Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penaja Hugo Boss beri Joseph Schooling sokongan 'utuh, tidak berbelah bagi'

Anggaran Waktu Membaca:
Penaja Hugo Boss beri Joseph Schooling sokongan 'utuh, tidak berbelah bagi'

Joseph Schooling ditaja Huga Boss. (Gambar: Hugo Boss)

Diterbitkan : 01 Sep 2022 02:19PM Dikemas Kini : 01 Sep 2022 02:19PM
SINGAPURA: Jenama fesyen mewah Hugo Boss menyatakan bahawa kerjasama selama empat tahun dan sokongannya kepada perenang negara Joseph Schooling kekal "utuh dan tidak berbelah bagi" selepas juara Olimpik itu mengaku mengambil ganja di luar negara awal tahun ini.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pengarah Urusan Hugo Boss Asia Tenggara, Steven Lam, pada Rabu (31 Ogos) berkata walaupun Schooling "melakukan kesilapan...apa yang penting adalah beliau mengaku salahnya".

"Selama bertahun-tahun, beliau sentiasa menjadi pengaruh positif baik di dalam mahupun di luar kolam. Beliau memberi inspirasi kepada ramai kanak-kanak untuk percaya pada diri mereka sendiri, bekerja keras dan mengejar impian mereka," tambah Encik Lam.

“Ini akan menjadi perjalanan yang panjang untuk Joseph tetapi kami percaya beliau akan menunjukkan kepada kita bagaimana beliau akan menepati janjinya untuk membina semula kepercayaan dengan orang-orang yang percaya kepadanya.

"Kerjasama dan sokongan kami untuk Joseph kekal utuh dan tidak berbelah bagi,” tambahnya.

Schooling, yang ditaja oleh jenama itu sejak 2018 mengaku mengambil ganja di luar negara pada Mei 2022, sewaktu gangguan jangka pendek daripada Perkhidmatan Negara sepenuh masa untuk menjalani latihan dan menyertai Sukan Asia Tenggara (SEA), menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada Selasa (30 Ogos).

Schooling sudahpun memohon maaf atas tindakannya, berkata bahawa beliau tewas pada "saat diri saya lemah selepas melalui tempoh yang sangat sukar dalam hidup saya" dan berjanji untuk "menebus dan membetulkan kesalahannya".

Jenama-jenama lain yang dilaporkan menaja lelaki berusia 27 tahun itu termasuk DBS Bank, Toyota, Yakult, Milo dan Tag Heuer.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Nestle, syarikat induk Milo, pada hari Rabu (31 Ogos) menyatakan bahawa perjanjian sokongannya dengan Schooling yang bermula pada 2017 berakhir pada 2020.

"Kami menerima dan terus mengiktiraf sumbangan beliau kepada Singapura sebagai pemenang pingat emas Olimpik pertama Singapura," kata jurucakap Nestle. "Tambahan lagi, beliau sudah memainkan peranan penting dalam mendorong atlit dalam bidang sukan."

"Kami mengiktiraf ketelusan beliau dalam insiden ini dan komitmen beliau untuk mengambil tindakan untuk kekal sebagai model yang memberi inspirasi kepada semua rakyat Singapura."

DBS menyatakan pada Selasa(30 Ogos) bahawa perjanjian tajannya dengan Schooling, yang bermula pada 2018, berakhir tahun lalu sebelum beliau didaftarkan bagi Perkhidmatan Negara.

Berhubung tajaan Schooling oleh pengilang kereta Toyota, jurucakap dari Borneo Motors Singapura menyatakan bahawa tajaan yang bermula pada 2018 berakhir pada Jun 2022. Mediacorp difahamkan tajaan tidak sambung disebabkan oleh tamatnya tempoh kontrak tersebut.

Ketika dihubungi, jurucakap firma produk tenusu Yakult Singapura turut memberitahu Mediacorp bahawa kontrak tajaannya dengan Schooling sejak 2018 berakhir pada 2020.

Mediacorp sudah meminta komen daripada Tag Heuer tetapi jenama jam tangan mewah itu masih belum memberi respons.
Sumber : Today/HY/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa