Skip to main content

Singapura

Pemimpin SG ucap tahniah sempena ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik dengan China

Pemimpin Singapura mengutuskan ucapan tahniah kepada China pada Jumaat (3 Okt) bagi memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Oct 2025 10:07AM Dikemas Kini : 04 Oct 2025 12:06AM
SINGAPURA: Pemimpin Singapura mengutuskan ucapan tahniah kepada China pada Jumaat (3 Okt) bagi memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Republik Singapura dan Republik Rakyat China menjalin hubungan diplomatik pada 3 Oktober 1990.

Dalam sepucuk surat kepada Presiden China Xi Jinping, Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam memuji “perkongsian rapat dan menyeluruh” yang dinikmati hari ini, hasil usaha pemimpin perintis kedua-dua negara, khususnya Encik Lee Kuan Yew dan Encik Deng Xiaoping pada 1970-an.

Encik Tharman turut menekankan peningkatan hubungan dua hala antara Singapura dan China kepada tahap “Perkongsian Menyeluruh Berkualiti Tinggi Berorientasikan Masa Depan.”

“Projek Pemerintah-ke-Pemerintah kita di Suzhou, Tianjin dan Chongqing, serta projek kerjasama dua hala peringkat negeri di Guangzhou, terus berkembang, memperkenalkan ciri-ciri baharu dan kekal berpandangan jauh,” kata beliau.

Beliau menambah kedua-dua negara turut memperluas kerjasama ke bidang-bidang baharu seperti ekonomi digital dan hijau, jaminan makanan, serta memperdalam kerjasama kewangan. Warga kedua-dua negara juga turut memperkukuh hubungan menerusi pengajian, perniagaan, pelancongan dan pertukaran budaya.

Encik Tharman berkata beliau yakin Singapura dan China akan terus bekerjasama untuk membawa hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.

“Mohon terima ucapan terbaik saya, dan saya berharap dapat bertemu anda tidak lama lagi,” katanya.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata hubungan Singapura dan Beijing semakin mendalam sepanjang beberapa tahun, berakar umbi daripada kesediaan untuk memahami perspektif masing-masing, serta pembinaan kepercayaan antara satu sama lain hasil kerjasama yang saling menguntungkan selama beberapa dekad.

“Tiga platform dua hala peringkat tinggi kita, yang merangkumi, Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC), Forum Kepimpinan Singapura-China dan Forum Tadbir Urus Sosial, juga kekal sebagai mekanisme penting bagi generasi pemimpin dan pegawai seterusnya untuk bertukar pandangan serta mengenal pasti bidang kerjasama baharu,” kata beliau dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri China Li Qiang.

“Sedang kita meraikan 35 tahun hubungan ini, saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk memajukan kerjasama dalam bidang baharu yang sedang berkembang seperti ekonomi digital dan hijau, kewangan serta tenaga bersih dan boleh diperbaharui. Kita juga boleh meneroka cara untuk menyokong pembangunan rantau kita dan menangani cabaran bersama seperti perubahan iklim.”

Encik Wong menekankan bahawa kedua-dua negara berkongsi komitmen dalam menyokong perdagangan bebas dan menegakkan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan, termasuk melalui platform seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Beliau juga menggesa agar pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Singapura-China yang ditambah baik, Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dipercepatkan.

“Saya berharap dapat memperdalam kerjasama kita di forum serantau dan pelbagai hala bagi mengubah cabaran bersama menjadi peluang baharu,” kata Encik Wong.

“Saya ucapkan yang terbaik kepada anda dan rakyat China, dan saya berharap dapat menerima kedatangan anda di Singapura tidak lama lagi.”

Seruan untuk menegakkan komitmen kedua-dua negara bagi mengekalkan ketertiban antarabangsa berasaskan peraturan turut disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dalam sepucuk surat kepada Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, adalah penting untuk kita terus memperkukuh kerjasama, baik secara dua hala mahupun di forum serantau dan antarabangsa,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Encik Gan berkata beliau menantikan pertemuan dengan Encik Ding dan delegasinya di mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) di Chongqing hujung tahun ini.

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishan pula berkata dalam sepucuk surat kepada rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, bahawa beliau yakin kedua-dua negara dapat membawa hubungan ke tahap lebih tinggi pada tahun-tahun mendatang.

“Memandangkan kepentingan bersama kita dalam menyokong perdagangan bebas, multilateralisme dan ketertiban antarabangsa berasaskan peraturan, banyak lagi yang boleh kita usahakan bersama untuk memberi manfaat kepada rakyat kita dan rantau yang lebih luas,” kata Dr Balakrishan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita