Skip to main content

Singapura

Pemindahan keluaran roti dari SG ke JB 'langkaui pengurangan kos': Gardenia

Pengeluar roti Gardenia memberitahu Mediacorp pada Rabu (20 Mei) bahawa keputusan untuk memindahkan pengeluaran rotinya dari Singapura ke Malaysia “melangkaui pengurangan kos”.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemindahan keluaran roti dari SG ke JB 'langkaui pengurangan kos': Gardenia

Bangunan Gardenia di 230B Pandan Loop pada 20 Mei 2026. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)

Diterbitkan : 20 May 2026 10:34PM
SINGAPURA: Pengeluar roti Gardenia memberitahu Mediacorp pada Rabu (20 Mei) bahawa keputusan untuk memindahkan pengeluaran rotinya dari Singapura ke Malaysia “melangkaui pengurangan kos”.

“Ia merupakan satu langkah strategik sebagai respons terhadap kesinambungan perniagaan, kekangan tenaga kerja dan keperluan tanah perindustrian bagi pengeluaran berskala besar,” kata jurucakap Gardenia ketika ditanya berhubung isu-isu khusus yang membawa kepada langkah tersebut.

“Langkah itu mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan kami, meningkatkan fleksibiliti operasi dan meletakkan Gardenia pada kedudukan lebih baik untuk pertumbuhan mampan jangka panjang.”

Gardenia mengumumkan pada awal Rabu bahawa ia sedang memindahkan pengeluaran rotinya ke Johor Bahru.

Langkah itu akan menyebabkan 141 pekerja di kemudahan pengilangannya di Pandan Loop diberhentikan, dan pengeluaran di situ akan dihentikan pada 30 Jun.

Syarikat itu menambah bahawa Singapura akan kekal sebagai hab pusatnya bagi fungsi-fungsi utama seperti pengurusan jenama, pembangunan produk, pemantauan kualiti dan kawal selia, pengedaran harian serta operasi rantaian bekalan.

Pasukan Gardenia di Singapura, yang akan mempunyai sekitar 250 pekerja selepas peralihan tersebut, juga akan terus memantau tadbir urus kualiti dan memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Awal dari itu, syarikat itu menyatakan langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kekal berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

Jurucakap Gardenia memberitahu Mediacorp: “Dengan memanfaatkan keupayaan serantau, termasuk kemudahan kumpulan di Johor, Gardenia boleh beroperasi dengan lebih cekap pada skala besar, meningkatkan penggunaan kapasiti dan membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta fleksibel bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Langkah ini juga membolehkan kami meluaskan kapasiti di luar Singapura untuk menyokong perniagaan kami yang semakin berkembang, sambil terus memastikan daya tahan operasi, kualiti produk yang konsisten dan kesinambungan bekalan.”

Semasa ditanya sama ada langkah tersebut menandakan peralihan daripada warisan “buatan Singapura”, jurucakap itu memberitahu Mediacorp bahawa syarikat tersebut “kekal komited terhadap Singapura dan akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama tempatan yang dibanggakan”.

Syarikat itu ditubuhkan sebagai sebuah kedai roti kecil di Bukit Timah Plaza pada 1978.

Jurucakap itu mengulangi bahawa ibu pejabat Gardenia di Singapura akan terus menjadi pusat bagi fungsi-fungsi utama seperti pengurusan jenama, inovasi dan pembangunan produk, serta libat urus pelanggan dan pihak berkepentingan.

Syarikat induk Gardenia, QAF, berpangkalan di sini, dan Singapura akan kekal sebagai sebuah “pasaran utama dan hab strategik”, tambah jurucakap itu.

“Langkah ini tidak mengubah komitmen kami terhadap Singapura. Malah, ia mengukuhkan lagi keupayaan kami untuk terus memenuhi keperluan para pengguna di Singapura bagi jangka panjang.”

Pekerja yang terjejas akan menerima pampasan pemberhentian kerja selaras dengan Nasihat Tiga Pihak Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenai Pengurusan Tenaga Kerja Berlebihan dan Pemberhentian Bertanggungjawab.

Pampasan tersebut juga dipersetujui dengan Kesatuan Gabungan Pekerja-pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU), dan akan disesuaikan mengikut gaji serta tempoh perkhidmatan setiap pekerja.

Para pengguna di Singapura tidak akan menyaksikan sebarang perubahan segera pada harga produk Gardenia, kata jurucakap itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita