Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencarum yang sudah cerai harus semak semula penamaan waris, pesan CPF

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mulai Mei tahun ini, Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berhasrat mengingatkan para pencarum yang sudah bercerai supaya menyemak nama yang dicalonkan sebagai waris oleh mereka, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng di parlimen pada Isnin (20 Mac).

Beliau berkata demikian sebagai memberi respons kepada soalan yang difailkan oleh Anggota Parlimen Lim Biow Chuan (PAP-Mountbatten) dan Sylvia Lim (WP-Aljunied), yang bertanya sama ada peraturan akan diubah untuk menarik balik penamaan waris secara automatik apabila penerima itu menjadi bekas pasangan selepas perceraian.

Di bawah skim penamaan waris CPF, para pencarum mempunyai pilihan untuk memilih siapa yang boleh menerima dana CPF mereka selepas mereka meninggal dunia, dan berapa jumlah yang boleh diterima setiap penerima.

Isu itu dibangkitkan baru-baru ini menyusuli kes seorang warga emas yang mengandaikan satu-satunya anak perempuannya - dan bukan bekas isterinya - akan mendapat wang simpanan CPF beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini berkata bulan ini bahawa ia "membingungkan" bahawa perceraian tidak menarik balik secara automatik penamaan waris yang diwujudkan sebelum ini, meskipun penamaan waris CPF sedia ada akan ditarik balik secara automatik apabila seseorang itu berkahwin.

"penamaan waris CPF kini diberi layanan serupa dengan wasiat. Ia ditarik balik apabila seseorang itu berkahwin bagi memberi peluang kepada pencarum itu membuat penamaan waris baru," jelas Dr Tan.

"Seperti wasiat, penamaan waris CPF tidak ditarik balik apabila seseorang itu bercerai kerana kami mengiktiraf bahawa pencarum CPF mungkin masih mahu memberi simpanannya kepada bekas pasangan dan anak-anak hasil perkahwinan itu."

Dr Tan menarik perhatian bahawa Kementerian Undang-Undang sedang mengkaji sama ada peraturan itu harus diubah dalam Akta Wasiat 1838 yang membolehkan langkah menarik balik wasiat secara automatik apabila seseorang itu berkahwin.

"MOM dan Lembaga CPF akan juga mengkaji peraturan penamaan waris CPF, supaya dasar itu kekal relevan kepada keperluan dan tingkah laku yang berubah-ubah rakyat Singapura," kata beliau.

SEMAK, KEMAS KINI PENAMAAN WARIS

Sehubungan itu, para pencarum CPF harus menyemak dan mengemas kini penamaan waris "apabila keadaan kehidupan mereka sudah berubah", kata Dr Tan.

"Lembaga CPF meningkatkan khidmat penamaan waris CPF untuk membolehkan para pencarum supaya menyemak penamaan waris mereka dengan mudah dan membuat perubahan dengan selamat, termasuk melalui laman CPF," tambah beliau.

CFP sekarang ini turut memberi peringatan menerusi kenyataan akaun tahunan pencarum supaya menyemak penamaan waris mereka.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan