Pemimpin Singapura ucap tahniah kepada presiden baru Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa
Para pemimpin negara menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa atas kemenangannya dalam pilihan raya negara itu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (19 Nov).
Encik Gotabaya Rajapaksa. (Gambar: AFP/Lakruwan Wanniarachchi)
SINGAPURA: Para pemimpin negara menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa atas kemenangannya dalam pilihan raya negara itu, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (19 Nov).
Encik Rajapaksa menang pilihan raya presiden Sri Lanka pada hujung minggu lalu dengan meraih 52.25 peratus undi, mendahului saingan utamanya daripada parti pemerintah Sajith Premadasa yang meraih 41.99 peratus undi.
Dalam suratnya, Presiden Halimah Yacob berkata kemenangan Presiden Rajapaksa menunjukkan "kepercayaan dan keyakinan warga Sri Lanka" terhadap kepimpinannya.
"Singapura dan Sri Lanka menikmati hubungan erat sekian lama, berdasarkan kerjasama ekonomi yang sentiasa meningkat dan kerjasama antara penduduk," kata Puan Halimah.
"Saya mengalu-alukan bekerjasama dengan anda untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara," tambah beliau.
Dalam surat kepada Presiden Sri Lanka itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata kemenangan Encik Rajapaksa sebagai presiden sejajar dengan "detik bersejarah dan cabaran besar merata dunia terutama sekali bagi negara-negara kecil seperti Sri Lanka dan Singapura".
"Saya yakin anda boleh memimpin Sri Lanka mengharungi cabaran-cabaran dengan penuh upaya, dan Sri Lanka akan mencatat kemajuan dalam mencapai keamanan dan kemakmuran berpanjangan semasa tempoh anda sebagai Presiden," kata PM Lee.
Encik Lee juga berkata Singapura dan Sri Lanka mempunyai hubungan erat dan talian ekonomi yang kukuh.
"Saya mengalu-alukan kerjasama dengan anda untuk memperkukuh hubungan dua hala pada tahun-tahun mendatang," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.