Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pencalonan Anugerah Madrasah LBKM catat jumlah rekod sejak 2019

Jumlah pencalonan bagi Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) mencatat rekod tertinggi dalam masa lima tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah pencalonan bagi Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) mencatat rekod tertinggi dalam masa lima tahun.

Sebanyak 14 pencalonan diterima tahun ini daripada enam madrasah yang menamakan pelajar cemerlang masing-masing.

Bagi LBKM, ini memberikan gambaran mutu pelajar madrasah yang semakin menyerlah.

"Semestinya ia mencerminkan prestasi pelajar madrasah kita yang semakin meningkat demi menolong masyarakat dan membimbing masyarakat pada masa hadapan, atasi cabaran-cabaran dunia yang membelenggu kita buat masa ini," kongsi Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi.

"Saya rasa dari segi madrasah kita, kita dapati bahawa kecemerlangan pelajar-pelajar memang terus memberi kita keyakinan sebagai masyarakat bahawa apabila kita lihat bimbingan masyarakat dari segi agama dan juga mengenai isu-isu semasa, saya rasa LBKM juga menumpang keyakinan demi masa hadapan masyarakat kita," tambahnya.

LBKM juga kata Dr Syed akan terus menyokong para pelajar madrasah agar dapat terus mencapai potensi mereka.

"Memang sekian lama LBKM sangat ingin memberi sokongan kepada pelajar-pelajar Madrasah kita. Selain dari anugerah kita pada hari ini, kita juga menyokong secara kuat melalui dermasiswa juga biasiswa kita di mana ramai di antara pelajar kita yang juga pergi ke luar negara untuk meneruskan pelajaran mereka dan mendapat sokongan daripada LBKM," ujar Dr Syed.

"LBKM sudah pun menjangkau 59 tahun dan akan memasuki 60 tahun dan kita dapati bahawa antara asatizah terkemuka kita juga merupakan mereka yang pernah menerima biasiswa dan dermasiswa LBKM. Jadi kita akan terus menyokong pelajar-pelajar madrasah kita untuk meneruskan pelajaran mereka dalam prestasi yang meningkat," menurutnya lagi.

3 PELAJAR TERBAIK MADRASAH DIIKTIRAF

Daripada 14 pencalonan, tiga pelajar akhirnya dipilih untuk menerima Anugerah Madrasah LBKM tahun ini yang diadakan pada Jumaat (24 Mei).

Antara yang diberi penghargaan tahun ini ialah Zakiyah Hanim Zaini dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah bagi kategori prauniversiti.

Beliau menerima S$1,500 dan baucar buku bernilai S$200.

"Alhamdulillah saya berasa sangat bersyukur kerana mendapat anugerah LBKM ini dan sebenarnya saya tidak sangka kerana saya rasakan terdapat lebih ramai pelajar Madrasah yang lebih layak untuk terima anugerah ini dan bagi saya, anugerah ini akan menjadi satu dorongan bagi pelajar-pelajar untuk terus meneruskan pelajaran mereka," kongsi Zakiyah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Sebagai mana kami tahu kadangkala masalah isu kewangan boleh menghambat perjalanan mereka dalam mempelajari sesuatu ilmu atau mencapai apa yang mereka mahu. Jadi pada saya, anugerah ini adalah dorongan yang sangat besar bagi pelajar-pelajar ini," tambahnya.

Malah, Zakiyah juga dinobatkan sebagai Valedictorian Madrasah Aljunied atas pencapaian membanggakan itu.
"Bagi saya, tidak ada formula spesifik atau rahsia kejayaan. Cuma seperti mana yang kami dididik dari kecil iaitu integrasi atau mengimbangi antara kedua-dua pelajaran dan juga agama. Bagi saya amat penting khususnya bagi pelajar-pelajar kerana mungkin kadangkala kita akan selalu mengalami masalah dan cabaran dalam pelajaran kami," ujar Zakiyah.

"Namun yang membantu kami untuk meningkatkan diri kami adalah daripada aspek-aspek lain seperti aspek kerohanian dan selainnya dan juga pada saya, sokongan daripada ibu bapa, guru-guru sekolah secara keseluruhannya amat membantu saya untuk terus gigih dalam pendidikan saya dan juga selama saya bersekolah, teman-teman saya amat memberi motivasi kepada saya dan kami dapat melalui perjalanan bersama," tambahnya.

ZAKIYAH INGIN LANJUTKAN PELAJARAN DI UNIVERSITI AL-AZHAR

Zakiyah berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar bagi jurusan bahasa Arab dan sedang menanti pendaftaran.

Dia juga berminat untuk menceburi bidang perancangan pendidikan satu hari nanti.

"Sejak kecil lagi, saya sudah minat dalam bahasa Arab di mana asatizah saya memupuk sifat atau cinta terhadap bahasa Arab sejak kecil lagi dan mungkin sesetengah orang merasakan bahawa bahasa Arab tidak dapat digunakan dalam konteks masyarakat kami tetapi saya berhasrat untuk menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Arab walaupun secara teori mungkin tidak bermanfaat tetapi ilmu atau kemahiran yang dapat dipelajari dalam kursus itu dapat membantu dan bermanfaat untuk masyarakat insya-Allah," jelas Zakiyah.

SOFIYYAH TERHARU DAPAT WAKILI MADRASAH & JADI INSPIRASI UNTUK RAKAN-RAKAN

Anugerah bagi kategori GCE 'O' pula dimenangi Sofiyyah Mohd Amirullah dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

Dia membawa pulang S$1,000 dan baucar buku bernilai S$200.

"Saya rasa sangat terharu apabila saya dipilih untuk menerima anugerah ini dan saya juga tidak sangka dapat menerima anugerah ini memandangkan terdapat banyak calon yang cukup hebat dan lebih (baik) daripada saya," kongsi Sofiyyah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Saya rasa anugerah ini sangat berharga kepada saya kerana saya dapat mewakili madrasah saya dan saya juga dapat menjadi inspirasi bagi rakan-rakan sekelas dan sekolah saya," tambahnya.

Dalam peperiksaan GCE 'O', Sofiyyah mendapat gred A1 bagi subjek bahasa Melayu dan bahasa Arab dengan keputusan keseluruhan yang cemerlang.

"Rancangan saya seterusnya ialah untuk menghabiskan pelajaran saya dari segi ukhrawi di Universiti Al-Azhar kerana saya ingin menjadi seorang yang dapat menyumbang kepada masyarakat dan menjadi seorang 'Faqiha' iaitu ulama yang dapat menyumbang kepada masyarakat dari segi agama," ujar Sofiyyah.

ABDULLAH SYUKRI TERIMA ANUGERAH PERINGKAT PSLE, INGIN JADI USTAZ

Anugerah Madrasah LBKM bagi peringkat PSLE pula jatuh ke tangan Abdullah Syukri Muhammad Hasyim Masnin yang menerima S$500 dan baucar buku bernilai S$200.

"Ia akan memberi saya motivasi untuk belajar dengan tekun di sekolah," kongsi Abdullah Syukri dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

"Saya akan belajar rajin-rajin selepas ini dan akan berusaha untuk mencapai impian dan cita-cita saya," tambahnya lagi.

Selain cemerlang dalam subjek-subjek agama, Abdullah Syukri juga tidak kurang hebatnya dalam subjek akademik dan sudah diiktiraf sebagai tiga pelajar terbaik kohortnya sejak Darjah Satu lagi.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu bercita-cita untuk menjadi seorang asatizah yang dapat berbakti kepada masyarakat Singapura.

Turut hadir untuk sama-sama meraikan kecemerlangan para pelajar ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan