Pemimpin WP tahu kenyataan Raeesah 'tidak benar' seminggu selepas ucapan Parlimen
Ketua WP Pritam Singh berkata beliau memberi ruang kepada Cik Raeesah berkongsi kepada keluarganya terlebih dahulu tentang serangan seksual yang dialaminya. Namun mengapa bekas AP itu tidak berterus-terang seawal mungkin di Parlimen, "itu bukan soalan yang boleh saya jawab", kata Encik Singh.
SINGAPURA: Para pemimpin Parti Pekerja (WP) dimaklumkan bahawa Cik Raeesah Khan berbohong berkaitan kes serangan seksual, seminggu selepas ucapan asalnya pada Ogos, kata ketua parti Pritam Singh hari ini (2 Dis).
Cik Raeesah juga mengulangi kenyataan tidak benar itu di Parlimen pada Oktober, walaupun sudah diminta menjelaskan perkara tersebut ketika itu, kata Encik Singh.
Cik Khan meletak jawatan daripada parti itu, sekaligus sebagai Anggota Parlimen (AP) pada Selasa malam (30 Nov), menyusuli pengakuannya di Parlimen pada 1 November bahawa beliau berbohong di Parlimen tentang dirinya menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis.
Beliau membuat dakwaan itu semasa ucapannya dalam usul WP bagi memperkasa wanita pada 3 Ogos, di mana beliau berkata kes itu disalah tangani oleh pihak polis.
Semasa sidang media hari ini, Encik Singh menjelaskan bahawa selepas Cik Raeesah mula-mula membuat ucapannya pada Ogos, Encik Singh meminta beliau agar "sedaya upaya menghubungi mangsa atau menghubungi individu" yang terlibat sedang pihak berkuasa meminta maklumat lanjut.
“Awalnya, Raeesah masih berpegang kepada kenyataan tidak benar itu semasa berkomunikasi dengan saya,” kata Encik Singh.
“Selepas didesak berulang kali, beberapa fakta baru dan pendedahan peribadi yang mengganggu dikongsi. Ini melibatkan serangan seksual ke atas diri Raeesah dan kejadian-kejadian yang tidak diketahui oleh kepimpinan parti pada masa itu serta perkara lain yang bersifat sangat peribadi."
Cik Raeesah mengakui perkara itu kepada kepimpinan parti sekitar seminggu selepas beliau menyampaikan ucapannya, kata Encik Singh, sambil menambah bahawa Cik Raeesah berkata trauma peribadi itu menjadi sebab mengapa beliau tidak jujur dalam ucapannya.
"Kebimbangan segera" bagi Encik Singh ialah Cik Khan belum memaklumkan tentang serangan seksual ke atas dirinya kepada anggota keluarga beliau, kata Encik Singh.
“Menurut penilaian saya, penting untuk beliau berbuat demikian sebelum beliau dapat mendedahkan sepenuhnya sebab di sebalik kelakuan tidak jujurnya di Parlimen dan untuk membetulkan rekod tersebut.
"Memandangkan serangan seksual itu dan penilaian saya terhadap keadaan fikirannya, saya bersedia memberi ruang yang diperlukan untuk beliau menangani perkara tersebut bersama orang yang disayanginya."
Selepas itu, Cik Khan mengalami sakit kayap pada September dan tidak hadir di Parlimen.
“Bagaimanapun beliau sudah dimaklumkan sebelum persidangan parlimen pada Oktober, bahawa sebarang penjelasan tentang perkara ini adalah hak beliau sebagai Anggota Parlimen untuk dijelaskan."
Namun, ketika disoal oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri di Parlimen pada 4 Oktober, Cik Raeesah "mengulangi kenyataan tidak benar itu dalam rekod parlimen, yang sama sekali tidak sejajar dengan pendedahan yang dikongsikan beliau kepada kepimpinan parti selepas 3 Ogos", kata Encik Singh.
“Hampir serta-merta selepas Parlimen ditangguhkan pada Oktober, Raeesah bersetuju dengan kepimpinan parti bahawa beliau perlu memperbetulkan rekod itu dengan segera. Saya berkongsi dengan beliau bahawa ia adalah perkara yang wajar untuk dilakukan. Peluang terawal seterusnya untuk berbuat demikian di Parlimen ialah pada 1 November."
Beliau menambah: "Cik Raeesah kemudian menghantar surat peletakan jawatannya kepada saya pada 30 November."
Menjawab soalan mengapa Cik Raeesah tidak mengikuti arahan untuk menjelaskan perkara sebenar pada Oktober, Encik Singh berkata: “Mengapa beliau tidak mematuhi arahan itu; mengapa beliau mengabaikannya; itu bukan soalan yang boleh saya jawab."
Bagaimanapun tambah beliau, memandangkan Cik Raeesah adalah AP WP, parti itu perlu bertanggungjawab dan menjelaskan kepada orang ramai tentang apa yang berlaku.
“Saya ingin mengakhiri kenyataan ini dengan memohon maaf kepada penduduk Sengkang atas kejadian ini. Saya juga memohon maaf kepada semua mangsa serangan seksual, yang terluka disebabkan perkara ini."
Beliau menambah bahawa kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap WP adalah "asas" kepada etos parti sebagai "institusi yang rasional, bertanggungjawab dan dihormati dalam politik Singapura".
“Rakyat Singapura berhak untuk mengharapkan usaha terbaik daripada Anggota Parlimen Parti Pekerja, dan kami tidak seharusnya sekali-kali mengambil ringan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kami.”
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.