Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencari nafkah tunggal ini bantu cantikkan rumah orang susah. Kini rumahnya pula...

Encik Anis ini bersihkan dan cantikkan 8 rumah golongan fakir miskin tidak kira kaum dan agama walaupun dirinya sendiri 'cukup-cukup makan'. Beliau menjadi pencari nafkah tunggal selepas isterinya diserang strok. Tanpa disangka-sangka, rezeki datang mengetuk rumah pintunya pula...

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Encik Mohammed Anis Adam, 53 tahun, merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarganya.

Namun beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sekadar mengharapkan upah memperbaiki barang-barang rosak.

Isterinya memang tidak boleh bekerja kerana menjadi separuh lumpuh sejak diserang angin ahmar pada 2016. Dua anak perempuan mereka pula masih bersekolah.

"Nak cakap tak susah, susah jugak. Memang saya tak senang tapi Alhamdulillah perbelanjaan anak-anak boleh diurus," luah Encik Anis kepada BERITAmediacorp.

Pun begitu, beliau ternyata cukup berjiwa besar...

JADI RELAWAN JAMIYAH, SERIKAN RUMAH ORANG SUSAH

Selama hampir lima tahun, Encik Anis giat berbakti sebagai sukarelawan di Jamiyah Singapura.

Selain membantu membangunkan khemah bagi acara-acara badan kebajikan itu, Encik Anis juga sering kali terlibat dalam pengagihan habuan Jamiyah.

Bukan itu sahaja, sejak 2019, Encik Anis sudah membantu mencantikkan lapan rumah golongan fakir miskin - tidak kira kaum dan agama.

Encik Anis memasang paip baru di rumah seorang penerima bantuan. 

Semua itu dilakukan bersama beberapa pesalah dadah di bawah inisiatif Rumah Peralihan Darul Islah yang dipanggil Project Happiness.

"Saya perlukan bantuan tapi bila kadang-kadang saya ikut Jamiyah, saya lihat orang lagi susah daripada saya," kata bapa dua anak itu.

"Kalau saya nak bantu orang dari segi kewangan, memang saya tak mampu. Apa yang saya boleh buat, adalah menggunakan tulang empat kerat saya. Saya punya tenaga. Apa yang saya boleh bantu, saya bantu."

Antara penerima bantuan yang rumahnya sudah dicantikkan dan dibersihkan Encik Anis bersama para penghuni Darul Islah. (Gambar: Jamiyah Singapore)

Siapa sangka, inisiatif Jamiyah yang beliau bantu menjayakan itu, akhirnya datang 'mengetuk' pintu rumahnya pula.

"Bila saya bikin-bikin rumah orang... dalam hati ada berkata: Kalau rumah aku ini mereka dapat bikin, Alhamdulillah. Ingatkan begitulah. Dalam diam-diam, kakitangan Jamiyah tanya," cerita Encik Anis.

RUMAHNYA SENDIRI MEMANG "TUNGGANG-LANGGANG"

Hakikatnya, sedang Encik Anis "memasang kipas dan paip baru" di rumah para penerima bantuan Project Happiness, rumahnya sendiri "tunggang-langgang".

Ruang tamu Encik Anis sebelum Project Happiness. (Gambar: Jamiyah Singapore)

Encik Anis selalu membawa pulang barang-barang yang perlu diperbaiki tetapi semua itu tidak sempat disusun rapi.

Sehingga kini, isterinya pula masih berkerusi roda dan keadaan itu menyukarkan beliau untuk membantu membersihkan rumah.

Sudut Encik Anis menyimpan barang-barang yang diperlukan untuk bekerja. (Gambar Jamiyah Singapore)

"Kakitangan Jamiyah pernah ikut saya balik rumah, hantar barang. Mungkin mereka nampak rumah saya sedikit sebanyak tunggang-langgang," ujar Encik Anis secara jujur.

Keadaan tandasnya juga boleh dikatakan agak teruk. Silingnya rosak.

"Kadang-kadang bila kami mandi, kami tengok... bila nak jatuh. Jangan jatuh atas kepala sudah," selorohnya.

Siling tandas di rumah Encik Anis. (Gambar: Jamiyah Singapore)

Jadi apabila Encik Anis dimaklumkan rumahnya akan dibersihkan dan dicantikkan di bawah Project Happiness, beliau benar-benar bersyukur.

"Itulah terperanjat. Terperanjat besar. Jamiyah telefon saya. Saya ingat mereka nak kasi projek. (Tiba-tiba) katanya ingin 'recce' rumah. Alamak jantung macam tak tentu arah. Betul tak ni?"

AIDILFITRI YANG CUKUP MANIS

Sepanjang sekitar dua minggu pada Ramadan lalu, enam penghuni Rumah Peralihan Darul Islah mengecat, membersihkan dan malah memperbaiki siling tandas Encik Anis.

(Gambar: Jamiyah Singapore)

Tepat beberapa hari sebelum Raya, rumah yang sudah didiami Encik Anis sekeluarga selama lebih 20 tahun berubah wajah seolah-olah menjadi rumah baru.

Perabot dan peralatan baru - seperti meja makan sesuai untuk orang berkerusi roda, sofa, dapur dan pemanas air - juga menyerikan lagi rumahnya. Langsir baru juga dipasang.

Rumahnya kini benar-benar rapi.

Encik Anis kini mempunyai tempat untuk simpan barang dengan lebih teratur. (Gambar: Jamiyah Singapore)

"Tembok bersih, laluan lapang. Senang untuk isteri bergerak. Saya bersyukur tapi ini semua beri saya semangat untuk bantu lagi ramai orang yang memerlukan bantuan, insya-Allah," tambah Encik Anis.

Yang jelas, Aidilfitri buat Encik Anis sekeluarga tahun ini cukup istimewa.

Meski tidak dapat menyambut ramai tetamu, Syawal dapat diraikan dalam keadaan selesa, dan pastinya... penuh kesyukuran. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan