Pemimpin WP arah Raeesah terus berbohong di Parlimen
Bekas Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Raeesah Khan sudah menyerahkan bukti kepada Jawatankuasa Hak Istimewa yang mendakwa bahawa beliau diberitahu oleh para pemimpin WP supaya terus berpegang kepada pembohongan yang dibuat di Parlimen pada 3 Ogos.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Bekas Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Raeesah Khan sudah menyerahkan bukti kepada Jawatankuasa Hak Istimewa yang mendakwa bahawa beliau diberitahu oleh para pemimpin WP supaya terus berpegang kepada pembohongan yang dibuat di Parlimen pada 3 Ogos.
Dalam keterangannya semasa terikat dengan sumpah, Cik Raeesah berkata beliau diberitahu oleh para pemimpin parti tersebut - ketua WP Pritam Singh, pengerusi Sylvia Lim dan naib pengerusi Faisal Manap - bahawa sekiranya beliau dan parti berkenaan tidak dipertanggungjawabkan atas pembohongan itu, maka tidak perlu untuk beliau memberikan penjelasan kepada pembohongan itu.
Semua ini diperincikan dalam laporan yang diserahkan oleh Jawatankuasa Hak Istimewa kepada Parlimen dan diterbitkan di laman web Parlimen. Selain daripada laporan itu, rakaman video bagi kesemua perbicaraan turut didedahkan secara terbuka.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin, sedang meneliti perilaku Cik Raeesah setelah beliau mengaku pada 1 November bahawa beliau berbohong di Parlimen. Ini berhubung dakwaan bahawa beliau menemani seorang mangsa serangan seksual ke sebuah balai polis di mana mangsa telah dilayan secara tidak sensitif.
Pada Khamis (2 Dis), Encik Singh mendedahkan di sidang media bahawa para pemimpin WP mengetahui pada Ogos lalu bahawa Cik Raeesah berbohong. Namun parti itu tidak mengambil sebarang tindakan lebih awal kerana Encik Singh mahu memberi masa kepada Cik Raeesah untuk berbincang dengan keluarganya mengenai hal itu dan Cik Raeesah yang sepatutnya memperbetulkan perkara yang tidak benar itu di Parlimen.
Namun kenyataan itu dipertikaikan oleh Cik Raeesah semasa menyerahkan bukti kepada Jawatankuasa Hak Istimewa pada Khamis dan Jumaat.
Beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan Encik Singh semasa sidang media itu bahawa beliau diarahkan untuk menjelaskan kebenaran di Parlimen pada Oktober tetapi beliau bertindak sebaliknya.
Cik Raeesah memberitahu Jawatankuasa Hak Istimewa bahawa tiada arahan yang diberikan kepadanya untuk memberikan penjelasan pada Oktober dan tiada seorang pun dari WP yang menasihatinya supaya mendedahkan perkara sebenar.
Semasa sidang media WP, Encik Singh juga berkata bahawa panel disiplin parti itu memberitahu Cik Raeesah bahawa jika beliau tidak meletak jawatan atas kerelaan diri sendiri, beliau akan dipecat dari WP.
Cik Raeesah berkata hal itu tidak disampaikan kepadanya. Apabila beliau bertemu dengan panel itu pada 29 November, panel itu mencadangkan kepadanya supaya beliau meletak jawatan, "kerana ia demi kebaikan dirinya dan kerana beliau sudah hilang sokongan daripada para AP GRC Sengkang", menurut laporan Jawatankuasa Hak Istimewa.
APA YANG DIKATAKAN OLEH PEMIMPIN WP SETELAH MENDAPAT TAHU RAEESAH BERBOHONG
Berdasarkan rakaman video perbicaraan, Cik Raeesah berkata bahawa pada 7 Ogos, beliau bercakap secara ringkas dengan Encik Singh melalui telefon untuk memberitahu Encik Singh bahawa kenyataannya di Parlimen pada 3 Ogos lalu adalah tidak benar. Pada keesokan harinya, beliau bertemu dengan Encik Singh, Cik Lim dan Encik Faisal.
Menurut Cik Raeesah, ketiga-tiga pemimpin WP itu memberikan reaksi yang "sangat kecewa" dan "marah" terhadap tindakannya itu namun mereka juga "mempunyai belas kasihan terhadapnya".
Menurut Cik Raeesah, reaksi awal Encik Singh adalah supaya beliau berterus terang kepada Jawatankuasa Hak Istimewa namun Encik Singh kemudian berubah fikiran setelah Cik Raeesah menjelaskan situasi yang mendorongnya untuk berbohong.
Akhirnya, ketiga-tiga pemimpin WP memberitahunya bahawa:
- Jalan terbaik baginya adalah untuk meneruskan dengan naratif yang sudah diberikan di Parlimen pada 3 Ogos (bermakna, meneruskan dengan pembohongan itu)
- Jika Cik Raeesah dan WP tidak dipertanggungjawabkan atas pembohongan itu, maka tidak perlu untuk memberikan penjelasan. Jika perkara itu dibangkitkan sekali lagi, maka tidak perlu baginya memberikan penjelasan dan tidak perlu untuk menjelaskan perkara sebenar.
Pada 8 Ogos, Cik Raeesah memberitahu penolong setiausahanya Cik Loh Pei Ying dan Encik Yudhishthra Nathan, seorang relawan WP, apa yang berlaku semasa pertemuannya dengan ketiga-tiga pemimpin WP itu.
Cik Raeesah memberitahu mereka berdua dalam kiriman mesej melalui WhatsApp bahawa Encik Singh, Cik Lim dan Encik Faisal "bersetuju bahawa perkara terbaik untuk dilakukan adalah dengan merahsiakan perkara itu selama-lamanya".
Pada 3 Oktober, Encik Singh berjumpa dengan Cik Raeesah di rumahnya dan memberitahunya bahawa sekiranya Cik Raeesah berpegang kepada naratif sedia ada, maka Encik Singh tidak akan menghakiminya, kata Cik Raeesah.
Cik Raeesah memberitahu Jawatankuasa Hak Istimewa bahawa beliau menerima emel daripada pihak polis bertarikh 7 Oktober, yang memintanya untuk membantu mereka dalam siasatan terhadap perkara yang dibangkitkannya di Parlimen pada 3 Ogos.
Cik Raeesah berkata bahawa beliau kemudian mendapatkan nasihat daripada Encik Singh dan Cik Lim dan mereka "mengarahkannya supaya jangan memberikan respons kepada pihak polis dan mengabaikan permintaan itu kerana pihak polis tidak boleh memaksa (Cik Raeesah) untuk bercakap dengan mereka".
Cik Raeesah memberitahu jawatankuasa itu beliau berasa prihatin kerana beliau akan memberikan keterangan tanpa hak istimewanya jika beliau menuruti permintaan polis, "berbanding dengan memberikan penjelasan di Parlimen, di mana beliau mempunyai hak istimewa".
PANEL DISIPLIN WP
Cik Loh dan Encik Nathan turut memberikan keterangan masing-masing di perbicaraan Jawatankuasa Hak Istimewa.
Laporan jawatankuasa tersebut menyatakan bahawa Cik Loh berkata beliau dan Encik Nathan berasa terkejut apabila WP menubuhkan sebuah panel disiplin mereka sendiri pada 2 November.
Cik Loh merasakan bahawa komposisi panel itu adalah "demi kepentingan sendiri" memandangkan ia terdiri daripada ketiga-tiga pemimpin WP yang sama - Encik Singh, Cik Lim dan Encik Faisal - iaitu "individu yang sama... yang mengetahui tentang apa yang dikatakan oleh Cik Raeesah adalah tidak benar".
Bagi pihaknya, Encik Nathan bersetuju bahawa panel itu adalah "demi kepentingan sendiri, dan ia menyumbang kepada pandangan berat sebelah dan tidak berhemah terhadap kejadian itu, kerana ia mengundang anggota dan relawan WP untuk memberikan pandangan tentang kejadian itu tanpa mendedahkan bahawa Cik Raeesah bertindak atas bimbingan pemimpin kanan WP (di mana mereka sendiri merupakan anggota panel tersebut)".
Menurut laporan itu, Cik Loh mengesahkan bahawa "beliau berasa sangat berat untuk mendedahkan segala-galanya" tentang WP.
Ia menambah: "Beliau (Cik Loh)tidak mempunyai sebarang agenda, sudah menjadi anggota Parti Pekerja (WP) selama 10 tahun dan meluangkan banyak masa peribadi dan masa belianya kepada parti itu. Beliau sedia maklum tentang kesan daripada apa yang beliau kongsikan, namun baginya, lebih daripada segala-galanya, beliau berasa adalah penting untuk bersikap jujur kepada negara. Cik Loh menangis semasa beliau mengatakan semua itu."
Laporan penuh Jawatankuasa Hak Istimewa boleh diperolehi di laman web Parlimen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.