Skip to main content

Singapura

Pencapaian MENDAKI sepanjang 5 tahun - usaha perkukuh potensi masyarakat melalui sokongan masyarakat & kerjasama strategik

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 Jan 2026 12:01AM Dikemas Kini : 30 Jan 2026 06:42PM

SINGAPURA: Sepanjang lima tahun yang lalu, MENDAKI telah melangkah lebih jauh dalam memperkukuh ekosistem sokongan pendidikan, memperluas jangkauan khidmat serta memperdalam kerjasama dengan rakan strategik untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

MENDAKI berkata kejayaan itu membuktikan bahawa sokongan berteraskan masyarakat dan kerjasama pelbagai pihak adalah kunci kepada pembangunan potensi menyeluruh.

Menurut data yang dikeluarkan, pencapaian program-program MENDAKI menunjukkan impak yang ketara ke atas masyarakat Melayu/Islam.

LEBIH 80% INDIVIDU DISOKONG SEJAK 2021

Jumlah individu yang menerima sokongan MENDAKI mencatat peningkatan ketara sejak 2021.

Daripada 73,300 individu pada 2021, ia meningkat kepada 95,267 pada 2023 sebelum melonjak kepada 132,247 pada 2024 iaitu peningkatan lebih 80 peratus dalam tempoh empat tahun.

Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan MENDAKI dalam memperluaskan jangkauan dan keberkesanan programnya untuk menyokong masyarakat Melayu/Islam di pelbagai peringkat kehidupan.

PENCAPAIAN KELASMATEMATIKA

Antara inisiatif utama MENDAKI ialah KelasMatematika MENDAKI (KMM) dan Program Tuisyen MENDAKI (MTP).

Bagi KMM, lebih 11,000 ibu bapa dan kanak-kanak telah meraih manfaat daripadanya.

Program yang menyasarkan kanak-kanak berusia antara empat dengan enam tahun itu terbukti berkesan apabila 9 daripada 10 kanak-kanak tidak memerlukan sokongan tambahan dalam Matematik semasa di Darjah 1.

PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR MENINGKAT

Sementara itu, bilangan pelajar yang mendaftar dalam MTP menunjukkan peningkatan konsisten dari 2021 hingga 2024.

Pada tahun 2021, bilangan pelajar yang mengikuti MTP adalah 7,067 dan ia terus meningkat sehingga bilangannya mencapai 9,696 pelajar pada 2024, iaitu peningkatan lebih 37 peratus.

Secara keseluruhan, hampir 35,000 pelajar disokong melalui 100 Pusat Program Tuisyen MENDAKI.

Pelajar yang mengikuti program itu turut menunjukkan kemajuan dalam peperiksaan nasional.

Peratusan pelajar yang memperoleh kelulusan berkualiti dalam subjek Matematik meningkat, dengan kadar kelulusan daripada 56 peratus hingga 68 peratus bagi PSLE setakat Disember 2024. 

Ini menunjukkan impak positif sokongan akademik MENDAKI terhadap prestasi pelajar, khususnya dalam subjek Matematik.

MENDAKI juga telah melatih hampir 1,900 mentor untuk mendampingi lebih 7,900 belia, dengan inisiatif seperti #amPowered@ITE, menyaksikan 90 peratus pesertanya berjaya melangkah ke tahun kedua pengajian.

WANITA DIPERKASA MELALUI PROGRAM W@W

Melalui kerjasama dengan agensi kebangsaan seperti NTUC e2i dan Workforce Singapore, 40 peratus peserta program Women At Work (W@W) berjaya dipadankan dengan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat program.

RANGKAIAN PROFESIONAL MENDAKI

Selain itu, 13 rangkaian profesional telah ditubuhkan merangkumi pelbagai sektor seperti Penerbangan, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Kejuruteraan, Kesihatan, Undang-undang, Media dan Kreatif, Sektor Awam, Kerja Sosial, Kelestarian dan Teknologi.

Lebih 60 peratus profesional yang terlibat turut menyumbang kembali kepada masyarakat melalui program dan inisiatif dari bawah MENDAKI.

DR FAISHAL BERI PENGHARGAAN KEPADA USAHA MENDAKI

Bercakap pada pelancaran Pelan Kerja MENDAKI 2030, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim memberi penghargaan kepada usaha berterusan MENDAKI untuk masyarakat.

"Sejak beberapa tahun lalu, masyarakat Melayu/Islam telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan, khususnya dalam bidang pendidikan. Apabila MENDAKI diasaskan pada tahun 1982, ramai daripada pelajar Melayu/Islam kita menghadapi cabaran untuk menamatkan pendidikan asas.

"Hari ini, hasil kerja keras MENDAKI dan rakan masyarakat yang lain, kita telah membina masyarakat yang berpendidikan lebih baik dan lebih berkeyakinan untuk menghadapi cabaran baharu," kata Dr Faishal.

Beliau berkata bahawa setiap perubahan yang berlaku dalam landskap pendidikan dan pekerjaan masyarakat Melayu/Islam mencerminkan usaha kolektif yang berterusan untuk memperbaiki diri dan membina masa depan yang lebih baik.

Dr Faishal juga menyorot kesan positif program-program MENDAKI terhadap kehidupan harian.

"Saya telah melihat secara langsung impak positif program-program MENDAKI terhadap pembangunan masyarakat Melayu/Islam, dari menyiapkan ibu bapa dan murid untuk Darjah 1 kepada menyokong mereka agar cemerlang dalam akademik melalui Pusat Program Tuisyen MENDAKI, membimbing belia melalui program mentoring yang berstruktur, dan kerjasama dengan agensi-agensi nasional seperti NTUC e2i dan Workforce Singapore bagi memadankan pencari kerja Melayu/Islam dengan
pekerjaan yang baik dan membantu wanita kembali bekerja," kata Dr Faishal.

Beliau menekankan lagi bahawa kejayaan ini bukan usaha satu pihak sahaja, tetapi memerlukan kolaborasi pelbagai pihak.

"Melalui rangkaian M³ yang diperluas — termasuk Pertubuhan Melayu/Islam, Pertubuhan India/Muslim dan rakan masyarakat lain — kita mahu menggerakkan masyarakat Melayu/Islam yang lebih luas untuk bergabung, meningkatkan impak kolektif, memastikan koordinasi serta respons yang lebih baik dalam menangani keperluan masyarakat," kata Dr Faishal.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan MENDAKI serta semua rakan strategik bagi merealisasikan perubahan yang bermakna dan yang memberi kesan kepada masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita