Skip to main content

Singapura

Peminjam wang maut ditikam pada 1990; lelaki mengaku bersalah selepas 35 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Peminjam wang maut ditikam pada 1990; lelaki mengaku bersalah selepas 35 tahun
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Seorang pemiutang haram, yang menikam seorang peminjam wang dalam pertengkaran pada 1990, melarikan diri dari Singapura ke Malaysia dan hanya diekstradisi lebih tiga dekad kemudian.

Ng Kwang Keng, yang pada awalnya dituduh membunuh, berusia 45 tahun semasa melakukan kesalahan itu.

Kini berusia 80 tahun, dia mengaku bersalah di Mahkamah Negara Singapura atas tuduhan yang dikurangkan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata pada Selasa (11 Nov).

Ng dikenali sebagai pemiutang haram bergelar "Tai Kong" semasa insiden itu, manakala mangsa, Encik Lim Kim Leng, 27 tahun, berhutang kira-kira S$22,000 dengan Ng.

Pada 6 November 1990, Ng mengambil dua lelaki menaiki kereta dan memaklumkan kepada mereka bahawa dia ingin mengutip hutang. Dia kemudian menuju ke blok di mana Encik Lim tinggal.

Sekitar pukul 4.45 petang, Encik Lim menerima panggilan di rumahnya dan kemudian pergi ke kolong bloknya, di mana dia bertemu Ng dan seorang lelaki yang dikenali sebagai "Pui Kia", yang menemani Ng.

Ng dan Encik Lim kemudian mula bertengkar. Anak saudara lelaki Encik Lim, yang tinggal bersamanya, terdengar jeritan dari kolong blok itu.

Semasa pergelutan berlaku, Ng menumbuk Encik Lim, yang kemudian mengejar Ng hingga ke kawasan tangga antara tingkat satu dan tingkat dua blok itu.

Ng, yang memegang pisau, kemudian menerpa ke hadapan dan menikam pisau ke bahagian atas paha Encik Lim.

Encik Lim menggenggam bilah pisau itu dengan kedua-dua tangan, dan kedua-dua mereka bergelut untuk mengawal senjata itu.

Ng melarikan diri bersama pisau itu sejurus selepas itu, memandu pergi dengan keretanya bersama dua lelaki yang diambilnya tadi. Senjata itu tidak ditemui semula.

Encik Lim, yang berlumuran darah, kemudian ditemui oleh saudara lelakinya di lobi lif semasa cuba menekan butang lif.

Saudara lelakinya itu membawanya ke tingkat empat, di mana Encik Lim rebah dan berkata bahawa "Tai Kong" menyerangnya.

Keadaannya merosot dan dia tidak dapat bercakap selepas itu, serta tidak sedarkan diri sebelum ambulans tiba.

Selepas pukul 5.21 petang, Encik Lim dimasukkan ke Hospital Alexandra dalam keadaan koma dan dengan beberapa luka tikaman di bahagian belakang kakinya dan tangan kanan. Dia disedarkan semula dan dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU).

Semasa di sana, dia mengenal pasti Ng sebagai orang yang menikamnya. Laporan perubatan yang dikeluarkan sejurus selepas insiden itu menyatakan bahawa luka di paha kanan memutuskan menjejas arteri dan saraf Encik Lim.

Sebulan selepas serangan itu, Encik Lim mengalami kegagalan buah pinggang dan dipindahkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada 3 Disember 1990.

Beliau meninggal dunia pada 8 Disember 1990, dengan laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah kegagalan pelbagai organ berikutan kejutan dan pendarahan akibat luka tikaman di kaki kanannya.

Laporan penjelasan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura bertarikh 13 September 2024, menyatakan bahawa Encik Lim mengalami komplikasi termasuk kegagalan buah pinggang akut yang memerlukan dialisis dan kegagalan hati.

Beliau juga mengalami demam semasa dimasukkan ke hospital, kemungkinan besar disebabkan oleh jangkitan yang sudah dialami sebelum ini. Laporan itu menyatakan bahawa komplikasi daripada kecederaan awal menyebabkan kematian.

TERTUDUH LARI KE MALAYSIA PADA HARI KEJADIAN

Sementara itu, selepas melarikan diri, Ng menghubungi seorang rakan melalui telefon dan memberitahunya bahawa dia menikam Encik Lim, dan bahawa dia akan melarikan diri ke Johor Bahru.

Ng juga menghubungi anak lelakinya dan mengarahkannya untuk membawa beberapa pakaian ke sebuah blok di Bukit Merah View.

Pada malam itu, dia menelefon anaknya lagi dengan arahan untuk membungkus pakaian itu ke dalam beg dan menyerahkannya kepada rakannya.

Sekitar pukul 11.00 malam itu, Ng bertemu rakan tersebut di Johor Bahru dan sekali lagi mengaku bahawa dia sudah menikam Encik Lim.

Ng terus berada di Malaysia sehingga dia didakwa dan ditahan di Johor Bahru atas kesalahan di bawah Akta Imigresen Malaysia.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan bila dia mula-mula ditahan di Johor Bahru.

Oleh kerana Ng mengisytiharkan dirinya sebagai rakyat Singapura, pihak berkuasa Malaysia meminta bantuan daripada Singapura untuk mengekstradisinya pada 21 April 2022.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 24 Mei 2023, bahawa Ng sudah ditahan di Malaysia.

Identiti Ng disahkan dan dia diekstradisi ke Singapura pada 21 Disember 2023. Dia dikenal pasti sebagai orang yang dikehendaki dan SPF menahannya di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan meletaknya di bawah tahanan pada hari yang sama.

Ng didakwa di mahkamah sehari kemudian. Semasa dalam tahanan, Ng didiagnos dengan kudis buta (scabies) dan menerima rawatan bagi keadaan itu.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara antara enam setengah tahun hingga lapan tahun untuk Ng.

Ia juga memohon hukuman penjara tambahan enam bulan sebagai ganti 12 sebatan rotan.

Ng tidak boleh disebat kerana usianya melebihi 50 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Terence Chua dan Emily Koh berkata bahawa Ng menunjukkan tahap perancangan awal kerana dia membawa pisau bersamanya.

"Tertuduh melarikan diri dari tempat kejadian, menghilangkan diri dan berada di luar bidang kuasa untuk tempoh masa yang lama selama 33 tahun," kata pihak pendakwa.

"Ini bukan kes penyerahan diri secara sukarela, dan tertuduh tidak akan pulang ke Singapura jika tidak kerana dia didakwa, ditahan oleh polis Malaysia kerana kesalahan di Malaysia, dan kemudiannya diekstradisi ke Singapura."

Mereka menegaskan, Ng kini perlu bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukannya.

Ng, yang diwakili oleh peguam Prakash Otharam dari Ashvin Law Corporation dan Rohit Kumar Singh dari Regal Law, memohon hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun.

Peguam bela juga memohon hukuman penjara tambahan sebulan sebagai ganti 12 sebatan rotan.

"Tertuduh menunjukkan penyesalan dengan mengaku bersalah dan tidak membazirkan sumber mahkamah dan pendakwa raya dengan menuntut perbicaraan," kata mereka.

Memperincikan keadaan peribadi Ng, peguam-peguam itu berkata dia terputus hubungan dengan semua anggota keluarganya apabila dia melarikan diri ke Malaysia.

"Keluarganya kini sedang menunggunya pulang ke rumah. Mereka bimbang bahawa mereka mungkin tidak dapat meluangkan lebih banyak masa dengannya, memandangkan usianya yang lanjut," tambah mereka.

Mereka juga menyenaraikan pelbagai masalah kesihatan Ng, termasuk sakit belakang dan sakit kaki yang kronik, dan kegatalan akibat keadaan kulitnya.

Ng juga sering mengalami pening dan pengsan akibat tekanan darah rendah.

Hukuman penahanan bagi tempoh yang panjang akan menjadi "kesukaran yang ketara" kepada Ng, mendedahkannya kepada risiko lebih mudah jatuh dan angin ahmar jika dia tidak dapat menerima jagaan kesihatan yang mencukupi atau jagaan rapi daripada anggota keluarganya, kata peguam-peguam itu.

Mahkamah menangguhkan hukuman selepas meminta lebih banyak maklumat mengenai tempoh reman Ng di Johor Bahru, dan mengenai keadaan kesihatan Ng.

Ng akan kembali ke mahkamah bagi hukumannya pada 30 Disember.

Bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata yang mungkin menyebabkan kematian, Ng berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan juga boleh didenda.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita