Pen milik mendiang Lee Kuan Yew dilelong; bidaan tertinggi cecah S$41,000
Pen dakwat Montblanc Meisterstuck No. 146 berwarna perak yang pernah dimiliki Perdana Menteri Pengasas Singapura Lee Kuan Yew kini dilelong. (Gambar: Hotlotz)
Menurut rumah lelong Hotlotz, pen berwarna perak itu terukir dengan tulisan "SM Lee Kuan Yew", merujuk kepada tempoh mendiang berkhidmat sebagai Menteri Kanan Singapura.
Pen tersebut pernah dijual dalam lelong amal Koleksi Keluarga Lee Kuan Yew pada Julai 2003.
Montblanc Meisterstuck No. 146 merupakan pen dakwat dengan sistem pengisian omboh (piston-filling), kemasan bersadur emas serta lambang putih ikonik Montblanc pada penutupnya.
Bergantung pada edisi dan keadaan, model tersebut biasanya dijual pada harga antara AS$500 (S$640) dengan lebih AS$2,500 (S$3,200), menurut butik rasmi Montblanc.
BIDAAN TERTINGGI S$41,000
Pen milik mendiang Encik Lee merupakan antara barangan utama dalam lelong online 'Interiors & Collectibles – August: Fine Art Focus' anjuran Hotlotz yang bermula pada Selasa (4 Ogos).
Setakat laporan diterbitkan, pen tersebut sudah menerima sekurang-kurangnya 19 bidaan, dengan bidaan tertinggi mencecah S$41,000.
Ia termasuk dua lukisan dakwat oleh Lim Tze Peng, karya 'Singapore Chinatown' oleh Chua Mia Tee, lukisan 'Gibbons' oleh Chen Wen Hsi serta karya seramik oleh penerima Pingat Budaya Iskandar Jalil.
Orang ramai yang berminat boleh melihat pen milik mendiang Encik Lee di bilik pameran Hotlotz di Bukit Merah.
Pen tersebut disenaraikan sebagai Lot 51.
Bidaan akan ditutup pada 16 Ogos 2026, pukul 6.00 petang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.