Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin S'pura ucap takziah pemergian mantan Presiden India Pranab Mukherjee

Pemimpin Singapura pada Selasa (1 Sep) mengucapkan takziah kepada rakan sejawatan masing-masing di India atas pemergian mantan Presiden negara itu Pranab Mukherjee, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin S'pura ucap takziah pemergian mantan Presiden India Pranab Mukherjee

Mantan presiden India Pranab Mukherjee. (Gambar: Reuters)

SINGAPURA: Pemimpin Singapura pada Selasa (1 Sep) mengucapkan takziah kepada rakan sejawatan masing-masing di India atas pemergian mantan Presiden negara itu Pranab Mukherjee, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Encik Mukherjee, 84 tahun, meninggal dunia pada Isnin selepas dimasukkan hospital beberapa minggu lalu kerana kegagalan pelbagai organ. Beliau diuji positif COVID-29 pada 10 Ogos dan berada dalam keadaan koma serta menggunakan bantuan alat pernafasan selepas terkena jangkitan paru-paru.

Beliau merupakan Presiden India dari tahun 2012 hingga 2017 ketika Parti Kongres berada di tahun-tahun akhir tampuk pemerintahannya.

Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan, Pertahanan dan Hal Ehwal Luar dengan tiga Perdana Menteri berasingan.

PRESIDEN HALIMAH LAHIRKAN PENGHORMATAN

Dalam surat beliau kepada Presiden Ram Nath Kovind, Presiden Halimah Yacob melahirkan penghormatan Encik Mukherjee.

"India kehilangan salah seorang daripada anak jatinya yang cemerlang. Sepanjang kerjayanya yang lama dan menakjubkan dalam khidmat awam, kehidupannya dan bakat besarnya bagi merubah India," tulis Puan Halimah.

"Ingatan kami bersama warga India semasa tempoh berduka sebagai satu negara."

PM LEE: MENDIANG PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam suratnya kepada rakan sejawatan Narendra Modi menggelar mendiang Shri Mukherjee sebagai "teman baik Singapura" dan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

"Shri Mukherjee tidak asing lagi bagi kami semua di Asia Tenggara, terutama sekali kerana sebagai seorang Menteri Ehwal Luar Negara pada pertengahan 1990-an, beliau menyokong dasar India "Look East" atau "Melihat ke Timur".

"Di bawah kepimpinannya, India mengambil langkah-langkah penting bagi mengukuhkan hubungan dengan ASEAN, termasuk menjadi Rakan Dialog penuh pada 1996," tulis PM Lee.

PM Lee berkata mendiang juga menyelia pelancaran Jawatankuasa Bersama Menteri pada 2007, yang sudahpun menjadi platform tetap bagi kedua-dua pihak menyemak kerjasama dan bertukar pandangan mengenai kedudukan dunia.

"Saya sudah lama mengenali Shri Mukherjee dan selalu menikmati interaksi bersama beliau.

"Saya ingat perjumpaan terakhir kami pada 2016, semasa lawatan saya ke New Delhi. Beliau tetap ramah dan mesra serta murah dengan wawasannya.

"Beliau meninggalkan warisan untuk berkhidmat kepada orang lain, mencapai persetujuan dan muncul menjangkaui politik parti. Dalam dunia hari ini, ciri-ciri penting ini akan dirindui," ujar PM Lee.

Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong juga menulis kepada anak Encik Mukherjee, Abhijit.

"Harapan saya agar warisan ayah anda akan terus menjadi panduan dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang India," kata Encik Goh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AFP/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan