Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peminat setia Perpustakaan Daerah Jurong singkap kenangan pinjam buku, beratur panjang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Semasa zaman kanak-kanaknya, Cik Anita Krishnamoorthy mengunjungi Perpustakaan Daerah Jurong sebulan sekali dari rumah ibu bapanya di Bukit Timah.

Wanita yang kini berusia 46 tahun itu bertugas dalam industri kewangan dan masih mengunjungi perpustakaan tersebut bersama anak lelaki beliau yang berumur lima tahun. "Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya," kata Cik Krishnamoorthy selepas berkunjung ke perpustakaan itu pada Jumaat (4 Nov).

Oleh itu, ia adalah sesuatu yang menyayat hati apabila beliau mendapat tahu bahawa perpustakaan itu mungkin akan memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan semula.

Perpustakaan Daerah Jurong dijangka akan digantikan dengan pembangunan kediaman dengan kedai-kedai di tingkat pertama, berdasarkan saranan-saranan yang diusulkan pada pelan induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang diterbitkan pada bulan lalu.

Jika tiada bantahan daripada orang ramai dan saranan-saranan yang diusulkan itu dilulusan, maka kerja-kerja pembangunan semula itu akan dimasukkan ke dalam pelan induk tersebut, menurut laman web URA.

"Singapura sudah berubah dan saya faham betapa pentingnya untuk negara ini terus berkembang tetapi ada perkara-perkara tertentu yang penting," kata Cik Krishnamoorthy.

"Sesetengah sejarah, kaitannya dengan kehidupan masa lalu di Singapura. Sedang kita memberi laluan kepada kerja-kerja seumpama itu, kita juga perlu melindungi warisannya."

Walaupun Cik Krishnamoorthy dan keluarganya tidak pernah menetap di kawasan Jurong, ibu bapanya akan membawanya ke Perpustakaan Daerah Jurong kerana ia lebih besar daripada sebuah lagi perpustakaan yang terletak berdekatan dengan rumah mereka.

Perpustakaan itu dibuka pada 1988 dan menjalani kerja-kerja naik taraf untuk menjadi perpustakaan daerah pada 2004.

Ketika itu, perpustakaan tersebut merupakan yang terbesar di Singapura dengan keluasan lantai 12,020 meter persegi.

Sebagai seorang ibu, Cik Krishnamoorthy masih membawa anak-anaknya ke perpustakaan itu kerana sudah menjadi 'kebiasaannya' walaupun tidak tinggal berhampiran dengan perpustakaan tersebut.

Seorang lagi yang menyimpan kenangan manis tentang perpustakaan itu ialah jurutera Choo Wei Qiang yang berusia 38 tahun.

"Saya masih ingat lagi betapa sesaknya perpustakaan tersebut, penuh sesak dengan ramai yang sanggup beratur panjang untuk meminjam buku," imbas beliau tentang kunjungannya ke perpustakaan berkenaan bersama ibu bapa dan adiknya pada tahun 1990-an.

Ketika itu proses meminjam buku masih dilakukan secara 'manual" dan seorang pustakawan akan meletakkan cap tarikh untuk memulangkan buku-buku yang dipinjam, menurut beliau lagi.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan