Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencapaian hampir 500 pelajar cemerlang Melayu/Islam diraikan dalam Anugerah MENDAKI 2021

Pencapaian belia bernama Elijah Adam Abdul Haady Aldrin ini cukup luar biasa. Kalau pelajar maktab rendah lain biasanya menduduki tiga kertas H2 bagi Peperiksaan GCE 'A', Elijah mengambil langkah berani untuk menduduki satu kertas H3 dan empat kertas H2.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pencapaian belia bernama Elijah Adam Abdul Haady Aldrin ini cukup luar biasa. Kalau pelajar maktab rendah lain biasanya menduduki tiga kertas H2 bagi Peperiksaan GCE 'A', Elijah mengambil langkah berani untuk menduduki satu kertas H3 dan empat kertas H2.

Ini bermakna, Elijah perlu mempelajari lebih banyak konsep dan topik berbanding mereka yang sebaya dengannya.

Elijah Adam Abdul Haady Aldrin antara penerima Anugerah MENDAKI 2021. 

Namun, berkat usaha gigihnya sendiri, anak sulung tiga beradik itu mendapat gred 'A' bagi kesemua mata pelajaran GCE 'A' yang dia duduki. Ini sekaligus menjadikannya antara pelajar terbaik di sekolah mahupun di seluruh Singapura.

"Hari dapat keputusan itu agak lucu kerana rakan-rakan saya suka membanding-bandingkan keputusan tapi saya tak suka. Jadi hari itu, saat saya dapat keputusan, saya terus ke pantai East Coast. Saya buka sendiri. Wah terkejut saya, melihat dapat tujuh gred A. Sampai jerit bahagia," cerita bekas pelajar Maktab Rendah Victoria itu.

Bayangkan, prestasi akademik itu dicapai meskipun Elijah menyertai empat kegiatan ko-kurikular semasa di maktab rendah iaitu kelab penerbitan, sukan tenis, orkestra cina dan juga sebagai pengawas sekolah.

(Gambar-gambar: Elijah Adam)

Atas prestasi akademiknya yang mengagumkan itu, Elijah diberi pengiktirafan dengan Anugerah MENDAKI dan Anugerah Pencapaian Akademik yang disampaikan kepadanya oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat di Wisma MENDAKI pada Sabtu (2 Okt).

Dia dalam kalangan hampir 500 pelajar dan belia Melayu/Islam yang pencapaian mereka diraikan dalam satu majlis 'hibrid'. 30 tetamu diundang menghadiri majlis itu secara fizikal sementara yang lain menyertai acara tersebut secara maya.

"Keluarga saya yang telah memberikan sokongan dan dorongan dari saya kecil sampai sekarang. Mereka selalu ada di sisi saya, merekalah yang selalu mendengar bila saya tertekan dan risau. Saya harap dengan keputusan yang baik ini, saya boleh dapatkan biasiswa untuk membiayai pendidikan saya pada masa hadapan," ulas Elijah yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara.

Dia kini menaruh harapan dapat memasuki Imperial College di London untuk mendalami bidang sains dan teknologi makanan pula.

71 SISWAZAH KEPUJIAN TERTINGGI TAHUN INI

Turut hadir meraikan pencapaian para pelajar Melayu/Islam pada Sabtu (2 Okt) ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Encik Zaqy Mohamad.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah MENDAKI yang telah mencapai kecemerlangan pada peringkat PSLE hinggalah mereka yang mendapat kepujian di universiti. (Pencapaian mereka) menunjukkan bahawa dengan peluang-peluang yang diberikan kepada anak-anak Melayu kita, mereka boleh juga mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi," kata Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Encik Masagos di luar acara majlis Anugerah MENDAKI 2021. 

"Tahun ini juga 71 anak-anak kita mendapat kepujian tertinggi di universiti di Singapura dan dari luar negeri," dedah Encik Masagos.

Anugerah Gemilang turut disampaikan kepada empat penerima kali ini. Anugerah tersebut diberikan kepada para penuntut yang tidak hanya cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memberi kesan positif kepada kehidupan orang lain.

Para penerima anugerah yang selaras dengan gagasan 'Masyarakat Gemilang' ialah:

(1) Indra Dermawan Yuhanis dari Kolej Barat ITE
(2) Muhammad Syafiq Abdul Rahman dari Politeknik Singapura
(3) Syed Muhammed Faizal B S K R dari Maktab Rendah Victoria
(4) Reena Chandini dari Universiti Nasional Singapura

SETIAP GENERASI BARU HARUS DIPUPUK: DPM HENG

Dalam ucapannya, DPM Heng yang diundang sebagai tetamu terhormat turut memuji para penerima Anugerah MENDAKI dan bahkan berkata, mereka selayaknya diiktiraf.

"Pencapaian mereka lebih bermakna memandangkan ada pelbagai cabaran baru disebabkan pandemik sekarang ini. Ramai daripada mereka perlu membuat penyesuaian tetapi mereka cekal dan membuktikan mereka berdaya bingkas," kata DPM Heng.

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

Namun lebih penting lagi, beliau menekankan bahawa usaha memupuk belia harus diteruskan walaupun kian ramai anak-anak Melayu kini berkelulusan universiti.

"Dengan kelayakan pendidikan lebih tinggi, lebih ramai orang Melayu kini memegang jawatan berkemahiran tinggi lalu kemudian meraih pendapatan lebih tinggi. Pencapaian ini sememangnya dibanggakan masyarakat tetapi tugas kita belum selesai dan kita mesti terus memupuk setiap generasi baru mencapai kecemerlangan lebih tinggi," ujarnya.

Mereka yang sudah mencapai kejayaan juga boleh menyumbang kembali kepada masyarakat dan terus memberi inspirasi kepada yang lain, tambah beliau.

Kempen Raikan Ilmu 2021 turut dilancarkan di acara yang sama. 70 program kesemuanya akan dianjurkan buat orang ramai demi memupuk minat dan rasa cinta pada ilmu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa