Pencapaian, nilai diperjuangkan CPT Shamsudin akan terus dikenang, kata PM Lee
PM Lee Hsien Loong bersama Allahyarham Kapten (Bersara) Shamsudin Shadan di majlis buka puasa di Masjid Mujahidin pada 2014. (Gambar: MCI/Chwee)
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian dalam catatannya di laman Facebook pada Isnin (14 Mac) sebagai memberi penghormatan kepada Sarjan Mejar Rejimen (RSM) yang pertama dilantik bagi Batalion Pertama, Rejimen Infantri Singapura (1 SIR) dan RSM Perbarisan semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang pertama pada 1966.
"Beliau adalah salah seorang Perintis Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang mempunyai tugas sukar untuk membina pasukan pertahanan kita setelah kita merdeka.
"Kapten (Bersara) Shamsudin meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya dan ribuan anggota tentera SAF yang menjalani latihan SAFTI.
"Beliau menunjukkan contoh disiplin dan sifat bangga dalam SAF dan membantu menyemai semangat juang yang kuat serta iltizam mendalam untuk mempertahankan Singapura," tulis PM Lee.
PM Lee turut menarik perhatian kepada semangat Allahyarham untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan "kekal aktif" pada usia lanjutnya.
"Sebagai bekas Pengerusi Qaryah Kampong Holland sebelum ia dibangunkan semula, beliau menyumbang dan berbakti kepada masyarakat. Ucapan takziah buat keluarga beliau.
"Kapten (Bersara) Shamsudin telah menikmati kehidupan dan hayat yang panjang lagi bermakna. Pencapaian dan nilai-nilai yang beliau perjuangkan akan terus dikenang," kata PM Lee.
TEO CHEE HEAN, NG ENG HEN TURUT BERI PENGHORMATAN
Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean juga mengimbas kenangan beliau bersama Allahyarham Kapten (Bersara) Shamsudin.
Allahyarham juga merupakan RSM SAFTI semasa Encik Teo menjadi seorang pegawai kadet pada 1973.
"Saya bertemu dengannya banyak kali selepas beliau bersara semasa beliau menabur bakti kepada masyarakat dan... di majlis perjumpaan para perintis SAF.
"Saya akan sentiasa mengingati RSM perintis kami Kapten (Bersara) Shamsudin," tulis Encik Teo di laman Facebooknya.
"SAF meratapi pemergian Encik Shamsudin, ikon hebat dan peran contoh yang harus diteladani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.