Skip to main content

Singapura

Pencalonan Anugerah Guru Arif Budiman 2020 dibuka

Pencalonan bagi Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2020 dibuka hari ini (24 Feb) hingga 10 April. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pencalonan Anugerah Guru Arif Budiman 2020 dibuka

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 24 Feb 2020 10:26AM Dikemas Kini : 24 Feb 2020 10:29AM

SINGAPURA: Pencalonan bagi Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2020 dibuka hari ini (24 Feb) hingga 10 April.

Pelajar, pendidik, ibu bapa dan orang awam dipelawa untuk mencalonkan guru-guru Bahasa Melayu yang cemerlang bagi anugerah berprestij itu.

Demikian menurut kenyataan media Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (24 Feb).

Anugerah tahunan itu mengiktiraf guru-guru Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia yang menyumbang besar kepada pengajaran serta pembelajaran bahasa Melayu.

Sejak dianjurkan pada tahun 2007, AGAB sudah memberi penghargaan kepada 61 guru Bahasa Melayu daripada sekolah rendah, menengah dan prauniversiti.

Sejumlah empat anugerah akan disampaikan dalam dua kategori:
i. Sekolah Rendah;
ii. Sekolah Menengah dan Prauniversiti

Para calon akan dinilai berdasarkan keupayaan mereka untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan minat terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa, sastera serta budaya Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar mereka.

Mereka juga harus menunjukkan dedikasi dan komitmen dalam mencapai kecemerlangan bagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu baik di dalam mahupun luar bilik darjah.

Selain bakti profesional mereka kepada pengajaran dan pembelajaran, aspek lain yang juga akan dipertimbangkan termasuk keprihatinan mereka terhadap kebajikan dan keperluan pelajar, di samping mencerminkan nilai-nilai 'Arif' dan 'Budiman' melalui khidmat cemerlang lagi teladan sebagai seorang pendidik.

Borang pencalonan rasmi akan disebarkan kepada semua sekolah di Singapura dan juga boleh dimuat turun dari lelaman berikut

Pencalonan juga boleh dibuat melalui platform online di https://tinyurl.com/AGAB-2020.

Para penerima AGAB 2020 akan diumumkan pada bulan November tahun ini.

AGAB 2020 dianjurkan bersama oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC). 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita