Skip to main content

Singapura

Penangguhan RTS Link cetus reaksi bertentangan di kedua-dua belah koswe

Selama bertahun-tahun, rakyat Malaysia Razali Tompang melakukan perjalanan hampir setiap hari dengan menggunakan motosikal dari rumahnya di Johor Bahru ke tempat kerjanya di Geylang.

Anggaran Waktu Membaca:
Penangguhan RTS Link cetus reaksi bertentangan di kedua-dua belah koswe

Sebuah tren RTS Link kelihatan di platform Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 02:28PM
RTS Link delay triggers contrasting reactions on both sides of the Causeway
  • The Johor Bahru-Singapore RTS Link, which had been expected to open at the end of 2026, is now targeted to begin operations in February 2027 after the authorities required additional time for testing, safety certification and regulatory approvals.
  • The delay disappointed users such as Razali Tompang because VEP charges for motorcycles and cars will increase from Jan 1, 2027, making daily travel to Singapore more expensive.
  • Businesses in Johor saw the delay as a missed opportunity ahead of Chinese New Year, while some retailers in northern Singapore were relieved that competition from Johor had been temporarily delayed.
  • Some users accepted the delay for the sake of safety and passenger management, especially as the park-and-ride amenities, footpath and transport connections at Bukit Chagar are still being prepared.
Dijana oleh AI
SINGAPURA/JOHOR BAHRU: Selama bertahun-tahun, rakyat Malaysia Razali Tompang melakukan perjalanan hampir setiap hari dengan menggunakan motosikal dari rumahnya di Johor Bahru ke tempat kerjanya di Geylang.

Lelaki berusia 48 tahun itu berharap menjelang hujung 2026, beliau boleh meninggalkan motosikalnya dan sebaliknya menyeberangi sempadan menggunakan Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

Namun kini, beliau perlu menunggu beberapa minggu lagi sebelum dapat berbuat demikian.

"Saya mahukan cara perjalanan yang lebih mesra alam dan mungkin lebih murah," kata pengurus kanan di sebuah pertubuhan bukan keuntungan itu.

"Pembinaan projek ini sudah berlarutan dan sekarang apabila tarikh permulaan semakin hampir, ia pula ditangguhkan. Penangguhan ini menjejas kami dan ia mengecewakan."

Rancangan Encik Razali untuk beralih kepada pengangkutan rel menjadi semakin penting selepas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura mengumumkan kenaikan bayaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) mulai 1 Januari 2027, sekali gus menjadikan perjalanan hariannya dengan motosikal lebih mahal.

Mulai 1 Januari 2027, bayaran VEP akan dinaikkan kepada S$50 sehari bagi kereta dan S$7 sehari bagi motosikal, berbanding kadar semasa masing-masing S$35 dan S$4 sehari.

Beliau merupakan antara ribuan pengguna rentas sempadan yang menantikan pembukaan RTS Link menjelang hujung 2026.

Perkhidmatan tersebut kini dijangka hanya bermula pada Februari 2027 – bermakna ia mungkin bukan sahaja terlepas tempoh sibuk cuti hujung tahun, malah tempoh perjalanan dan membeli-belah menjelang Tahun Baharu Cina pada 6 Februari.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat (2 Okt), pihak berkuasa Singapura dan Malaysia menyatakan lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan ujian, mendapatkan pensijilan keselamatan bebas dan memperoleh kelulusan kawal selia sebelum perkhidmatan rel rentas sempadan tersebut boleh dimulakan.

Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow kemudian berkata kedua-dua negara menyasarkan permulaan operasi RTS Link sebelum Hari Raya Aidilfitri, yang dijadualkan pada 10 Mac 2027.
Related article image
Sebuah tren menjalani ujian bagi Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada 15 Jun 2026. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)
Sebahagian pengguna yang ditemui Mediacorp berkata penangguhan tersebut mengecewakan, terutamanya bagi para pemandu Malaysia yang bakal berdepan kos lebih tinggi untuk memasuki Singapura mulai Januari.

Namun, pengguna lain tidak begitu terjejas dengan penangguhan terbaru itu. Mereka berkata lebih baik Laluan RTS dibuka lewat sekiranya lebih banyak masa diperlukan untuk memastikan sistem tersebut selamat dan rangkaian pengangkutan di sekitar stesennya bersedia menampung sejumlah penumpang.

Perniagaan di kedua-dua belah koswe juga mempunyai pandangan berbeza.

Perniagaan di Johor Bahru menyatakan, kegagalan memulakan perkhidmatan sebelum Tahun Baharu Cina merupakan peluang yang terbazir kerana RTS Link berpotensi membawa lebih ramai pengunjung merentasi sempadan semasa salah satu tempoh membeli-belah paling sibuk sepanjang tahun.

Namun, sebahagian peruncit di utara Singapura melihat hikmah di sebalik penangguhan tersebut. Mereka berkata akses lebih mudah ke Johor Bahru akhirnya boleh menyebabkan lebih ramai pembeli Singapura menyeberangi koswe – bermakna pembukaan RTS Link yang ditangguh dapat memberi mereka sedikit kelegaan buat sementara waktu.

RTS LINK ‘TERLEPAS PELUANG’ KURANGKAN KESESAKAN TAHUN BAHARU CINA

Minggu-minggu menjelang Tahun Baharu Cina lazimnya merupakan antara tempoh paling sibuk di pusat pemeriksaan darat antara Singapura dengan Malaysia.

Semasa musim perayaan pada 2025 dan 2026, lebih tiga juta pelawat melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas pada setiap tahun, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

Pada waktu sibuk bagi kedua-dua tahun, lebih 500,000 perjalanan rentas sempadan dicatatkan dalam tempoh sehari sejurus sebelum Tahun Baharu Cina.

Pengurus kewangan warga Singapura Nicholas Lee sebelum ini tidak sabar untuk menaiki RTS Link ke Johor Bahru menjelang Tahun Baharu Cina tahun depan, apabila beliau membuat perjalanan tahunannya merentasi koswe untuk membeli juadah perayaan dan menggunting rambut.

Lelaki berusia 36 tahun itu berkata sesetengah juadah perayaan di Johor Bahru dijual pada harga kurang separuh berbanding di Singapura.

"Tahun ini, keluarga saya menaiki bas ke JB (Johor Bahru) untuk membeli-belah sempena Tahun Baharu Cina dan pengalaman itu tidak menyenangkan. Kami tersangkut dalam kesesakan selama lebih sejam," kata beliau.

"Menaiki RTS Link menjelang Tahun Baharu Cina tahun depan adalah sesuatu yang kami nanti-nantikan."

Mama Bakery yang berpangkalan di Johor dan mengkhusus dalam biskut Tahun Baharu Cina turut mengharapkan RTS Link dapat meningkatkan perniagaannya memandangkan ia akan memudahkan perjalanan rentas sempadan bagi para pembeli dari Singapura.

"Saya sangat berharap RTS Link akan membawa lebih ramai pelanggan, jadi kami memang membuat persiapan untuk membakar lebih banyak biskut tahun ini," kata pemiliknya, Ling Zijian.

Penasihat merangkap presiden pengasas Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Johor Selatan, Teh Kee Sin, menyifatkan penangguhan tersebut sebagai "peluang yang terbazir" bagi para peruncit Johor untuk menarik lebih ramai pelanggan semasa musim perayaan pada awal 2027.

"Dengan operasi (RTS Link) tidak dimulakan pada hujung 2026, sesetengah perniagaan mungkin terlepas peluang," kata beliau.

"Namun diharapkan rakyat Singapura masih akan berkunjung menggunakan pengangkutan lain seperti kereta dan bas."

Namun bagi sesetengah perniagaan Singapura, penangguhan pembukaan RTS Link memberi sedikit "kelegaan", terutamanya bagi perniagaan-perniagaan di utara yang menjangkakan persaingan lebih sengit daripada perniagaan di seberang sempadan.

Satu kajian bersama baru-baru ini oleh Persekutuan Perniagaan Singapura, Persatuan Restoran Singapura dan Persatuan Peruncit Singapura mengunjurkan peningkatan 51 peratus dalam perjalanan keluar negara oleh para pengguna Singapura selepas RTS Link dibuka.
Related article image
Pemandangan dari udara Woodlands North Plaza pada 3 Ogos 2026. Ia terletak berhampiran sempadan di utara Singapura dengan Johor Bahru, Malaysia. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Kecil dan Sederhana Singapura, Ang Yuit, berkata rakyat Singapura lazimnya berkunjung ke Johor Bahru semasa tempoh Tahun Baharu Cina untuk membeli barangan seperti limau mandarin dan kuih-muih.

Sekiranya RTS Link siap menjelang Januari, mungkin lebih ramai rakyat Singapura akan menyeberangi sempadan untuk membeli barangan sempena perayaan, kata beliau.

"Namun, jika ia ditangguhkan sehingga Februari, lebih-lebih lagi selepas Tahun Baharu Cina, ini bermakna tidak banyak perubahan akan dilihat pada corak perbelanjaan pengguna bagi (sesetengah perniagaan di Singapura) semasa musim perayaan," kata beliau kepada Mediacorp.

Encik Ang menambah bahawa penangguhan tersebut boleh memudahkan perancangan bagi perniagaan yang sudah membuat persiapan untuk menghadapi kesan pembukaan RTS Link.

"Perniagaan boleh menjangkakan jumlah pengunjung dan pelanggan yang sama seperti (semasa tempoh Tahun Baharu Cina) tahun lalu, jadi ia mungkin sesuatu yang positif bagi perniagaan yang sudah bersiap sedia untuk menghadapi kesannya."

Bagi Kacey Lin, pemilik salun kecantikan Dawn Beauty yang mempunyai cawangan di 888 Plaza dan Woodlands North Plaza, penangguhan tersebut memberinya lebih banyak masa untuk menilai semula rancangan perniagaan kerana beliau menjangkakan lebih ramai pelanggan akan mengunjungi salun di JB selepas RTS Link dibuka.

"Ini akan memberi saya lebih banyak masa untuk merancang, mencari cara untuk mengekalkan pelanggan saya di sini dengan menawarkan khidmat yang unik," kata beliau kepada Mediacorp.

Cik Lin menganggarkan beliau sudah kehilangan sekitar 10 hingga 15 peratus pelanggannya kepada perniagaan di JB sepanjang dua hingga tiga tahun lalu dan menjangkakan jumlah tersebut meningkat apabila perkhidmatan RTS Link bermula.

Freddy Tan, yang memiliki kedai optik di Woodlands North Plaza, turut menyambut baik penangguhan tersebut. Beliau sebelum ini menjangkakan jualan yang merosot, dengan perjalanan rentas sempadan yang lebih mudah mendorong lebih ramai pelanggan membeli-belah di Johor.

"Penangguhan tersebut adalah suatu berita baik," kata pemilik O Optics itu, sambil menambah bahawa beliau berharap perniagaan Singapura yang terletak berhampiran stesen RTS Link akan menerima lebih banyak sokongan pemerintah bagi membantu mereka menangani kesannya selepas perkhidmatan bermula.

PENANGGUHAN BOLEH DITERIMA DEMI KESELAMATAN, ALIRAN PENUMPANG LEBIH BAIK: PENGGUNA

Walaupun sebahagian pengguna tidak menyembunyikan kekecewaan terhadap penangguhan tersebut, ada yang lega kerana tempohnya dijangka singkat. Yang lain pula berkata pihak berkuasa wajar diberi masa sekiranya terdapat keperluan untuk memperhalusi aspek keselamatan dan pengurusan aliran penumpang.

Nuraihan Noorbani, 68 tahun, berkata beliau tidak terkejut dengan penangguhan itu, meskipun sebelum ini menantikan perkhidmatan tersebut kerana ia lebih pantas dan mudah baginya sebagai penduduk Woodlands.

"Ia projek besar, tentu ada sebab ia ditangguhkan, mungkin untuk meningkatkan keselamatan. Kalau tiada perkara yang perlu diselesaikan, tentu ia tidak akan ditangguhkan," kata beliau kepada Mediacorp.

Pengguna dari Malaysia, Encik Razali, memberitahu Mediacorp beliau bimbang kemudahan untuk menguruskan aliran trafik berhampiran stesen RTS Link Bukit Chagar di Johor Bahru masih belum siap.

"Saya bimbang kerana masih belum ada pilihan meletakkan kenderaan dan menaiki pengangkutan awam (park and ride) yang jelas bagi para pengguna seperti saya yang mahu meletakkan motosikal di stesen," kata beliau.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini mengumumkan dua kemudahan – kemudahan 'Park and Ride' Stesen Bukit Chagar serta sebuah lagi tempat letak kenderaan di Coronation Square yang berhampiran – yang secara keseluruhan menyediakan sebanyak 6,000 petak kereta dan lebih 1,500 petak motosikal.

Namun, kedua-dua kemudahan tersebut masih belum dibuka untuk digunakan.

Pengurusan aliran trafik dari stesen RTS Link Bukit Chagar turut menjadi antara isu yang banyak dibincangkan. Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata pada Ogos bahawa laluan pejalan kaki bertingkat sedang dibina untuk menghubungkan para penumpang dengan perkhidmatan bas, teksi dan rangkaian pengangkutan rel lain.

Seorang lagi pengguna yang kerap berulang-alik, Mohamed Kasim, berkata penangguhan itu tidak akan menjejas perjalanan mingguannya ke JB buat masa ini kerana beliau akan terus menaiki bas merentasi sempadan.

Berdasarkan perjalanan rutinnya ke JB, warga Singapura berusia 68 tahun itu berkata masa tambahan mungkin berguna untuk membuat persiapan di kawasan sekitar terminal RTS bagi menampung pertambahan jumlah penumpang yang dijangkakan.

"Jalan raya sudah sesak dan ruang di kawasan bandar juga terhad. Jadi apabila RTS mula beroperasi, ia mungkin menimbulkan masalah (yang perlu diselesaikan terlebih dahulu)," kata beliau kepada Mediacorp.

Encik Teh daripada Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Johor Selatan berkata penangguhan pelancaran tersebut "tidak mengejutkan" memandangkan beberapa projek pembinaan rel di Malaysia sebelum ini turut ditangguhkan daripada tarikh pelancaran asal yang dijadualkan.

Antaranya termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, yang masing-masing pada asalnya disasarkan siap pada 30 Jun 2024 dan 31 Oktober 2022.

Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru dilancarkan pada Disember 2025, manakala ECRL dijangka mula beroperasi pada hujung tahun ini.

Singapura juga sebelum ini mengumumkan penangguhan pembinaan sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT) bagi Laluan Daerah Jurong dan Laluan Thomson-East Coast.

"Penangguhan bukanlah sesuatu yang mengejutkan, terutama di Malaysia kerana perkara ini sudah berlaku pada banyak projek," kata Encik Teh.

"Saya tidak terlalu terganggu dengan penangguhan. Yang penting, apabila ia dilancarkan, perkhidmatan tersebut selamat untuk digunakan penumpang," tambah beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita