Skip to main content

Singapura

Pemimpin SG, Malaysia akan semak semula projek bersama, pertingkat kerjasama

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin SG, Malaysia akan semak semula projek bersama, pertingkat kerjasama
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dilihat semasa Persidangan Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya pada 7 Januari 2025. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)
 
Diterbitkan : 03 Dec 2025 07:38PM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 07:39PM
SINGAPURA: Para pemimpin Singapura dan Malaysia akan bertemu pada Khamis (4 Dis) untuk menyemak semula projek-projek bersama yang berkembang pesat, serta memperdalam kerjasama merentasi pelbagai sektor yang semakin meluas.

Selain itu, mereka juga dijangka memberikan panduan mengenai isu-isu yang masih rumit dan belum dapat dihuraikan.

Rahat Pemimpin ke-12, yang akan diadakan di Singapura, dijangka membentuk hala tuju hubungan dua hala pada tahun-tahun mendatang.

Perdana Menteri Lawrence Wong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Anwar Ibrahim dijangka mengadakan perbincangan panjang lebar, dengan perhatian dijangka tertumpu pada Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, Laluan RTS, serta memperluaskan kerjasama bagi tenaga boleh diperbaharui dengan Sarawak.

Kedua-dua pemimpin juga akan hadir di acara menandatangani perjanjian meliputi kesihatan serta kawalan dadah, yang mencerminkan bidang kerjasama yang semakin meluas antara kedua-dua negara berjiran.

Rahat itu juga merupakan wadah bagi Singapura dan Malaysia untuk menilai semula isu-isu sensitif yang sekian lama wujud, termasuk sempadan maritim, pengaturan ruang udara dan isu air, di mana hala tuju politik peringkat tertinggi kekal penting.

Pertemuan kali ini dibina atas pencapaian Rahat terakhir pada Januari lalu - dari pelancaran rasmi JS-SEZ hinggalah langkah-langkah baharu bagi memperkemas pergerakan rentas sempadan.

Bagi Malaysia, Rahat itu berlangsung selepas perubahan Kabinet, pilihan raya negeri Sabah, dan berakhirnya tempoh selaku Pengerusi ASEAN.

Lantas, lawatan PM Anwar kali ini dilakukan dalam konteks domestik dan serantau yang penting.

Memandangkan pertemuan itu akan berlangsung di Ritz-Carlton Millenia, jalan-jalan raya di sekitar Raffles Avenue dan Temasek Avenue akan ditutup sepanjang hari bagi tujuan keselamatan.
Sumber : CNA/IQ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita