Skip to main content

Singapura

Pencalonan dibuka untuk Anugerah Upaya Goh Chok Tong 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Pencalonan dibuka untuk Anugerah Upaya Goh Chok Tong 2025

Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong berucap di GCTEA pada 1 Dis 2022. (Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 07 May 2025 11:07PM Dikemas Kini : 07 May 2025 11:08PM
SINGAPORE: Pencalonan untuk Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCTEA) 2025 kini dibuka, hingga tarikh tutup pencalonan pada 25 Jun, menurut kenyataan bersama oleh Mediacorp dan agensi kurang upaya SG Enable pada Rabu (7 Mei).

Kini dalam tahun ketujuhnya, anugerah ini merupakan inisiatif utama Dana Upaya Goh Chok Tong, iaitu dana masyarakat yang diuruskan oleh SG Enable dan disokong oleh Mediacorp.

Ia memberi peluang kepada golongan kurang upaya untuk menyumbang secara aktif kepada masyarakat dan menjalani kehidupan yang bersepadu dengan menyediakan bantuan kewangan, menyokong aspirasi mereka dan memberi mereka anugerah.

Anugerah ini ada dua kategori:

GCTEA (Pencapaian) mengiktiraf golongan kurang upaya yang membuat pencapaian ketara dalam bidang masing-masing dan menjadi inspirasi kepada orang lain. Sehingga tiga individu akan menerima S$10,000 setiap seorang.

Pertubuhan yang mencalonkan mereka, sama ada Institusi Bertaraf Awam atau institusi pendidikan pemerintah, masing-masing akan menerima S$5,000 jika calon mereka dipilih sebagai pemenang kategori ini.

Ia sebagai mengiktiraf "peranan mereka dalam laluan kejayaan golongan kurang upaya", kata Mediacorp dan SG Enable.

GCTEA (Potensi) mengiktiraf individu yang menunjukkan potensi dan bertujuan menggalak mereka untuk meraih pencapaian lebih tinggi dalam bidang kepakaran mereka serta bersedia berkhidmat kepada masyarakat. Sehingga 10 individu akan menerima S$5,000 setiap seorang.

Calon-calon untuk kedua-dua kategori mestilah individu yang kurang upaya, menurut Mediacorp dan SG Enable.

Ini termasuk kurang upaya dari segi fizikal dan deria seperti cacat penglihatan dan pekak, kurang upaya intelektual atau mengalami autisme.

Mereka juga mestilah warganegara Singapura atau penduduk tetap, dan berumur 18 tahun ke atas untuk anugerah GCTEA (Pencapaian), atau berumur 12 tahun ke atas untuk anugerah GCTEA (Potensi).

Terdapat 84 penerima anugerah sepanjang enam edisi yang lalu. 13 individu kurang upaya telah diraikan tahun lalu.

Encik Michael Ngu, pengerusi panel penilaian GCTEA dan ahli lembaga SG Enable, berkata: "Sejak penubuhannya pada 2019, GCTEA telah memberi penghormatan kepada golongan kurang upaya yang telah mengatasi cabaran dan meraih pencapaian luar biasa - sama seperti bagaimana Singapura telah berdiri teguh dan mengatasi rintangan selama 60 tahun sejak kemerdekaan."

Maklumat lanjut mengenai anugerah, kelayakan, pencalonan dan proses penilaian boleh didapati di laman web Dana Upaya Goh Chok Tong.

Pemenang tahun ini akan diumumkan pada November nanti.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita