Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemulihan perlu sokongan kukuh, mantap dan berterusan, kata Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Dalam bulan Ramadan ini, para banduan Muslim terus didampingi agar mereka terdorong untuk meningkatkan diri dan berubah ke arah kebaikan.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata proses pemulihan mereka memerlukan sokongan kuat, mantap dan berterusan.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi berbuka puasa bersama 15 banduan wanita di Penjara Changi pada Selasa (28 Mac).

"Mereka memerlukan sokongan yang kuat dan mantap supaya mereka boleh menjalani proses pemulihan ini. Selain daripada memberikan sokongan kita juga mahu mereka merenung, lagi-lagi di bulan yang mulia ini, dari aspek bagaimana mereka boleh merealisasikan impian dan harapan mereka," kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menurut Dr Faishal, pelbagai program dan lebih banyak sokongan sudah disediakan bagi banduan wanita.
(Gambar: Jabatan Penjara Singapura (SPS))

"Ini adalah satu proses di mana kita selalu memikirkan, dari segi kemaslahatan mereka, bagaimana kita boleh memberi sokongan dan kita mahukan yang terbaik bagi mereka. Kita akan terus meluaskan sokongan di mana kita telah menyediakan pelbagai program dan wadah. Kami akan terus meluaskan program 'Insan Mukmin' lepas Hari Raya ini dan memberikan lebih banyak sokongan bagi banduan wanita, " tambah Dr Faishal.

Dr Faishal berkata usaha ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Beliau mengiktiraf sumbangan kakitangan penjara, para sukarelawan dan badan-badan yang bekerjasama dengan kementeriannya dalam usaha tersebut.

Salah seorang daripadanya adalah Cik Masturah Masmin, 33 tahun, yang sudah 11 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Kanan, Unit Pemulihan di Penjara Changi.

Pegawai Kanan, Unit Pemulihan di Penjara Changi, Cik Masturah Masmin. (Gambar: Jabatan Penjara Singapura (SPS))
Beliau berkongsi bahawa rutin seharian para banduan di Penjara Changi tidak berubah sepanjang bulan Ramadan.

Namun, para banduan akan dimaklumkan mengenai waktu sahur, imsak dan berbuka melalui sistem pembesar suara di kompleks penjara.

"Rutin seperti lawatan dari keluarga, menyertai kelas tambahan sekolah, kelas kaunseling, semuanya akan tetap dijalankan. Walaupun mereka berpuasa kami juga menggalakkan mereka untuk menyertai aktiviti- aktiviti rekreasi. Untuk bersahur, makanan bersahur mereka adalah roti, kek, air kotak Milo dan kurma," kata Cik Masturah.
(Gambar: Jabatan Penjara Singapura (SPS))
Beliau turut berkongsi para banduan dibenarkan meraikan ketibaan Syawal.

"Pada hari raya, mereka dibenarkan ke dewan harian dan menyambut hari raya bersama rakan-rakan. Mereka juga akan menerima kuih muih, kerepek dan air kotak," tambah beliau.

Tukang masak Penjara Changi juga akan menyediakan menu khas sempena lebaran.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan