Skip to main content

Singapura

Pemimpin WP tidak suruh Raeesah Khan 'terus tutup mulut' tentang pembohongan, kata Faisal Manap

Naib Pengerusi Parti Pekerja, Faisal Manap, memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa bahawa tiga pemimpin tertinggi parti pembangkang itu sudah selama beberapa bulan mengetahui tentang tindakan bekas AP WP Raeesah Khan berbohong di Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin WP tidak suruh Raeesah Khan 'terus tutup mulut' tentang pembohongan, kata Faisal Manap

Encik Faisal Manap di perbicaraan bersama Jawatankuasa Hak Istimewa. (Image: YouTube/govsg)

Diterbitkan : 12 Dec 2021 12:12AM Dikemas Kini : 12 Dec 2021 12:21AM

SINGAPURA: Naib Pengerusi Parti Pekerja, Faisal Manap, memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa bahawa tiga pemimpin tertinggi parti pembangkang itu sudah selama beberapa bulan mengetahui tentang tindakan bekas AP WP Raeesah Khan berbohong di Parlimen pada 3 Ogos dan kemudian mengulangi pembohongan tersebut pada 4 Oktober.

Mereka bagaimanapun tidak mendedahkan perkara itu kepada barisan pemimpin mahupun anggota WP yang lain, menurut Encik Faisal.

Pada Sabtu (11 Dis), Jawatankuasa Hak Istimewa mengeluarkan laporan keduanya mengenai perbicaraan-perbicaraan kes tersebut.

Menurut catatan mesyuarat jawatankuasa itu, ia meminta tiga pemimpin tertinggi WP - Encik Faisal, ketua WP Pritam Singh dan pengerusi WP Sylvia Lim - untuk mengemukakan bukti.

Rakan sepasukan Cik Raeesah di GRC Sengkang, Profesor Madya Jamus Lim, turut diminta memberikan keterangan.

Encik Singh sudahpun menyerahkan bukti-bukti berkaitan pada Jumaat (10 Dis). Laporan yang dikeluarkan pada Sabtu (11 Dis) pula merangkumi ringkasan bukti yang diserahkan oleh Encik Faisal, yang memberi keterangan pada Khamis (9 Dis).

Menurut laporan berkenaan, Encik Faisal berkata beliau mengadakan dua pertemuan dengan Encik Singh dan Cik Lim sebelum perbicaraan dengan Jawatankuasa Hak Istimewa. Namun, Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied itu berulang kali enggan memberi butiran tentang apa yang dibincangkan. Encik Faisal juga tidak mahu berkongsi apakah bahan-bahan yang dibawa Encik Singh dan Cik Lim semasa pertemuan mereka.

Jawatankuasa itu menyatakan Encik Faisal "membawa nota bersamanya semasa perbicaraan".

"Beliau berkata nota itu disiapkan agar beliau ingat tentang urutan peristiwa yang berlaku," menurut laporan jawatankuasa itu lagi.

Jawatankuasa tersebut sedang menyiasat perilaku Cik Raeesah setelah beliau mengaku pada 1 November bahawa beliau berbohong di Parlimen mengenai dakwaannya menemani seorang mangsa serangan seksual ke sebuah balai polis, di mana mangsa diperlakukan secara tidak sensitif. Kenyataan tidak benar itu diucapkan di dalam Dewan pada 3 Ogos.

Cik Raeesah meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen dan anggota WP pada 30 November.

Jawatankuasa tersebut sebelum ini mengeluarkan laporan pada 3 Disember, yang mengandungi keterangan Cik Raeesah, yang mendakwa bahawa beliau disuruh oleh tiga pemimpin tertinggi WP supaya terus menutup mulut mengenai pembohongan itu di Parlimen. Dakwaan itu dikirimkan oleh Cik Raeesah menerusi WhatsApp kepada penolong setiausahanya Cik Loh Pei Ying dan Encik Yudhishthra Nathan, seorang relawan WP.

Semasa memberi keterangan di bawah sumpah, Cik Raeesah berkata beliau diberitahu oleh para pemimpin parti bahawa, jika beliau dan parti tidak dipersoal mengenai isu itu, tidak ada keperluan untuk menjelaskan tentang pembohongan itu.

Menurut laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Hak Istimewa pada Sabtu (11 Dis), Encik Faisal mengesahkan bahawa Cik Raeesah bertemu Encik Singh, Cik Lim dan dirinya sendiri, di mana beliau mengaku sudah berbohong di Parlimen pada 3 Ogos.

Bagaimanapun tiga pemimpin itu tidak memberi sebarang reaksi kerana berasa terkejut setelah diberitahu bahawa Cik Raeesah pernah menjadi mangsa serangan seksual semasa berusia 18 tahun dan menuntut di Australia.

Sejak mesyuarat itu, Encik Faisal tidak bertanya sebarang soalan atau berbincang tentang pembohongan itu, menurut laporan Jawatankuasa Hak Istimewa.

Ia menambah: "Secara ringkas, beliau memberitahu (Jawatankuasa Hak Istimewa) bahawa dirinya tidak terlibat dalam sebarang perkara berkaitan dengan pembohongan itu."

Semasa memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa, Encik Faisal juga berkata para pemimpin WP tidak menyuruh Raeesah "terus berbohong di Parlimen", sepertimana yang didakwa oleh Raeesah menerusi kiriman WhatsApp kepada Encik Nathan dan Cik Loh.

Laporan jawatankuasa berkenaan turut menyatakan bahawa Encik Faisal akur bahawa berbohong di Parlimen tidak seharusnya dilakukan.

"Beliau bersetuju bahawa membenarkan pembohongan itu diteruskan di Parlimen juga satu kesalahan. Beliau juga bersetuju bahawa jika seseorang tahu tentang kebenaran di sebalik sebarang penipuan di Parlimen, tindakan berdiam diri juga suatu masalah, yang boleh dianggap satu kesalahan," menurut laporan itu.

Ia menambah: "Encik Faisal bersetuju bahawa beliau tahu tentang pembohongan (Cik Raeesah) itu, (dan) ia seharusnya wajar untuk beliau bertanya soalan tentang niat (Cik Raeesah) untuk membuat penjelasan tentang pembohongan tersebut, pada bila-bila masa sepanjang perkara itu berlaku."  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita