Pencak Silat perlu lalui penjenamaan semula untuk tarik generasi pesilat baharu
Perubahan ini menuntut usaha kolektif untuk memperbaharui jenama Pencak Silat, bukan hanya sebagai seni bela diri yang kaya dengan tradisi, tetapi juga sebagai sukan moden, inklusif dan berpandangan jauh.
"Anjakan ini harus bermula dengan usaha bersama untuk menjenamakan semula Pencak Silat, agar ia dilihat bukan sekadar warisan budaya, tetapi juga sebagai sukan kontemporari yang mampu menarik perhatian generasi masa kini," kata Presiden Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Encik Abdullah Shafiie Mohamed Sidik, di Majlis Penutup Kejohanan Silat Nusantara pada Ahad (1 Jun).
Tambah beliau, transformasi sebegitu penting bagi memastikan Pencak Silat kekal relevan di pentas tempatan dan antarabangsa, di samping memupuk minat serta penglibatan yang lebih meluas dalam kalangan masyarakat.
"Banyak seni pertahankan diri yang sudah melalui perubahan penjenamaan semula. Ini menerusi penggunaan kaedah digital, cara latihan yang inovatif dan pertandingan peringkat antarabangsa yang dapat menarik tontonan Pencak Silat, perlu mengambil langkah berani untuk memodenkan imejnya," jelas Encik Shafiie.
Pendekatan baharu dalam penganjuran sukan silat kini mula diterapkan menerusi Kejohanan Silat Nusantara.
Encik Shafiie berkata: "Kita cuba dengan kaedah baharu. Kita memperbaiki lagi dari segi pertandingan, menggunakan kaedah digital, cara pemarkahan yang lebih efektif. Ini perlu untuk memastikan silat mampu untuk maju terus, sama dengan seni pertahankan diri yang lain bukan sahaja di Singapura, tetapi negara-negara yang terlibat."
Memandang ke hadapan, Encik Shafiie membayangkan kejohanan itu bakal menjadi acara dwitahunan, dengan kerjasama rapat bersama Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT).
"PERSISI akan bekerjasama dengan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), di mana kita akan cuba memperbaharui cara pemarkahan, memperbanyakkan lagi dari segi keputusan. Kita akan melatih wasit juri dengan lebih efektif lagi supaya keadaan akan berubah dan lebih baik pada masa akan datang."
"Adakah kita akan menambah lagi jumlah pesilat dan negara dalam kejohanan ini? Kalau lebih banyak negara yang terlibat, lebih baik lagi. Kita perlu lihat bagaimana untuk libatkan mereka dengan nama 'Nusantara' itu," jelas Encik Shafiie.
Ia satu peluang yang lebih adil dan strategik.
Bagi pesilat Singapura, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin, 20 tahun, yang meraih pingat emas dalam Kelas ‘H’, Kejohanan Silat Nusantara memberi manfaat besar dalam persiapannya menghadapi pertandingan lebih besar.
“Dengan format kejohanan ini, kami berpeluang menentang pesilat dari semua negara. Ini membolehkan kami benar-benar menilai di mana kedudukan kami. Berbeza dengan Sukan SEA, di mana jika tewas di pusingan pertama, perjalanan kami mungkin sudah berakhir. Tapi di sini, masih ada peluang kedua atau ketiga untuk bangkit semula,” ujar beliau.
Ia juga memberinya peluang untuk menilai prestasi dan menyesuaikan strategi sebelum menyertai kejohanan akan datang.
“Kalau tidak ada Kejohanan Nusantara ini, saya mungkin hanya teruskan latihan seperti biasa. Kejohanan seterusnya untuk saya ialah Kejohanan Asia pada Julai ini. Melalui kejohanan ini, saya dapat lihat dengan lebih jelas apa kekuatan dan kelemahan saya, dan saya boleh memperbaikinya sebelum pertandingan seterusnya,” kata juara Asia sebanyak tiga kali itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.