Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemulihan di bawah Protokol 2 bagi wanita hamil, bayi positif COVID-19 mulai 25 Okt

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wanita hamil dan bayi berusia antara tiga bulan hingga bawah satu tahun yang diuji positif COVID-19 boleh menjalani pemulihan di rumah di bawah Protokol 2 mulai 25 Oktober.

Ini kerana risiko mereka akan mengalami kes teruk COVID-19 adalah rendah, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (16 Okt). 

"Memandangkan terdapat risiko rendah, pesakit daripada dua kumpulan tersebut boleh diuruskan di bawah Protokol 2 secara automatik, untuk menjalani pemulihan di rumah atau di bawah jagaan doktor swasta mereka sendiri," tambah MOH. 

Buat masa ini, pesakit COVID-19 yang berusia antara tiga bulan hingga setahun serta wanita yang usia kandungannya bawah 36 minggu, dikehendaki mengikut Protokol 1 di mana MOH akan memantau pemulihan mereka. 

Bagi individu-individu yang berisiko lebih tinggi, mereka juga dikehendaki menjalani ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR). 

Jika dinilai sebagai sesuai, para pesakit daripada dua kumpulan ini mungkin dibenarkan untuk pulih di bawah program pemulihan di rumah, namun sekiranya tidak, mereka akan dibawa ke sebuah kemudahan jagaan. 

Kebanyakan kes baru COVID-19 di Singapura adalah kes Protokol 2, di mana mereka sama ada didapati sihat atau dinilai sebagai mengalami gejala ringan. 

Dalam langkah mengalihkan kedua-dua kumpulan itu kepada Protokol 2, yang membenarkan mereka menjalani pemulihan kendiri, MOH menyatakan pesakit-pesakit berkenaan harus terus memantau kesihatan mereka dengan teliti bagi sebarang tanda atau gejala seperti sesak nafas, sakit dada atau demam tinggi melebihi 38 darjah Selsius yang berlarutan ketika sedang menjalani pemulihan di rumah. 

"Jika gejala bertambah teruk, mereka harus mendapatkan rawatan perubatan," tambah MOH. 

MAJIKAN TIDAK SEHARUSNYA MINTA MC

Untuk mengurangkan beban ke atas klinik doktor swasta (GP) dan poliklinik, MOH mengingatkan para majikan untuk tidak menuntut sijil perubatan (MC) daripada pekerja mereka yang sama ada positif COVID-19 setelah melakukan ujian kendiri ataupun mengalami gejala jangkitan pernafasan akut. 

Ini demi mengelakkan pesakit yang tidak bergejala atau mengalami simptom ringan daripada melakukan lawatan tidak perlu ke klinik GP, yang sebaliknya akan menjejas mutu jagaan bagi para pesakit lain yang memerlukan rawatan perubatan, terang MOH. 

Kementerian itu menambah mereka yang sihat harus dibenarkan untuk bekerja dari rumah sekiranya mereka boleh berbuat sedemikian. MOH juga mengalakkan pesakit yang mengalami gejala seakan-akan demam selesema ringan untuk mempertimbangkan khidmat telekonsultasi bersama doktor. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan