Pen milik Lee Kuan Yew dijual pada harga S$461,500 selepas 111 bidaan
Pen dakwat Montblanc Meisterstück berwarna perak yang pernah dimiliki Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew. (Gambar: Hotlotz)
- Pen dakwat Montblanc milik mendiang Lee Kuan Yew dijual pada harga S$461,500 dalam lelongan Hotlotz di Singapura selepas menerima 111 bidaan.
- Pen tersebut pernah dijual pada harga S$52,000 dalam lelongan amal pada 2003 dan dianggarkan bernilai S$30,000 hingga S$50,000 sebelum lelongan kali ini.
- Lelongan sama turut menyaksikan lukisan Chua Mia Tee dijual pada harga rekod S$107,900, mengatasi rekod sebelumnya.
- Pasu tembikar batu karya Dr Iskandar Jalil juga dilelong pada harga S$12,350, lebih dua kali ganda daripada anggaran tertinggi.
Pen dakwat Montblanc Meisterstück No. 146 daripada perak sterling itu mempunyai kemasan berwarna emas dan mata pen emas 18 karat.
Ia dijual dalam lelongan Interiors & Collectibles - August, Fine Art Focus anjuran Hotlotz, yang berlangsung dari 4 hingga 16 Ogos.
Harga akhir S$461,500 itu termasuk premium pembeli, manakala harga bidaan akhir yang diterima pelelong ialah S$355,000.
Sebelum lelongan, pen dakwat tersebut dianggarkan bernilai antara S$30,000 dengan S$50,000.
PERNAH DIJUAL PADA HARGA S$52,000
Pen dakwat itu mempunyai ukiran "SM Lee Kuan Yew" dan berasal dari tempoh mendiang Encik Lee berkhidmat sebagai Menteri Kanan.
Ia sebelum ini dijual pada harga S$52,000 dalam lelongan amal The Lee Kuan Yew Family Collection pada Julai 2003.
Lelongan Hotlotz itu turut menampilkan karya beberapa seniman terkenal Singapura.
Sebuah lukisan karya mendiang seniman Singapura Chua Mia Tee mencatat rekod baharu bagi karya beliau yang dijual dalam lelongan.
Lukisan Singapore Chinatown, Temple Street yang dihasilkan pada 1976 dijual pada harga S$107,900 termasuk premium pembeli selepas menerima 58 bidaan.
Harga itu mengatasi rekod sebelumnya sebanyak S$97,600 yang dicatatkan pada 2023 bagi karya Prosperity yang dihasilkan pada 2003.
Sebuah pasu tembikar batu hasil karya pakar seramik Singapura dan penerima Pingat Budaya Dr Iskandar Jalil pula dijual pada harga S$12,350 termasuk premium pembeli.
Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding anggaran tertinggi S$4,000 sebelum lelongan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.