiti masyarakat Melayu sering ditentukan orang luar.

Antara akibatnya, ia membuat orang Melayu "tidak mempunyai suara dan menerimanya sahaja," lantas membuat kita "rasa kecil dan rendah diri".

CITA & CITRA BUDAYA MELAYU UNGGUL DALAM PENDIDIKAN

Dalam pembentangannya itu, Prof Madya Hadijah juga menyuarakan tentang falsafah hidup orang Melayu yang patut dicitrakan. Iaitu falsafah hidup orang Melayu yang mengangkat nilai kebaikan dan keindahan sebagai tunggak dan matlamat kehidupan Melayu.

Menurutnya, falsafah yang baik diterapkan dalam masyarakat adalah untuk menimbulkan masyarakat yang menabur budi dan bukan sahaja menerima budi.

Beliau juga menyentuh tentang konsep keindahan orang Melayu:

"Kehalusan kita itu kehalusan yang kena tempatnya, jadi kita tahu diri."

Adab dan kesantunan Melayu perlu dinilai semula dari segi isi, bentuk dan kesesuaian fungsinya dalam konteks hari ini, ujar ahli akademik veteran itu, sekali gus menjadi cabaran dan tugas utama seorang pendidik.

Menurutnya, nilai unggul sahaja tidak mencukupi. Seseorang guru perlu bijak dari segi batas amalan serta cekap untuk menerapkan keseimbangan nilai tradisi, nilai murni Islam dan sejagat.

KELUAR DARI KEPOMPONG SEJARAH

Menyimpulkan pembentangannya itu, Prof Madya Hadijah berkata bahawa masyarakat Melayu perlu tahu diri dan bangga bahawa "kita mempunyai tamadun, falsafah dan agama yang mulia, serta nilai bahasa persuratan dan kesenian yang bermutu tinggi".

Menurutnya, masyarakat Melayu adalah masyarakat yang terbuka dan merupakan bangsa global yang sudah membangun.

"Jangan menerima apa sahaja perubahan yang datang. Kita harus lebih tangkas mengejar ilmu, menilai dan memandang ke hadapan dan sentiasa mengharungi ombak ganas, meneroka arus perubahan secara arif bijaksana," nasihat beliau.

"Kita jangan mudah mengalah dan mesti tabah untuk mempertahankan tradisi kita yang positif lagi mulia biarpun diperkecilkan orang luar. Oleh itu, kita perlu mengukuhkan falsafah 'arif budiman', mengatur strategi pendidikan bahasa dan budaya yang segar lagi berkesan untuk membangunkan masyarakat yang maju dan menyumbang secara bermakna." 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan