Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemohon tunggu lama giliran temu duga pada hari pertama OneAviation Careers

Anggaran Waktu Membaca:
Pemohon tunggu lama giliran temu duga pada hari pertama OneAviation Careers

Pemohon kerja menunggu giliran untuk ditemu duga di pameran kerjaya OneAviation Careers di Pusat Konvensyen Suntec City pada 27 Mei 2022. (Gambar: Chew Hui Min/CNA)

SINGAPURA: Para pemohon kerja 'menyerbu' pameran kerjaya OneAviation Careers pada Jumaat (27 Mei), dengan sebilangan daripada mereka menunggu sekitar tiga jam untuk ditemu duga oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Orang ramai yang ditemui Mediacorp nampaknya bersikap optimis terhadap industri penerbangan, yang sedang beransur pulih selepas dua tahun suram dek pandemik COVID-19.

Astaka-astaka yang didirikan oleh syarikat-syarikat penerbangan, logistik, aeroangkasa dan sokongan penerbangan dikelilingi oleh orang ramai yang menanti giliran untuk bertanya soalan serta mendaftar bagi temu duga.

Pada Jumaat, hari pertama acara yang berlangsung selama dua hari itu, lebih 6,000 pengunjung menghadiri pameran kerjaya dan pengambilan pekerja tersebut, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Pameran itu dianjurkan oleh CAAS bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) serta Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).

Terdapat lebih 20 majikan dari syarikat-syarikat penerbangan yang menemu duga pemohon kerja di pameran tersebut untuk mengisi hampir 2,000 jawatan kosong secara serta-merta.

Cik Daphne Chua, Pengarah Sumber Manusia bagi Asia Tenggara di TVS Supply Chain Solutions, berkata terdapat beberapa pemohon berkelayakan yang datang untuk mendaftarkan diri dengan syarikat itu.

Beliau menambah respons di pameran kerjaya itu lebih baik berbanding apabila kerja kosong dimuatnaikkan sebagai iklan kerja secara online.

Encik Faiz Ishak, 28 tahun, yang kini sedang bekerja sambilan, mahu menembusi semula industri penerbangan setelah meluangkan masa beberapa tahun bekerja dalam bidang lain.

Menurut Encik Faiz, beliau tiba di pameran tersebut pada pukul 10.00 pagi apabila ia dibuka dan mula beratur untuk temu duga sekitar jam 10.45 pagi.

Beliau beratur selama kira-kira 45 minit sebelum mendapatkan nombor giliran. Pada 1.30 tengah hari, apabila Mediacorp menemuinya, lelaki itu masih lagi sedang menunggu gilirannya untuk ditemu duga oleh syarikat penerbangan tambang rendah Scoot.

Meskipun Encik Faiz sudah berbekalkan dengan pengalaman dalam sektor penerbangan, terdapat juga pengunjung lain yang berhasrat untuk menukar pekerjaan daripada industri lain mahupun pekerjaan yang berkaitan pandemik.

WSG menyatakan disebabkan oleh respons luar biasa yang diterima di pameran kerjaya itu pada pagi semalam, pendaftaran digantungn buat seketika kerana pertubuhan yang mengambil bahagian memerlukan masa untuk meningkatkan sumber masing-masing seperti menyediakan lebih ramai penemu duga.

"Meskipun ini menyumbang kepada sedikit kelengahan, pemohon kerja diberi pilihan alternatif untuk memohon secara langsung dengan majikan melalui portal pekerjaan MyCareersFuture atau menyerahkan resume mereka kepada WSG, yang kemudian akan mengongsikannya dengan majikan tertentu mengikut minat yang dinyatakan," kata seorang jurucakap.

PASARAN BURUH KIAN BERDAYA SAING

Ketua Pegawai Modal Insan SATS Lilian Tan berkata syarikat pengendalian bagasi dan penyedia katering dalam penerbangan itu mahu menggajikan sekitar 600 pekerja.

Ini terutamanya kakitangan di lapangan dan pekerja barisan hadapan penerbangan seperti ejen perkhidmatan penumpang, pakar logistik udara, pemandu peralatan sokongan di lapangan, anggota teknikal tanjakan dan pengeluaran katering penerbangan.

Walaupun respons di pameran kerjaya itu memberangsangkan, Cik Tan berkata pasaran buruh tempatan sudah menjadi semakin berdaya saing dengan nisbah kerja kosong dengan pemohon kerja kini sekitar 2:1.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) membertiahu Mediacorp ia sedang mengambil kakitangan pejabat di lapangan, kebanyakannya adalah jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) serta pramugari dan pramugara.

Meskipun SIA menyertai pameran kerjaya itu, ia tidak menjalankan temu duga di sana dan para calon perlu memohon di laman kerjaya SIA ataupun menerusi laman LinkedIn syarikat tersebut.

Sebelum ini, Changi Airport Group (CAG) mengumumkan terdapat lebih 6,600 pekerjaan ditawarkan di Lapangan Terbang Changi.

Syarikat-syarikat lain yang mengambil bahagian dalam pameran kerjaya itu termasuk dnata, FedEx, Rolls-Royce, Pratt & Whitney, Certis Group, Lotte Travel Retail Singapore dan Singapore Aero Support Services.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan