Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencari kerja sambut baik sokongan kewangan sehingga S$6,000 di bawah skim sokongan SkillsFuture

Anggaran Waktu Membaca:
Pencari kerja sambut baik sokongan kewangan sehingga S$6,000 di bawah skim sokongan SkillsFuture

Pencari kerja sambut baik sokongan kewangan sehingga S$6,000 di bawah skim sokongan SkillsFuture. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Sejak diberhentikan kerja pada Julai tahun lalu, Cik Dyana Jumadi, 37 tahun tidak berputus asa untuk mencari pekerjaan baharu.

Namun, proses itu bagaimanapun tidak mudah baginya.

Sebelum ini, beliau merupakan Pengurus Operasi di sebuah syarikat pengambilan pekerja dan sehingga kini, masih belum mendapat sebarang tawaran kerja.

"Tentu besar cabarannya sebab selama empat, lima tahun, saya tidak mencari kerja. Jadi untuk 'restart' atau memulakan semula proses mencari kerja, ini satu perkara yang amat susah untuk mengemaskini kini Curriculum Vitae (CV), dan juga melatih diri untuk pergi temu duga lagi," kongsi Cik Dyana kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Cik Dyana Jumadi diberhentikan kerja sejak Julai tahun lalu. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Beliau turut melahirkan rasa sedih dan pernah satu ketika rasa tertekan selama satu bulan kerana tidak berjaya dalam temu duga kerja.

"Temu duga itu, saya dapat sehingga temu duga kedua. Selepas itu, sudah tidak ada berita jadi itu agak sukar. Mungkin kerana satu, saya tidak pernah bekerja dalam firma tempatan dan selalu berada di MNC (Perusahaan Berbilang Negara). Satu lagi mungkin jawatan saya sebagai pengurus, di peringkat pengurusan dan dari segi gaji juga sebelah atas jadi sukar untuk mendapat (kerja)," ujar Cik Dyana.

SOKONGAN KEWANGAN SEMENTARA SEHINGGA S$6,000

Cik Dyana Jumadi bersama Jurulatih Kerjaya Kanan, WSG, Cik Noralizah Aziz (kiri). (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Lantaran itu, bagi Cik Dyana yang masih lagi aktif mencari kerja dan menjalani latihan kerjaya, skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture (JS) itu amat dialu-alukannya.

Skim itu menyediakan sokongan kewangan sementara sehingga S$6,000 sepanjang enam bulan mulai 15 April 2025.

"Sememangnya aktiviti-aktiviti yang (perlu dilakukan) untuk mendapatkan (bayaran) wang bagi Skim JS ini agak mudah. Sebenarnya kita semua membuatnya seperti mengemas kini CV, pergi temu duga, pergi latihan. Jadi saya rasa, memang tidak susah untuk (melaksanakan) skim ini," jelas Cik Dyana.

PILIH DARI 13 AKTIVITI BERBEZA, KUMPUL MATA

Di bawah skim baharu itu, para peserta diberikan kelonggaran untuk memilih daripada 13 jenis aktiviti yang berbeza untuk mengumpul mata.

Bagi setiap aktiviti, ia menawarkan jumlah mata yang berbeza berdasarkan jumlah usaha yang diperlukan untuk aktiviti itu.

Misalnya, jika peserta menghadiri sesi temu duga kerja, mereka boleh meraih empat mata.

Manakala bagi individu yang menghantar permohonan bagi pekerjaan baharu, mereka boleh meraih satu mata.

DAPATKAN BIMBINGAN PROFESIONAL OLEH JURULATIH KERJAYA

Jurulatih Kerjaya Kanan, WSG, Cik Noralizah Aziz. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Skim itu juga menyediakan peluang bagi para pencari kerja mendapat bimbingan profesional oleh para jurulatih kerjaya.

"Kadang kala kerana mereka sudah bekerja lama di tempat yang sama, mereka tidak tahu apa itu resume dan tidak tahu bagaimana untuk pergi temu duga, apa yang perlu dilakukan apabila pergi membina rangkaian. Jadi kita sebagai jurulatih membantu mereka untuk melalui masa yang susah dan mencabar untuk mereka sekarang, mencabar," kongsi Jurulatih Kerjaya Kanan, WSG, Cik Noralizah Aziz kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Dengan skim JS menerusi sistem mata itu sendiri, jumlah itu boleh dikumpul dengan membuat resume, pergi temu duga, membina rangkaian. Jadi menerusi sistem ini, apabila ia dihantarkan, mereka boleh mendapat bayaran. Mereka akan menerima bayaran seperti elaun untuk mereka membawa pulang untuk keluarga mereka," tambahnya.

Rakyat Singapura yang berminat untuk menyertai skim JS ini boleh mendaftar di laman ini, bermula Selasa (15 Apr).

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan