Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin SG ucap tahniah kepada Ramaphosa dilantik semula sebagai presiden Afrika Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong mengutus surat kepada Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan semula sebagai presiden.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (25 Jun).

Dalam suratnya kepada Encik Ramaphosa bertarikh 19 Jun, Presiden Tharman menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak rakyat Singapura, serta menarik perhatian bahawa kedua-dua negara "menikmati persahabatan yang sudah lama terjalin".

Singapura dan Afrika Selatan menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik pada 2023, dengan lawatan peringkat tinggi ke negara masing-masing oleh mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri Afrika Selatan Paul Mashtile, kata Presiden Tharman.

"Saya berharap untuk berjumpa dengan anda dan berharap untuk bekerjasama untuk terus meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara," tulisnya.

Dalam surat yang ditulis pada 19 Jun, PM Wong juga menarik perhatian bahawa Singapura dan Afrika Selatan menikmati "hubungan dua hala yang luas".

"Selain lawatan peringkat tinggi, kita mempunyai kerjasama dalam sektor perdagangan dan pelaburan, ketersambungan udara, teknologi maklumat dan komunikasi, serta pembangunan kemahiran."

"Singapura adalah salah satu rakan perdagangan terbesar Afrika Selatan di Asia Tenggara, manakala Afrika Selatan adalah rakan perdagangan kedua terbesar di Afrika Sub-Sahara," tambahnya.

PM Wong berkata kedua-dua negara "bekerjasama dengan baik" di forum-forum berbilang pihak.

Singapura mengalu-alukan penyertaan Afrika Selatan sebagai Rakan Dialog Sektoral pada 2023, dan akan terus menyokong Afrika Selatan apabila ia menjadi Presiden G20 pada 2025," kata PM Wong.

"Saya berharap untuk bertemu dengan anda dan bekerjasama untuk meningkatkan hubungan dua hala kita," tambahnya.

Encik Ramaphosa dilantik sebagai presiden pada 19 Jun.

Penggal keduanya akan menyaksikan partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), berkongsi kuasa dengan parti lain selepas ia kalah kuasa majoriti di parlimen.

Encik Ramaphosa akan mengetuai apa yang disebutnya sebagai kerajaan perpaduan kebangsaan dengan lima parti lain, termasuk pesaing dan pengkritik terbesar ANC, Perikatan Demokratik yang pro-perniagaan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan