Pemimpin S'pura ucap tahniah kepada Presiden Xi, PM Li
Pemimpin-pemimpin Singapura mengutus surat kepada Presiden China, Xi Jinping untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan semula beliau menyandang jawatan itu.
SINGAPURA: Pemimpin-pemimpin Singapura mengutus surat kepada Presiden China, Xi Jinping untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan semula beliau menyandang jawatan itu.
Presiden Halimah Yacob berkata bahawa kegigihan Presiden Xi berkhidmat kepada rakyat China menjadikan negara itu semakin teguh.
Beliau juga yakin China akan terus aman dan lebih makmur di bawah kepimpinan Presiden Xi.
Dalam surat tahniahnya pula, Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga menyuarakan keyakinannya terhadap kepimpinan Presiden Xi.
Menurut PM Lee, China akan terus melangkah ke hadapan dan mencapai impiannya untuk membuka era baru.
PM Lee turut mengutus surat tahniah kepada Encik Li Keqiang kerana dilantik semula sebagai Perdana Menteri China buat penggal kedua.
Beliau berkata bahawa pembangunan berterusan China memberi sumbangan kepada kemantapan dan kemakmuran rantau ini dan dunia.
Dalam kedua-dua suratnya, PM Lee menekankan bahawa Singapura dan China menjalin hubungan rapat serta mempunyai kepentingan bersama dalam mengekalkan sistem dagangan bebas.
PM Lee juga menambah sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini bahawa Singapura akan terus berusaha untuk meningkatkan kerjasama antara pertubuhan serantau itu dengan China.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.