Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin SG sampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jun 2024 07:26PM Dikemas Kini : 17 Jun 2024 11:53PM
SINGAPURA: Dalam negara berbilang kaum dan agama di Singapura, ucapan selamat menyambut Aidiladha datang mencurah-curah dari para pemimpin untuk masyarakat Muslim tempatan.

Antara yang berbuat demikian termasuklah ketua negara, Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Semasa mengucapkan "Selamat Hari Raya Haji kepada semua umat Islam" menerusi Facebook, Presiden Tharman juga menarik perhatian betapa Hari Raya Haji adalah peringatan tentang nilai pengorbanan dan perkongsian sesama rakan taulan serta dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Beliau melahirkan harapan agar sifat keihsanan dan semangat berkongsi dapat ditonjolkan segenap masyarakat.

Sementara itu, Perdana Menteri Lawrence Wong turut menitipkan ucapan Selamat Hari Raya Haji menerusi Facebooknya.

Beliau berharap agar "ibadah dan perjalanan" jemaah haji Singapura "semua selamat dan diberkati".

Bagi masyarakat Muslim yang melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, PM Wong yakin ia memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat,kerana "daging korban diagihkan kepada mereka yang memerlukan, tidak kira bangsa dan agama".

Menteri Kanan Lee Hsien Loong juga mengucapkan Selamat Hari Aidiladha kepada umat Islam setempat.

Beliau berharap sambutan kali ini meriah di samping rakan-rakan dan sanak-saudara.

SM Lee turut berharap agar semua jemaah haji Singapura, yang diketuai Dr Maliki Osman selaku Ketua Delegasi Haji, dikurniakan perjalanan selamat serta bermakna sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu.

Dr Maliki, yang berada di Tanah Suci bersama lebih 1,400 jemaah haji Singapura, juga memberi ucapan Aidiladha.

"Alhamdulillah, kami selamat menunaikan ibadah haji kami. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua umat Islam di Singapura," kata Dr Maliki.

"Aidiladha sering mengingatkan kita tentang pengorbanan. Pengorbanan kepada semua yang kita sayangi.

"Sama-samalah kita mengimbas kembali nilai pengorbanan ini. Semoga kita semua mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di hari yang mulia ini.

"Sekali lagi, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha maaf zahir dan batin," tambahnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan