Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencalonan bagi Anugerah Guru Arif Budiman 2022 kini dibuka

Pencalonan bagi Anugerah Guru Arif Budiman 2022 sudah dibuka dan akan ditutup pada 1 April 2022.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pencalonan bagi Anugerah Guru Arif Budiman 2022 sudah dibuka dan akan ditutup pada 1 April 2022.

Para pelajar, pendidik, ibu bapa dan orang awam dipelawa untuk mencalonkan guru-guru Bahasa Melayu yang cemerlang bagi Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2022.

Anugerah itu bermatlamat untuk mengiktiraf guru-guru Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah, maktab rendah dan Institut Millenia, yang menyumbang besar kepada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Sejak ia dilancarkan pada 2007, seramai 69 guru Bahasa Melayu dari sekolah rendah, menengah dan prauniversiti sudah diberikan pengiktirafan AGAB.

Tahun ini, anugerah tersebut akan diberikan menerusi dua kategori iaitu perangsang dan peran contoh.

Anugerah di bawah kategori perangsang diberikan kepada guru yang berpengalaman kurang 10 tahun dalam bidang pengajaran manakala kategori peran contoh pula diberikan kepada mereka yang sudah mengajar selama lebih 10 tahun dan ke atas.

Para calon akan dinilai berdasarkan keupayaan mereka menerapkan pengetahuan, kemahiran dan minat dalam pembelajaran Bahasa Melayu, kesusasteraan dan budaya serta keprihatinan terhadap keperluan dan kebajikan para pelajar.

Para calon juga perlu memiliki nilai-nilai Arif Budiman, iaitu seorang individu terpelajar yang memberi sumbangan kepada masyarakat menerusi khidmat yang cemerlang sebagai seorang pendidik.

Borang pencalonan rasmi yang akan diedarkan ke setiap sekolah juga boleh dimuat turun dari laman www.mbms.sg, www.mllpc.sg dan www.beritaharian.sg.

Pencalonan juga boleh dibuat secara online menerusi https://go.gov.sg/agab2022.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 1 April 2022.

Para penerima AGAB akan diumumkan pada November ini.

AGAB 2022 dianjurkan bersama oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura, Persatuan Guru Bahasa Melayu, Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan