Skip to main content

Singapura

Pemimpin SG beri penghormatan kepada kakitangan awam veteran, perintis NEWater Lee Ek Tieng

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin SG beri penghormatan kepada kakitangan awam veteran, perintis NEWater Lee Ek Tieng

Encik Lee Ek Tieng di sepanjang Sungai Singapura. (Gambar fail: NEA)

Diterbitkan : 09 Apr 2025 11:50PM Dikemas Kini : 09 Apr 2025 11:52PM
SINGAPURA: Pemimpin-pemimpin Singapura memberi penghormatan pada Rabu (9 Apr) kepada salah seorang kakitangan awam perintis negara ini, Lee Ek Tieng, yang meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Sepanjang kerjaya perkhidmatan awam selama beberapa dekad, mendiang Lee memainkan peranan penting dalam membentuk Singapura menjadi bandar yang bersih dan hijau serta menangani pelbagai isu alam sekitar semasa kemerdekaan negara.

Dalam catatannya di Facebook, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata beliau "amat bersedih dengan pemergian" Encik Lee, dan bahawa "dedikasinya" meninggalkan kesan yang berkekalan kepada negara.

PM Wong menekankan sumbangan Encik Lee kepada Singapura, seperti mengawasi projek-projek infrastruktur penting, termasuk sistem pembetungan seluruh pulau dan transformasi laluan air negara.

Encik Lee berkhidmat sebagai pemangku setiausaha tetap bagi kesihatan awam dari 1971 hingga 1972 dan sebagai setiausaha tetap bagi sekitaran dari 1975 hingga 1986.

Pada masa itu, Encik Lee mengetuai pembangunan NEWater, jenama air kitar semula ultra bersih dan berkualiti tinggi Singapura, yang membantu membina asas untuk daya ketahanan air negara.

Selain sumbangannya kepada alam sekitar Singapura, Encik Lee juga berkhidmat di Kementerian Kewangan (MOF), Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan sebagai Ketua Perkhidmatan Awam, menurut PM Wong.

"Walaupun banyak meraih pencapaian, mendiang Lee tetap seorang yang rendah hati dan baik. Pandangan jauhnya, integriti, dan komitmen seumur hidup kepada perkhidmatan awam terus memberi inspirasi," tambah PM Wong.

"Semoga kita menghormati warisannya dengan menegakkan semangat perkhidmatan dan pengawasan yang sama."
Pada Februari lalu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu memberi penghormatan kepada Encik Lee semasa pelancaran buku, 'Lee Ek Tieng - the Green General of Lee Kuan Yew'.

Dalam ucapannya, Cik Fu menggambarkan mendiang Lee sebagai "seorang pemimpin, perintis, dan arkitek sebenar transformasi alam sekitar Singapura moden".

Beliau juga menekankan sumbangan Encik Lee yang lain, seperti mengawal pencemaran udara, menaik taraf sistem saliran Singapura untuk menangani banjir dan memodenkan pengumpulan dan pelupusan sisa.

Dalam satu lagi catatan di Facebook pada Rabu, Cik Fu menyanjung mendiang Lee sebagai "salah seorang wira hijau Singapura semasa kemerdekaan awal kita" yang memainkan peranan penting dalam mengubah pulau ini daripada satu yang dipenuhi dengan rumah setinggan yang kotor kepada bandar yang bersih dan hijau".

"Dalam pembersihan Sungai Singapura, Encik Lee mengetuai pembinaan pusat penjaja. Penjaja jalanan dipindahkan ke pusat-pusat penjaja ini dan dapat menyediakan makanan mereka dalam persekitaran yang bersih," kata Cik Fu.

Encik Lee juga mengetuai usaha untuk membasmi malaria dan penyakit bawaan nyamuk lain di negara ini, dan bertanggungjawab untuk penghasilan Pelan Induk Air pertama negara pada tahun 1972, yang menggariskan strategi untuk sumber air tempatan di Singapura.

"Beliau menerajui pembangunan NEWater untuk mengitar semula air dan menambah keperluan air penduduk yang semakin meningkat. Malah, beliau adalah orang yang mencipta namanya yang kini ikonik," kata Cik Fu.
Encik Lee memegang jawatan timbalan ketua Perkhidmatan Awam Singapura pada Jun 1994, sebelum mengambil alih sebagai ketua pada Oktober pada tahun yang sama.

Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing menggambarkan mendiang Lee sebagai "pemimpin berwawasan" yang membantu membentuk sektor awam Singapura dan memimpin usaha untuk menjadikannya lebih berpandangan ke depan dan responsif terhadap ekonomi yang berubah.

Encik Chan juga menarik perhatian bahawa mendiang Lee "menguruskan aset kewangan Singapura dan memacu pertumbuhan ekonomi". Beliau memegang peranan penting di Penguasa Kewangan Singapura, Temasek Holdings dan GIC, "di mana kepemimpinannya memastikan ketahanan kewangan Singapura".

"Encik Lee akan dirindui, dan legasi ketabahan dan kecemerlangan beliau akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang," kata Encik Chan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita