Peminat hidupan marin 'jengkel' lihat orang ramai kutip hidupan laut di tepi pantai
Sebuah catatan di Facebook mengenai bagaimana hidupan laut diperlakukan oleh pengunjung Pantai Changi baru-baru ini membuat peminat hidupan liar berasa jengkel.
Orang ramai dilihat mengutip hidupan liar di Pantai Changi. (Gambar: Daphne Ting)
SINGAPURA: Sebuah catatan di Facebook mengenai bagaimana hidupan laut diperlakukan oleh pengunjung Pantai Changi baru-baru ini membuat peminat hidupan liar berasa jengkel.
Catatan itu dikongsi dalam kumpulan Facebook Wildlife Sightings Singapore oleh salah seorang anggotanya, Cik Daphne Ting, yang menyaksikan kejadian di Pantai Changi pada Ahad (13 Jun) pagi ketika sedang bersiar-siar di zon antara pasang surut.
Zon antara surut merujuk ke kawasan pesisir pantai yang tenggelam ketika air pasang namun kering dan terdedah semasa air surut.
Dalam catatannya, Cik Ting berkata ada pengunjung pantai yang membawa cangkul, penyepit dan baldi, menggali lubang, "mencari hidupan laut dan memunahkan seluruh pantai".
Baldi berisi hidupan marin. (Gambar: Daphne Ting)
Antara hidupan yang mereka kutip adalah ketam, ikan, kerang, timun laut, belut, obor-obor dan anemone laut, kata Cik Ting dalam catatannya.
"Ada juga pengunjung pantai yang sangat marah dengan ini. Namun walaupun setelah memberitahu orang-orang ini untuk tidak menangkap hidupan laut, mereka hanya berpaling dan terus mengumpulkan lebih banyak lagi,” tulis wanita 28 tahun itu.
Dalam satu panggilan telefon dengan Mediacorp, Cik Ting menambah bahawa beliau mengongsi catatannya dengan harapan agar ada pihak yang boleh menjelaskan apa yang dapat dilakukan kerana ini adalah kali pertama beliau melihat orang mengumpulkan hidupan laut "secara beramai-ramai".
"Ketika teman lelaki saya dan saya melihat mereka memasukkan hidupan itu ke dalam baldi, kami melihat cara mereka menggunakan penyepit. Mereka mengutip kehidupan lembut dengan cara yang sangat kasar. Sekiranya anda di sana, anda juga akan merasa ngeri dengan cara mereka mengendalikan hidupan itu," dia menceritakan kepada Mediacorp.
MENGAPA IA CETUS KEMARAHAN
Malangnya kejadian seperti itu biasa terjadi, menurut peminat biodiversiti laut yang dihubungi Mediacorp.
"Bukannya orang tidak sedar tentang kehidupan ini, tetapi mereka tidak tahu bagaimana kehidupan itu hidup. Mereka tidak tahu bahawa memasukkannya ke dalam baldi dengan kehidupan lain boleh menyebabkan tekanan atau bahaya kepada hidupan-hidupan itu. Sekiranya anda memasukkannya ke dalam baldi, tahap oksigen akan habis dengan cepat dan mungkin menyebabkan hidupan itu mati," kata Dennis Chan, 27.
Encik Chan merupakan pengasas The Untamed Paths, sebuah badan yang berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kerencaman hidupan yang tidak diketahui ramai di Singapura.
'Textile Cone Snail' ini kelihatan tidak merbahaya tetapi akan menyembur bahan toksik jika diganggu. (Gambar: Jianlin Liu)
Encik Jianlin Liu, yang bersiar-siar di zon antara pasang surut sekurang-kurangnya tiga kali sebulan sejak sembilan tahun lalu, berkata sebilangan hidupan itu boleh cedera parah atau mati apabila dikutip.
Lelaki 31 tahun itu, yang terbang ke Bali dua kali setahun sejak lima tahun yang lalu untuk melakukan tinjauan zon antara pasang surut, berpendapat bahawa tingkah laku tersebut biasanya berpunca daripada "kekurangan pendidikan", sikap "main ikut-ikut" dan kerana ingin melihat kehidupan marin itu dengan lebih jelas di dalam baldi.
"Tetapi sebab-sebab lain termasuk menuai dan memakan hidupan laut, menjual haiwan untuk mendapat wang atau untuk koleksi peribadi akuarium seseorang," tambahnya.
Selain membahayakan hidupan laut, Encik Liu menambah bahawa tingkah laku yang dinyatakan dalam catatan Facebook itu juga merosakkan habitat.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN
"Apabila anda pergi ke hutan simpan, anda tidak akan menangkap katak. Peraturan yang sama juga patut dikenakan di sini," kata Encik Chan.
Nasihat Encik Chan kepada orang ramai yang ingin bersiar-siar di zon antara pasang surut adalah untik tidak membawa penyepit dan baldi.
“Pergi ke zon-zon ini dan nikmatinya dengan telefon atau kamera anda tetapi tinggalkan barang-barang lain di rumah supaya anda tidak tergerak untuk mengutip barang. Tidak perlu," katanya.
Mediacorp menghubungi Lembaga Taman Negara (NParks) untuk mendapatkan ulasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.