Skip to main content

Singapura

Penagih dadah maut terjatuh dari tingkat 7 flat ketika cuba larikan diri daripada diberkas CNB satu kemalangan: Koroner

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang penagih dadah maut setelah terjatuh dari sebuah flat di tingkat tujuh di Mountbatten semasa cuba melarikan diri daripada diberkas pegawai daripada Biro Narkotik Pusat (CNB), dedah seorang koroner.

Koroner Negara Adam Nakhoda memutuskan Koh Suay Tee, 59 tahun meninggal dunia akibat beberapa kecederaan traumatik yang dialaminya setelah terjatuh dari flat itu. Ketika itu, pegawai CNB sedang melakukan serbuan di unit tersebut pada November 2021. Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Blok 47 Jalan Tiga itu dimiliki seorang lelaki lain.

Dalam percubaannya untuk mengelak daripada diberkas, Koh mengambil "langkah berisiko" dengan memanjat keluar dari tingkap bilik utama unit tersebut, meletakkannya dalam "keadaan berbahaya", dan beliau terjatuh.

Dalam dapatan bertarikh 31 Mac itu, koroner berkata tidak terdapat bukti yang menunjukkan Koh dengan sengaja terjun dari tingkap untuk membunuh diri. Tiada perbuatan khianat juga disyaki.

Koroner memutuskan kematian Koh sebagai satu kemalangan.

Koh disabit kesalahan sebanyak empat kali sejak 1989 atas tuduhan mengedar, mengambil dan memiliki dadah terkawal.

Sebanyak beberapa kali antara 1977 dan 2011, dia juga dimasukkan ke pusat pemulihan dadah bagi menjalani rawatan dan diletakkan di bawah program pengawasan dadah.

Dia juga telah didiagnos ketagih dadah heroin di Institut Kesihatan Mental (IMH), dan dimasukkan ke IMH tiga kali disebabkan dadah.

Pegawai CNB merampas sebuah beg sandang yang dibawa Koh, yang mengandungi wang tunai sebanyak S$907.50. Mereka juga menemui barangan berkaitan dengan dadah dalam unit tersebut.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak memperincikan sama ada sebarang tindakan, jika ada, akan diambil terhadap tiga lelaki yang turut berada di flat tersebut bersama dengan Koh.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita