Skip to main content

Singapura

Pemimpin WP perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran Raeesah Khan, kata mantan NCMP WP

Cik Raeesah Khan dari Parti Pekerja (WP) tidak seharusnya meletak jawatan. Sebaliknya, beliau perlu bertanggungjawab atas "keterlanjuran" yang dibuatnya sehingga mengelirukan Parlimen mengenai satu kes serangan seksual, kata bekas anggota jawatankuasa eksekutif pusat WP, Daniel Goh.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin WP perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran Raeesah Khan, kata mantan NCMP WP

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Nov 2021 06:41PM Dikemas Kini : 03 Nov 2021 06:46PM

SINGAPURA: Cik Raeesah Khan dari Parti Pekerja (WP) tidak seharusnya meletak jawatan. Sebaliknya, perlu bertanggungjawab atas "keterlanjuran yang membawa padah" yang dibuatnya sehingga mengelirukan Parlimen mengenai satu kes serangan seksual, kata bekas anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu, Daniel Goh.

Beliau juga menggesa panel disiplin parti, yang sedang meneliti pengakuannya berbohong di Parlimen, supaya tidak "menghukumnya". Sebaliknya, beliau berkata kepimpinan parti perlu memikul sebahagian tanggungjawab kerana "membiarkan keterlanjuran itu berlaku dan berlarutan selama beberapa bulan".

Profesor Madya Goh, yang sudah bersara daripada politik tetapi kekal sebagai anggota kader WP, menyatakan dalam catatan Facebook hari ini (3 Nov) bahawa langkah "meletak jawatan akan menjadi jalan keluar terlalu mudah" dan langkah sedemikian akan bermakna melarikan diri daripada tanggungjawabnya.

"Saya percaya beliau harus menamatkan penggalnya, berusaha 100 peratus untuk berkhidmat kepada masyarakat, keluarga dan individu secara senyap-senyap, tiada catatan atau buat kenyataan di media sosial, supaya tumpuan benar-benar diberikan kepada mereka dan bukan dirinya sendiri," kata mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) itu.

Pada Ogos, Cik Raeesah — yang merupakan anggota GRC Sengkang di mana beliau menyelia kawasan Compassvale — membuat dakwaan di Parlimen bahawa beliau menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, di mana mangsa dilayan secara tidak sensitif.

Pada Isnin (1 Nov), Cik Raeesah mengaku di Parlimen bahawa beliau mengelirukan Dewan dan bahawa beliau sebenarnya mendengar akuan tersebut daripada seorang mangsa penderaan seksual semasa mesyuarat kumpulan sokongan wanita.

Sejak hari itu, WP sudah membentuk panel disiplin untuk meneliti pengakuan tersebut dan Ketua Dewan Indranee Rajah sudah merujuk kelakuan Cik Raeesah kepada jawatankuasa hak istimewa Parlimen, yang meneliti sebarang aduan yang mendakwa pelanggaran keistimewaan parlimen.

Prof Madya Goh berkata kejadian itu menjejas dirinya dengan "teruk".

“Ia menggugat keyakinan saya terhadap parti itu, yang mana saya abdikan diri hampir 10 tahun untuk membantu membangunkannya dan yang mana saya masih merupakan seorang anggota kader. Saya tidak percaya seorang Anggota Parlimen WP secara terang-terangan berbohong berkali-kali di Parlimen,” katanya.

Prof Madya Goh berkata insiden itu bukan hanya satu laporan tidak benar, tetapi jauh lebih serius dan menjejas bukan sahaja kewibawaan WP, tetapi juga evolusi sistem politik negara.

Lebih-lebih lagi, kata beliau, ia menjejas kewibawaan isu yang Cik Raeesah sendiri sokong dan usulkan dalam ucapannya di Parlimen: iaitu pemerkasaan wanita.

“Ini adalah isu yang saya pernah sebutkan beberapa kali semasa saya di Parlimen dan ia sangat dekat di hati saya. Saya harap kita tidak akan lupa apa yang sudah dibincangkan dan diperjuangkan semasa perbahasan bagui usulan penting itu,” katanya.

“Saya amat berbangga dengan WP kerana membentangkan dan memperjuangkan usulan itu. Tolong jangan biarkan keterlanjuran Cik Raeesah mencemarkan isu penting ini.”

Beliau menambah bahawa kenyataan Cik Raeesah tidak dibuat secara spontan. Berdasarkan pengalamannya, beliau berkata ucapan-ucapan dikongsi dan disemak dalam kalangan AP dan mungkin terdapat perselisihan pendapat dan perbahasan mengenainya.

"Tetapi kami akan membuat pembetulan atau menggugurkan sepenuhnya ucapan mengikut kata sepakat semua pihak terlibat," katanya.

Jika berlaku kesilapan, beliau berkata anggota parti akan segera bertindak untuk membetulkannya.

“Saya berharap panel disiplin yang terdiri daripada tiga pemimpin tertinggi akan akui tanggungjawab mereka dalam perkara ini dan kebertanggungjawapan kepada orang ramai mengenai hal ini,” katanya.

JAWATANKUASA HAK ISTIMEWA

Secara berasingan, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang Edwin Tong, serta Setiausaha Parlimen Kementerian Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam dicalonkan untuk menganggotai Jawatankuasa Hak Istimewa untuk menyiasat Cik Raeesah.

Pencalonan dibuat pada Selasa dan pelantikan diumumkan kepada Dewan oleh Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin hari ini.

Encik Tong dan Cik Rahayu akan menggantikan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Cik Indranee Rajah.

Cik Indranee berkata pada Selasa bahawa beliau dan Encik Shanmugam akan mengundurkan diri kerana beliau yang membuat aduan, sementara kementerian Encik Shanmugam terlibat dalam isu itu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita