Skip to main content

Singapura

Pencalonan dibuka untuk edisi ketiga Anugerah Upaya Goh Chok Tong

Pencalonan bagi edisi ketiga Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCTEA) dibuka pada Khamis (8 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pencalonan dibuka untuk edisi ketiga Anugerah Upaya Goh Chok Tong

Para penerima Pencapaian UBS di Anugerah Upaya Goh Chok Tong pada 3 Dis 2020. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 01:18PM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 01:27PM

SINGAPURA: Pencalonan bagi edisi ketiga Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCTEA) dibuka pada Khamis (8 Jul).

GCTEA mengiktiraf pencapaian individu kurang upaya dan mendorong mereka yang berpotensi untuk mengorak langkah jauh dalam usaha mereka.

Pencalonan akan terus dibuka sehingga 31 Ogos 2021.

Terdapat dua kategori: GCTEA (Potensi UBS) dan GCTEA (Pencapaian UBS).

GCTEA (Pencapaian UBS) mengiktiraf orang kurang upaya yang membuat pencapaian ketara dalam bidang masing-masing dan merupakan sumber inspirasi kepada orang lain. Sehingga tiga individu akan dianugerahi S$10,000 setiap seorang.

Selain itu, untuk mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh pertubuhan yang dicalonkan yang merupakan Institusi-Bertaraf Awam dan institusi pendidikan pemerintah, mereka masing-masing akan menerima S$5,000 jika calon mereka dipilih sebagai pemenang kategori anugerah ini.

GCTEA (Potensi UBS) pula menggalak orang kurang upaya yang memperlihatkan potensi dalam bidang-bidang bakat mereka serta kerelaan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Sehingga 10 individu akan menerima S$5,000 setiap seorang.

Para calon bagi kedua-dua kategori anugerah itu mestilah orang kurang upaya, iaitu kurang daya fizikal, kurang upaya deria seperti kurang daya penglihatan dan kurang daya pendengaran, kurang daya intelektual atau autisme.

Mereka juga mestilah rakyat atau penduduk tetap Singapura.

Mereka mestilah berusia 18 tahun dan ke atas bagi GCTEA (Pencapaian UBS) atau 12 tahun dan ke atas bagi GCTEA (Potensi UBS).

Anugerah-anugerah itu dilancarkan oleh Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong yang juga Penaung Dana Upaya Mediacorp (MEF).

MEF adalah sebuah dana masyarakat yang ditadbir oleh SG Enable. Ia juga disokong oleh Lembaga Tote selaku penaja pengasas dan UBS Singapora sebagai penaja utama.

Seramai 29 individu kurang upaya sudahpun menerima anugerah-anugerah tersebut melalui dua edisi lalu.

Para pemenang GCTEA tahun ini akan diumumkan pada suku keempat 2021.

Mediacorp adalah rakan media rasmi GCTEA.

Untuk maklumat lanjut tentang anugerah, kelayakan, pencalonan dan proses penilaian, sila layari lelaman ini: https://www.mef.sg/goh-chok-tong-enable-awards/.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita