Skip to main content

Singapura

Pemimpin SG beri penghargaan atas 'sumbangan besar' Menteri Kanan Tharman kepada negara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jun 2023 06:41PM Dikemas Kini : 08 Jun 2023 09:38PM
SINGAPURA: Para pemimpin Singapura pada Khamis (8 Jun) menyampaikan ucapan terima kasih kepada Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam atas sumbangannya kepada negara ini. Ini setelah beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengenai hasratnya untuk ikut bertanding bagi jawatan Presiden Singapura.

Encik Tharman, 66 tahun, akan bersara dari politik dan melepaskan semua jawatannya dalam pemerintah, serta mengundurkan diri daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Beliau juga akan melepaskan jawatan tersebut pada 7 Julai setelah beliau dapat segera memenuhi komitmen rasmi di Singapura dan antarabangsa, dan memastikan aturan ditetapkan sepenuhnya bagi akar umbi GRC Jurong, di mana beliau merupakan seorang Anggota Parlimen.

Dalam suratnya kepada Encik Tharman, PM Lee menyenaraikan pencapaian kerjaya Menteri Kanan tersebut, termasuk khidmatnya yang cemerlang di Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

"Sepajang dua dekad, anda sudah memegang jawatan-jawatan utama Kabinet, termasuk Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Sosial. (Bahkan), baru-baru ini, sebagai Menteri Kanan, anda membantu saya untuk memberi bimbingan dan memperkasa generasi menteri seterusnya," ujar PM Lee.

Encik Tharman bekerja keras untuk membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif, dan melaksanakan banyak usaha untuk "mengalak pertumbuhan dan daya tahan dalam ekonomi Singapura", kata Perdana Menteri itu.

"Pemergian anda daripada Kabinet dan parti adalah satu kehilangan besar untuk saya dan pasukan saya. Kami akan merindui kepimpinan anda, pandangan anda yang berwawasan serta bimbingan anda yang berwibawa," tambah PM Lee.

Dalam satu hantaran Facebook, Menteri Kanan Teo Chee Hean memuji "sumbangan besar" Encik Tharman kepada negara ini.

Beliau berkata: "Kami bekerja rapat selama lebih 25 tahun - di Kabinet dan MOE (Kementerian Pendidikan).

"Beliau membanggakan Singapura di tanah air dan di luar negara. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya sedang beliau berusaha berkhidmat untuk rakyat dan Singapura dalam peranan barunya."

Speaker Parlimen, Tan Chuan-Jin memuji Encik Tharman atas "khidmatnya yang berdedikasi kepada rakyat dan negara kita bertahun-tahun lamanya".

"Dan secara peribadi, terima kasih atas nasihat serta bimbingan anda apabila saya pertama kali menyertai politik di Kementerian Tenaga Manusia. Selamat maju jaya bagi perjalanan anda seterusnya," katanya dalam satu hantaran Facebook.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng menyifatkan Encik Tharman sebagai "rakan lama NTUC dan pemimpin kesatuan kami".

"Visi dan wawasannya yang hebat, berserta dengan kemesraan dan sifat rendah dirinya yang tidak henti-henti, memberi manfaat kepada pemimpin kesatuan dan pekerja secara meluas dalam beberapa dekad yang lalu," tulisnya dalam catatan di Facebook.

Anggota Parlimen GRC Jurong yang lain pula, yang terdiri daripada Cik Rahayu Mahzam serta Encik Xie Yao Quan juga memberi penghormatan kepada Encik Tharman.

Dalam satu hantaran Facebook, Cik Rahayu menyifatkan Menteri Kanan tersebut sebagai "baik hati, penyayang, sangat pintar dan tajam, namun sentiasa rendah hati".

"Beliau memupuk nilai-nilai penting untuk bekerja keras dan berkhidmat bersama dalam mengutamakan penduduk di Jurong, dalam pasukan tersebut," tambahnya.

Sementara itu, Encik Xie berkata Encik Tharman merupakan "tokoh yang unggul" dalam GRC Jurong selama 22 tahun.

"Kami akan sangat merinduinya. Tetapi saya juga amat bangga kerana sudah berkhidmat bersama dengannya, mempelajari daripadanya, dan melihat secara dekat semua perkara yang membuatnya sangat istimewa dan dihormati," ungkap Encik Xie.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita