Skip to main content

Singapura

Pemimpin SG ucap tahniah kepada Indonesia sempena Hari Kemerdekaan ke-80

Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri Lawrence Wong, dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan mengutus surat kepada rakan sejawatan mereka di Indonesia untuk menyampaikan ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-80 kemerdekaan negara itu pada Ahad (17 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Aug 2025 04:49PM Dikemas Kini : 17 Aug 2025 10:12PM
SINGAPURA: Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri Lawrence Wong, dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan mengutus surat kepada rakan sejawatan mereka di Indonesia untuk menyampaikan ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-80 kemerdekaan negara itu pada Ahad (17 Ogos).

Dalam surat kepada Presiden Prabowo Subianto dan Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono, yang dikongsi kepada media oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA), Singapura mengiktiraf kemajuan Indonesia sejak ia meraih kemerdekaan pada 1945 serta menyatakan harapan untuk terus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.

Mereka juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan sejawatannya dari Indonesia kerana menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) ke-60 Singapura pada 9 Ogos, sambil menekankan bahawa kedua-dua negara meraikan ulang tahun yang penting tahun ini.

Presiden Tharman, dalam suratnya kepada Encik Prabowo, menyatakan bahawa “transformasi, kemajuan dan semangat kebersamaan Indonesia sejak mencapai kemerdekaan pada 1945 merupakan sebuah kisah yang memberi inspirasi”.

“Ia terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, memperkasakan rakyatnya, dan diiktiraf sebagai suara yang disegani di peringkat antarabangsa,” kata Presiden Tharman.

“Cita-cita anda berhubung keharmonian dan sikap saling menghormati sememangnya nilai yang turut dikongsi rakyat Singapura.”

Presiden Tharman juga menekankan hubungan lama antara Singapura dan Indonesia, sambil menambah bahawa kehadiran Encik Prabowo di NDP Singapura “mencerminkan persahabatan rapat dan warisan bersama kedua-dua negara kita”.

Dalam suratnya kepada Encik Prabowo pula, PM Wong berkata Indonesia sudah membuktikan dirinya sebagai “pemain yang disegani, dipercayai dan membina dalam ASEAN serta di persada antarabangsa”.

Beliau menambah bahawa di bawah kepimpinan Encik Prabowo, Indonesia sudah pun “mengambil langkah berani untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya dengan memperkukuh keterjaminan makanan dan tenaga, membangunkan modal insan, serta melindungi kepentingan ekonomi negara”.

PM Wong, yang juga Menteri Kewangan Singapura, turut berterima kasih kepada Encik Prabowo kerana menghadiri NDP Singapura tidak lama selepas lawatan negara beliau dan Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia pada Jun lalu.

“Kesemua acara ini merupakan peluang berharga untuk memperkukuh wawasan strategik bersama kita bagi hubungan dua hala dan merangka hala tuju kerjasama seterusnya dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertahanan, tenaga dan keterjaminan makanan,” kata Encik Wong.

Dr Balakrishnan, yang menyampaikan ucapan tahniah Singapura kepada Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono, menggambarkan negara itu sebagai “mercu tanda kemajuan di pentas dunia”.

Beliau juga berkata “kemajuan baik” sedang dicapai dalam inisiatif dua hala yang dibincangkan antara Presiden Prabowo dan PM Wong di Rahat Pemimpin.

Dr Balakrishnan turut menyatakan penghargaan beliau terhadap kerjasama erat dengan Encik Sugiono di ASEAN dan forum antarabangsa lain, serta menjemput rakan sejawatannya itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita