Skip to main content

Singapura

Pencegahan kencing manis tumpuan edisi ke-2 "From Health to Hearts" PERTAPIS; Diabetes Singapore

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selain mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, penting juga untuk melakukan pemeriksaan kesihatan awal.

Demikian ditekankan oleh tetamu terhormat bagi inisitiaf "From Health to Hearts", Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kesihatan Rahayu Mahzam.

Edisi kedua inisiatif anjuran PERTAPIS bersama Diabetes Singapore itu menyasarkan usaha menangani peningkatan dalam kadar penyakit kencing manis, dengan penekanan yang kuat terhadap strategi pencegahan.

SETIAP SATU DARIPADA LAPAN ORANG MELAYU HIDAP KENCING MANIS

Usaha menangani penyakit itu genting memandangkan setiap satu daripada lapan orang Melayu menghidap kencing manis.

--

"Ini adalah satu hala tuju baru untuk PERTAPIS dan juga untuk masyarakat. Kami ingin meningkatkan apa yang kami buat tahun lalu juga kerana kami rasa ini adalah amat penting untuk masyarakat kita. Kita mahu (ambil pendekatan) secara 'upstream' atau dari masyarakat. Kita tidak mahu tunggu masyarakat kami menjadi sakit," kata Pegawai Eksekutif (CEO) PERTAPIS, Encik Firdaus D'Cruz kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

JALANI IBADAH PUASA DENGAN SELAMAT

Memandangkan bulan Ramadan semakin hampir, panduan berguna untuk para pesakit kencing manis menguruskan penyakit ketika berpuasa agar tidak memudaratkan juga disediakan.

"Kami melancarkan inisiatif ini awal tahun ini, iaitu lebih sebulan sebelum bulan Ramadan kerana kami ingin mendidik mereka menjalani ibadah puasa dengan selamat. Contohnya, diet apa yang sesuai untuk bersahur dan berbuka.

Selain dapat menjalani pemeriksaan bagi penyakit kencing manis dan kolesterol, para pengunjung juga diberi panduan tentang diet lebih sihat.

--

"Antaranya, kurangkan pengambilan garam dalam diet kerana ia akan menyebabkan anda haus. Kami mengajar mereka bila untuk minum ketika mereka berbuka puasa kerana hidrasi salah satu isu yang amat penting," kongsi pengarah eksekutif Diabetes Singapore, Encik Satyaprakash Tiwari.

Beliau juga menjelaskan, hipoglikemia adalah keadaan yang berbahaya, yang mana paras glukosa menjunam bawah paras normal iaitu kurang daripada 4 mmoI/L (millimoles per litre).

Oleh itu, mereka yang menghidap kencing manis perlu segera berbuka puasa sekiranya paras glukos jatuh bawah 4 m mol/L.

Menurutnya, alat pengukur paras glukos dalam darah diagihkan kepada lebih 150 penerima bantuan PERTAPIS.

CABARAN-CABARAN LAIN DALAM MASYARAKAT

Selain meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu kesihatan, cabaran-cabaran lain dalam masyarakat turut diberikan perhatian.

Pada tahun kewangan tahun lalu, PERTAPIS mengagihkan dana sebanyak S$780,000 kepada 500 keluarga berpendapatan rendah.

Ini termasuk pek barangan dapur, baucar pasar raya dan wang derma serta perkhidmatan seperti pembersihan rumah mahupun tuisyen.

Program-program serta bentuk sokongan lain turut ditawarkan kepada mereka.

Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman memuji usaha PERTAPIS itu dan menekankan kepentingan usaha mendekati warga emas Melayu/Islam dan menjadi jambatan untuk memberikan sokongan yang mereka perlukan".

Encik Fahmi berkata: "Ini bukan saja untuk memberikan mereka kesedaran tapi juga membantu memberi satu wadah untuk tahu apa makanan yang perlu dikurangkan, untuk mereka dapat terus berpuasa. Dan selepas bulan puasa makan makanan lebih sihat, mengetahui cara-cara yang mereka boleh lakukan seperti bersenam. Jadi ini jambatan yang sangat bagus sekali yang dapat kita kukuhkan dan teruskan untuk berikan kesedaran kepada semua masyarakat kita bahawa kita sendiri patut menjaga kesihatan kita. Kita ada banyak wadah seperti ini dan wadah-wadah lain seperti HealthierSg dan sebagainya. Jadi ini adalah satu inisiatif yang bagus untuk masyarakat kita."

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita